• Mencadangkan Jawatankuasa Bebas untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan datang kerana integriti dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya sangat diragui

    Kenyataan Media oleh Jawatankuasa Persempadanan Semula Pakatan Rakyat pada 26hb Mac 2014

    Mencadangkan Jawatankuasa Bebas untuk mengendalikan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang akan datang kerana integriti dan kebebasan Suruhanjaya Pilihan Raya sangat diragui

    Dalam sesi pembentangan penemuan Tribunal Rakyat tentang Pilihan Raya Umum ke-13, tribunal tersebut mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa persekutuan yang baru dan bebas untuk mengendalikan proses persempadanan semula yang akan datang.

    Jawatankuasa Persempadanan Semula Pakatan Rakyat menyokong cadangan ini berikutan keraguan terhadap tahap integriti dan kebebasan SPR. Hakikatnya, bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengakui beliau menjalankan kawasan persempadanan untuk mengekalkan kuasa Melayu dan bukannya berlandaskan prinsip-prinsip perlembagaan. Ini mengesahkan bahawa SPR tidak boleh dipercayai untuk menjalankan proses persempadanan semula yang tidak berat sebelah dan adil.

    Oleh itu, kami menyeru kerajaan persekutuan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa persekutuan bebas seperti Suruhanjaya Sempadan di United Kingdom untuk menjalankan proses persempadanan semula yang akan datang dengan cara yang tidak berat sebelah dan bebas. Kita perhatikan bahawa Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bertanggungjawab ke atas reformasi pilihan raya telah mencadangkan untuk memecahkan fungsi Suruhanjaya Pilihan Raya kepada tiga – menjalankan pilihan raya, mendaftarkan pengundi dan mengendalikan proses persempadanan semula. Adalah paling sesuai bagi kerajaan untuk melaksanakan cadangan ini dengan menubuhkan jawatankuasa persekutuan baru dan bebas ini sebelum proses persempadanan semula yang seterusnya.[1] Jawatankuasa persekutuan ini harus terdiri daripada kakitangan awam yang dihormati, ahli akademik dan hakim/peguam yang mempunyai kepakaran dalam hal persempadanan semula dan perkara yang berkaitan.

    Proses persempadanan semula yang seterusnya dijangkakan akan paling kontroversi dalam sejarah Malaysia kerana sebarang penambahan jumlah kerusi parlimen akan memerlukan pindaan perlembagaan yang memerlukan persetujuan Ahli Parlimen dari Pakatan Rakyat. Di samping itu, apa-apa pertambahan jumlah kerusi negeri di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor akan memerlukan pindaan perlembagaan ketiga-tiga negeri tersebut di mana 2/3 daripada Dewan Undangan Negeri masing-masing merupakan ADUN Pakatan. Penambahan kerusi negeri di Terengganu, Kedah, Perak dan Negeri Sembilan juga akan memerlukan pindaan perlembagaan di negeri-negeri tersebut di mana persetujuan PR ADUN dikehendaki kerana mereka merupakan lebih daripada 1/3 dewan undangan negeri. Jika BN ikhlas ingin meluluskan sebarang usul yang berkaitan dengan proses persempadanan semula yang tidak berat sebelah dan adil, mereka perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa persempadanan kawasan pilihan raya yang bebas dan bukannya bergantung kepada Suruhanjaya Pilihan Raya yang berat sebelah.

    Dr Hatta Ramli (PAS)
    Datuk Mansor Othman (PKR)
    Dr Ong Kian Ming (DAP)


    [1] Seksyen 18.2 Laporan Jawatankuasa Pilihan Parlimen atas hal reformasi pilihan raya.

Leave a reply.