• Kompleks letak kereta bertingkat terbengkalai di KTM Serdang yang bernilai RM8.48 juta membuktikan bahawa ‘sistem tender terbuka’ yang diamalkan oleh BN sebenarnya tidak berkesan sama sekali dan gagal mengurangkan pembaziran.

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 14 Mac 2014 di Serdang

    Kompleks letak kereta bertingkat terbengkalai di KTM Serdang yang bernilai RM8.48 juta membuktikan bahawa ‘sistem tender terbuka’ yang diamalkan oleh BN sebenarnya tidak berkesan sama sekali dan gagal mengurangkan pembaziran.

    Mengikut hasil tender yang diterbitkan di laman web Syarikat Aset Keretapi (Perbadanan Aset Keretapi) (Lampiran 1 di bawah), kompleks letak kereta bertingkat di sebelah stesen KTM Serdang yang bernilai RM8.48 juta sepatutnya telah siap dibina pada 2 Ogos 2012.[1] Ini juga telah diumumkan oleh Pengerusi BN Serdang, Datuk Liew Yuen Keong dalam laporan akhbar bertarikh 11 Mac 2011.[2] Malangnya, projek ini telah diberhentikan sebelum saya diundi sebagai Ahli Parlimen Serdang pada 5 Mei 2013.

    Saya gagal mendapatkan apa-apa jawapan dari KTM walaupun saya telah menulis terus kepada mereka. Justeru, saya telah bertanya satu soalan parlimen lalu memperolehi jawapan yang dikehendaki (Lampiran 2). Menurut jawapan tersebut, projek ini sepatutnya telah selesai pada 2 Januari 2013. Ini tidak konsisten dengan pengumuman tender dalam Lampiran 1 di bawah. Jawapan ini juga menyatakan bahawa syarikat yang telah diberi kontrak gagal menyiapkan projek ini disebabkan masalah kewangan. Mereka dikenakan caj Ganti Rugi Tertentu Dan Ditetapkan (LAD atau ‘liquidated and ascertained damages’) sebanyak RM318,940.96 atas penghantaran lewat antara 3 Januari dan 29 Julai 2013 iaitu selewat 208 hari. Di samping itu, deposit RM424,000 atau 5% daripada nilai kontrak itu juga dirampas daripada syarikat.

    Jawapan parlimen tidak menyatakan nama syarikat tersebut. Saya hanya berjaya mengesahkan bahawa nama syarikat itu ialah Anjung Global Sdn Bhd selepas meneliti dokumen-dokumen tender tersebut. Menurut profil syarikat Anjung Global (dilampirkan di bawah), jenis perniagaan syarikat ini adalah ‘Penyelenggaraan Am dan Perkhidmatan Pembersihan’. Dalam kenyataan kewangan terbaru yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2009, hasil Anjung Global adalah RM3.2 juta, iaitu kurang daripada separuh nilai kontrak kompleks letak kereta bertingkat KTM Serdang. Di samping itu, rizab Anjung Global adalah negatif (tolak RM107,293).

    Bagaimanakah sebuah syarikat yang menjalankan perniagaan penyelenggaraan am dan pembersihan, memfailkan pulangan syarikat terakhir pada tahun 2009 dan mempunyai rizab negatif berjaya dianugerahkan kontrak yang bernilai RM8.48 juta? Jika ini mencerminkan proses ‘tender terbuka ‘yang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada ‘Program Transformasi Kerajaan’ (GTP) kerajaan BN, maka tidak hairanlah bahawa kerajaan ini telah gagal mengurangkan pembaziran. Laporan Audit Negara telah memaparkan banyak contoh yang lebih ketara. Namun, kompleks letak kereta bertingkat KTM Serdang adalah contoh “Satu Lagi Projek Barisan Nasional” yang jelas telah membazirkan dana pembayar cukai (Lihat gambar-gambar di bawah Lampiran 3).

    Kegagalan Anjung Global untuk menyiapkan kompleks letak kereta bertingkat ini telah menyebabkan satu lagi ‘tender terbuka’ terpaksa dipanggil. Kontraktor itu sepatutnya telah dipilih pada 27 Feb 2014. Kerja pembinaan sepatutnya bermula pada 17 Mac 2014 dan siap pada 16 Mac 2015 (iaitu dalam tempoh 12 bulan). Saya akan memantau proses pembinaan dengan teliti untuk melihat sama ada ini akan menjadi satu lagi kes pemilihan kontraktor kurang cekap yang akan gagal menyiapkan projek.

    Pada waktu ini, penduduk Serdang akan terus mengalami masalah ketidakcukupan tempat letak kereta berhampiran stesen KTM, malah kes-kes kereta yang diletakkan secara haram di sepanjang lebuh raya Jalan Sungai Besi akan terus menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas yang teruk.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran:

    1) Keputusan Tender KTM Serdang daripada Perbadanan Aset Keretapi

    2) Profil Syarikat Anjung Global Sdn Bhd daripada SSM

    Lampiran 1: Keputusan Tender untuk Pembinaan Kompleks Letak Kereta Bertingkat di KTM Serdang

    Lampiran 2: Jawapan Parlimen tentang kompleks letak kereta bertingkat KTM Serdang yang terbengkalai

    Lampiran 3: Foto-foto kompleks letak kereta bertingkat KTM Serdang yang terbengkalai

Leave a reply.