• Apa maksud Joseph Kurup apabila dia menyeru sekumpulan pengundi yang kebanyakannya orang Cina untuk mengundi Chew Mei Fun kerana dia “merupakan orang kamu sendiri”?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 18 Mac 2014 di Kuala Lumpur

    Apa maksud Joseph Kurup apabila dia menyeru sekumpulan pengundi yang kebanyakannya orang Cina untuk mengundi Chew Mei Fun kerana dia “merupakan orang kamu sendiri”?

    Selepas beliau dikritik oleh Teresa Kok, Ahli Parlimen Seputeh, di Parlimen dan dalam kenyataan akhbar[1] kerana meminta sekumpulan pengundi di Sungai Chua, Kajang yang kebanyakannya orang Cina untuk “mengundi calon BN yang merupakan orang bangsa kamu sendiri”, Menteri yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional di Jabatan Perdana Menteri, Joseph Kurup, telah cepat membuat ‘penjelasan’ dengan menafikan bahawa beliau telah menggunakan perkataan ‘bangsa’ dalam ucapannya. [2]

    Namun, ini masih menimbulkan persoalan tentang tujuan Menteri tersebut apabila beliau menyeru pengundi Cina untuk “undilah calon BN yang merupakan orang kamu sendiri.” Setakat pengetahuan saya, Menteri tidak mengulaskan dengan lebih lanjut lagi dalam kenyataan beliau kepada Malaysiakini yang sepanjang satu perenggan sahaja.

    Mungkinkah Menteri meminta pengundi Sungai Chua untuk mengundi Chew Mei Fun kerana dia berasal dari Kajang? Ini tidak mungkin kerana Chew dilahirkan di Pulau Pinang dan pernah menjadi Ahli Parlimen di Petaling Jaya. Mungkinkah Menteri meminta pengundi untuk mengundi Chew kerana dia adalah orang Hakka, sama seperti majoriti pengundi di Sungai Chua? Ini juga tidak mungkin kerana Chew adalah orang Hainan dan bukannya Hakka.

    Satu-satunya penjelasan yang mungkin adalah Menteri meminta pengundi Cina di Sungai Chua untuk mengundi Chew kerana beliau merupakan orang Cina iaitu salah satu daripada mereka sendiri!

    Daripada cuba untuk menafikan saranan dalam ucapan kempen tersebut, Joseph Kurup perlu segera memohon maaf kerana kenyataan beliau yang tidak sesuai merupakan satu penghinaan terhadap kedudukan beliau sebagai Menteri yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional.

    Jika Menteri yang bertanggungjawab bagi Perpaduan Nasional sanggup menggunakan bangsa calon sebagai isu kempen, tidak hairanlah bahawa para menteri dan pemimpin BN yang lain terus menggunakan bangsa dan agama bagi mewujudkan ketakutan dan perpecahan di kalangan rakyat sebelum, semasa dan selepas pilihanraya kecil di Kajang.

    Sebagai pegawai perhubungan DAP untuk pilihanraya kecil Kajang, saya telah melihat dan mendengar penceramah dari PAS, PKR dan DAP menyampaikan mesej yang konsisten di semua ceramah di kawasan yang mempunyai majoriti Melayu, Cina atau bercampur. Mesej tersebut ialah bahawa Pakatan Rakyat berkempen di Kajang melalui pencalonan Dr Wan Azizah demi menegakkan prinsip-prinsip keadilan, ketelusan, kesaksamaan dan kualiti hidup yang lebih baik untuk SEMUA rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang, agama atau bangsa. Saya menyeru pengundi di Kajang untuk menyokong kempen Pakatan dan menolak politik perkauman dan ketakutan yang diamalkan oleh Barisan Nasional.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.