• Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, perlu meletak jawatan atas cadangan beliau untuk mewujudkan sistem pilihan raya bersifat apartheid dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengarahkan Shahidan untuk meletakkan jawatan sekiranya beliau enggan berbuat demikian

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, 31 Mac 2014

    Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, perlu meletak jawatan atas cadangan beliau untuk mewujudkan sistem pilihan raya bersifat apartheid dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu mengarahkan Shahidan untuk meletakkan jawatan sekiranya beliau enggan berbuat demikian

    Pagi ini, semasa soal jawab sesi parlimen, Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, telah bertanya kepada Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya, Shahidan Kassim, tentang sejauh mana prinsip ‘satu manusia, satu undi’ akan digunapakai dalam persempadanan semula yang akan datang mengikut cadangan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya. Menteri bukan sahaja tidak menjawab soalan ini, malah beliau sendiri mencadangkan pengenalan sistem pilihan raya yang berasaskan kaum. Menurut beliau, memandangkan 67% penduduk Malaysia merupakan kaum Bumiputera maka kaum Bumiputera harus mengundi masuk 67% calon-calon Bumiputera ke parlimen, 23% penduduk Malaysia yang merupakan kaum Cina harus mengundi masuk 23% calon-calon Cina ke parlimen, dan 8% penduduk Malaysia yang merupakan kaum India harus mengundi masuk 8% calon-calon India ke parlimen. Beliau secara terus-terang menamakan cadangan beliau ‘Satu Undi, Satu Manusia, Berasaskan Kaum.’[1]

    Saya menggesa Menteri yang bertanggungjawab atas Suruhanjaya Pilihan Raya untuk segera meletakkan jawatan kerana beliau telah membuktikan bahawa beliau tidak layak menjadi Menteri, lebih-lebih lagi menteri yang bertanggungjawab bagi Suruhanjaya Pilihan Raya yang akan menjalankan tugas persempadanan semula. Menteri perlu meletakkan jawatan atas tiga sebab berikut:

    Pertama, cadangan beliau untuk mengundi calon-calon berdasarkan kaum ini ibarat ‘pilihan raya bersifat apartheid.’ Ketika era apartheid di Afrika Selatan, pengundi kaum kulit hitam (‘blacks’) dimasukkan ke dalam daftar pemilih hitam untuk mengundi wakil kaum kulit hitam, pengundi kaum kulit bukan putih (‘coloureds’) dimasukkan ke dalam daftar pemilih bukan putih untuk mengundi wakil kaum kulit bukan putih, dan pengundi kaum kulit putih (‘whites’) dimasukkan ke dalam daftar pemilih putih untuk mengundi wakil kaum kulit putih. Inilah sistem yang disokong dan dicadang oleh Menteri. Apartheid telah dikutuk secara luas oleh masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia dan telah pun dimansuhkan di Afrika Selatan. Cadangan untuk memperkenalkan sistem pilihan raya bersifat apartheid adalah sangat menjelikkan dan harus dikutuk oleh semua rakyat Malaysia. Ia membuktikan bahawa Menteri betul-betul jahil tentang sistem pilihan raya termasuk hakikat bahawa cadangan beliau telah dilaksanakan di Afrika Selatan pada era apartheid dulu.

    Kedua, kekurangan pengetahuan Menteri tentang prinsip ‘satu orang, satu undi’ membuktikan bahawa Menteri langsung tidak sedar bahawa prinsip ini adalah satu standard yang diterima umum di negara-negara demokratik. Kebanyakan negara-negara demokrasi yang mengamalkan sistem pemenang undi terbanyak (first-past-the-post) seperti United Kingdom, Amerika Syarikat dan Kanada mengiktiraf dan menghormati prinsip ini. Undang-undang pilihan raya juga telah diperkenalkan dalam setiap negara tersebut untuk mengehadkan jurang perbezaan antara bilangan pengundi di setiap kawasan. Di samping itu, prinsip ‘satu orang, satu undi’ ini ditekankan dalam salah satu daripada 22 cadangan dalam laporan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya.[2] Jika Menteri memang tidak sedar bahawa prinsip ‘satu orang, satu undi’ merupakan prinsip demokrasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan telah ditekankan dalam salah satu cadangan PSC mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya, maka beliau langsung tidak layak untuk kekal sebagai Menteri.

    Ketiga, Menteri membuktikan kejahilannya tentang perlembagaan dengan cadangan ‘pilihan raya bersifat apartheid’ beliau. Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa sistem perwakilan mengikut kaum di mana calon akan diundi masuk oleh pengundi yang sama bangsa adalah perkara yang boleh dipertimbangkan. Sebaliknya, prinsip ‘satu orang, satu undi,’ dengan syarat, jelas dinyatakan dalam Perkara 2(c) Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan yang mengatakan bahawa:

    (c)bilangan pemilih di dalam setiap bahagian pilihan raya di dalam sesuatu Negeri patutlah lebih kurang sama banyak kecuali bahawa, dengan mengambil kira kesulitan yang lebih besar untuk sampai kepada pemilih di dalam daerah desa dan kesukaran lain yang dihadapi oleh bahagian-bahagian pilihan raya di luar bandar, ukuran pewajaran bagi kawasan patutlah diberikan kepada bahagian-bahagian pilihan raya;

    Menteri jelas tidak merujuk kepada perlembagaan tetapi sebaliknya memberi cadangan sendiri tentang ‘pilihan raya bersifat apartheid’ yang liar dan patut dicela. Ini bukti bahawa beliau tidak layak memegang jawatan beliau.

    Menteri tidak boleh mendakwa bahawa beliau hanya mengemukakan pandangan peribadi kerana beliau bukan lagi sekadar ahli penyokong kerajaan tetapi seorang Menteri dan oleh itu, merupakan sebahagian daripada kerajaan yang memerintah. Selain itu, beliau juga memegang portfolio yang sedang menyelia badan yang menguruskan hal-hal pilihan raya di negara ini, iaitu Suruhanjaya Pilihan Raya.

    Tidak cukup bagi Menteri untuk meminta maaf atas kenyataan beliau kerana permintaan maaf tidak boleh mengubah hakikat bahawa beliau tidak memahami prinsip demokrasi ‘satu orang, satu undi,’ tidak menghormati syor PSC mengenai Penambahbaikan Pilihan Raya serta kenyataan beliau bahawa ‘pilihan raya bersifat apartheid’ adalah cara terbaik untuk mengekalkan keamanan di negara ini. Kenyataan beliau telah menyebabkan beliau kehilangan kredibiliti beliau untuk melaksanakan tugas-tugas sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya.

    Jika Menteri enggan meletak jawatan, maka saya menggesa Perdana Menteri Najib untuk meminta Menteri berbuat demikian. Jika Perdana Menteri gagal berbuat demikian, ini akan menjadi penghinaan kepada slogan 1Malaysia dan usaha Majlis Perundingan Perpaduan Negara (NUCC) untuk memupuk perpaduan negara selepas pilihan raya umum ke-13.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] http://www.kinitv.com/video/5350O8

    [2] Cadangan no. 20 yang mengatakan bahawa:

    20.1. Jawatankuasa mengambil maklum cadangan urusan kajian persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya Parlimen dan Negeri mengambil kira keseimbangan jumlah pemilih termasuk wajaran kawasan luar bandar (rural weightage) dan juga memenuhi prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi’.

    20.2. Jawatankuasa mengesyorkan SPR menyemak semula Jadual Ketigabelas Perlembagaan Persekutuan bertujuan memberi makna sepenuhnya kepada prinsip ‘Satu Orang, Satu Undi’ dan mengembalikan wajaran kawasan luar bandar (rural weightage).

    20.3. Jawatankuasa mengesyorkan SPR menentukan satu formula yang adil dan saksama berdasarkan satu prinsip yang tetap dalam menentukan jumlah pengundi di sesuatu bahagian pilihan raya dalam satu negeri tidak berbeza dengan ketara.

Leave a reply.