• Wee Ka Siong harus berhenti berbohong dan sebaliknya meminta Kerajaan Persekutuan mengemukakan perintah pembangunan bagi SRJK (C) Kajang Utama / Kajang 2 kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 27 Mac 2014

    Wee Ka Siong harus berhenti berbohong dan sebaliknya meminta Kerajaan Persekutuan memohon perintah pembangunan bagi SRJK (C) Kajang Utama / Kajang 2 daripada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)

    Pada 20 Mac 2014, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Wee Ka Siong dipetik berkata mengenai isu SRJK (C) Kajang Utama / Kajang 2 yang belum dibina:

    “Sehingga kini, projek pembinaan sekolah baru itu tidak boleh bermula walaupun diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bertahun-tahun lalu. Kami telah memohon untuk hak milik tanah bagi sekolah tersebut pada April 2012. Walau bagaimanapun, kami tidak menerima sebarang berita sehingga hari ini. Kami berharap kerajaan negeri akan mengetepikan perbezaan politik dan mengutamakan pendidikan.”[1]

    Saya amat kecewa kerana bekas Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen Ayer Hitam mengeluarkan kenyataan yang tidak benar sama sekali. Saya tidak pasti sama ada beliau memang berniat berbuat demikian atau kurang berpengetahuan tentang perkara ini. Tetapi apa yang saya tahu ialah menurut dokumen yang dikemukakan oleh Pejabat Tanah/Daerah Hulu Langat (lihat Lampiran 1), permohonan untuk hak milik tanah bagi sekolah tersebut telah diterima pada Mei 2012. Kerajaan negeri Selangor melalui ‘Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri’ telah meluluskan permohonan ini pada 13 Mac 2013. Notis untuk membayar premium tanah (Notis 5A) telah dikeluarkan pada 1 April 2013 dan jumlah RM1369 telah dibayar oleh kerajaan persekutuan pada 14 Jun 2013.

    Selepas premium dibayar, kerajaan persekutuan memang sah memiliki tanah tersebut dan boleh membuat permohonan untuk Perintah Pembangunan (Kebenaran Merancang/KM) kepada MPKJ bagi sekolah yang dicadangkan. Dokumen-dokumen lain seperti pelan bangunan dan pelan teknikal boleh dikemukakan selepas KM diluluskan nanti.

    Namun, Kementerian Pendidikan masih belum memohon Perintah Pembangunan dari MPKJ bagi SRJK (C) Kajang Utama/Kajang 2 sehingga hari ini! Tanpa permohonan ini, sebarang kerja pembinaan tidak dapat dimulakan di sekolah ini.

    Oleh itu, tidak benar bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menerima sebarang berita sejak 2012. Hakikatnya, Kerajaan Persekutuan telah mengabaikan tugas dengan tidak mengemukakan apa-apa permohonan untuk Perintah Pembangunan selepas membayar premium tanah pada 14 Jun 2013. Wee seharusnya bertanya kepada Menteri Pendidikan mengapa beliau tidak mengarahkan Kementerian Pendidikan untuk memohon Perintah Pembangunan bagi sekolah ini yang telah dijanjikan sejak 2012 dan bukannya menyalahkan MPKj dan kerajaan negeri Selangor.

    Dalam lawatan tapak pada 21 Mac 2014 yang disertai rakan-rakan sekerja dari DAP, kami mendapati bahawa tiada sebuah batu-bata pun yang diletakkan di tapak SRJK (C) Kajang Utama / Kajang 2. Kami menggesa kerajaan BN untuk menunaikan janji untuk membina sekolah ini dan bukannya menggunakan keputusan pilihan raya Kajang untuk ‘menghukum’ pengundi Kajang dengan tidak membina atau sengaja melewatkan pembinaan SRJK (C) Kajang Utama/Kajang 2.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Surat Pejabat Daerah / Tanah Hulu Langat


    [1] http://www.thestar.com.my/News/Nation/2014/03/20/SJK-C-Sungai-Chua-to-start-single-session-next-year/

Leave a reply.