• Mengutuk tindakan mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, 25 Mac 2014

    Mengutuk tindakan mahkamah Mesir menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi

    Saya membantah sekeras-kerasnya keputusan mahkamah Mesir untuk menjatuhkan hukuman mati kepada 529 penyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi. Ini merupakan kes hukuman mati terbesar dalam sejarah Mesir malah telah digambarkan oleh Amnesty International sebagai hukuman mati terbesar dalam sejarah dunia baru-baru ini.

    Adalah tidak munasabah sama sekali bagi keputusan yang sebesar ini untuk ditetapkan sejurus selepas perbicaraan kes kematian seorang anggota polis yang berlangsung selama 2 hari saja. Perbicaraan ini jelas tidak adil kerana defendan dilaporkan tidak diberi akses kepada bukti-bukti yang dikemukakan. Selain itu, pihak defendan dan peguam mereka dilarang hadir di mahkamah ketika keputusan itu dibentangkan.

    Perbicaraan ini merupakan sebahagian daripada pergerakan yang lebih besar dan sangat membimbangkan, iaitu pengembalian Mesir ke zaman kediktatoran di bawah rejim bekas Presiden Hosni Mubarak. Ramai pembantah anti kerajaan telah dibunuh oleh pasukan keselamatan, ramai aktivis politik yang kebanyakannya dari Ikhwanul Muslimin telah ditangkap dan ditahan, dan hak-hak sivil dan politik orang Mesir telah dinafikan sejak penggulingan Presiden Morsi oleh pasukan keselamatan di Mesir pada bulan Julai 2013.

    Saya menyeru kerajaan Malaysia untuk mengecam tindakan kerajaan Mesir dan sistem mahkamah yang menganiaya dan salah mendakwa rakyatnya sendiri.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.