• Ucapan Parlimen 12 Mac 2014 – Perbahasan Parlimen Penggal Pertama (10 Mac hingga 10 April 2014)

    Perbahasan Parlimen Penggal Pertama (10 Mac hingga 10 April 2014)

    Ucapan Parlimen Dr. Ong Kian Ming (12 Mac 2014)

    Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi penghargaan tertinggi kepada semua agensi yang bekerja keras dan bertungkus lumus menghadapi krisis nasional pesawat MH370. Saya ingin mengucapkan terima kasih terutamanya atas usaha pihak angkatan tentera kita. Patriotisme angkatan tentera kita tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun. Mereka berkhidmat setiap hari untuk melindungi negara kita. Patriotisme angkatan tentera kita tidak terhad sahaja kepada tugas mempertahankan negara kita daripada ancaman luar. Malah, sebagai penjawat awam, mereka juga wajib bertindak untuk mempertahankan negara kita daripada ancaman dalaman. Inilah sebab mengapa tindakan Mejar Zaidi Ahmad, anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), patut dianggap sebagai khidmat negara yang tertinggi. Mejar Zaidi Ahmad patut disanjung sebagai seorang wira negara kerana beliau berani menyuarakan kebenaran tentang dakwat kekal yang tidak kekal dalam PRU ke-13. Dengan izin, “He should be considered a national hero and given a medal.”

    Tetapi malangnya, tindakan Mejar Zaidi Ahmad bukan sahaja tidak diberi penghargaan dan pujian yang tinggi, sebaliknya beliau telah didakwa di mahkamah tentera dengan empat tuduhan. Beliau didakwa kerana telah melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis tentang dakwat kekal yang tidak kekal pada masa PRU ke-13.

    Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya sendiri, Tan Sri Abdul Aziz, mengakui bahawa terdapat masalah dengan dakwat kekal yang tidak kekal. Beribu-ribu laporan polis telah dibuat oleh orang awam apabila mereka mendapati bahawa dakwat kekal ini memang tidak kekal. Apakah sebabnya Major Zaidi dijadikan sasaran? Adakah kerana kerajaan BN bimbang bahawa ahli perkhidmatan awam semakin memihak kepada Pakatan Rakyat disebabkan dasar-dasar yang tidak adil dan amalan rasuah kerajaan Barisan Nasional?

    XXX

    Pada tahun lepas, bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid, dilaporkan berkata bahawa tiga persempadanan semula yang telah dijalankan semasa beliau berada di SPR dilakukan untuk mengekalkan kuasa politik orang Melayu. Ini adalah kenyataan yang palsu dan ini boleh dibuktikan dengan persempadanan semula 2003 di mana peningkatan penguasaan BN/UMNO dan bukan dominasi politik orang Melayu diutamakan.

    Jika Tan Sri Abdul Rashid benar-benar mahu mengekalkan dominasi politik Melayu, mengapa beliau tidak menambahkan kerusi Parlimen di negeri-negeri majoriti Melayu di Kedah, Kelantan dan Terengganu semasa menjalankan persempadanan semula pada tahun 2003? Kerusi parlimen tidak ditambah di negeri-negeri ini walaupun hakikatnya bilangan pengundi di beberapa kerusi amat tinggi misalnya Tumpat dengan 69948 pengundi, Kuala Terengganu dengan 65,900 pengundi, Kuala Kedah dengan 73,942 pengundi dan Baling dengan 72,387 pengundi. Semua ini adalah kerusi majoriti Melayu. Sebaliknya, kerusi-kerusi parlimen ditambah di tempat-tempat dengan jumlah pengundi yang jauh lebih rendah seperti Sungai Besar di Selangor dengan hanya 30,361 pengundi.

    Sebab-sebab kerusi parlimen tidak ditambah di tiga negeri ini tidak sukar untuk difahami. PAS telah mencapai keputusan yang sungguh baik dalam pilihan raya tahun 1999 di ketiga-tiga negeri dengan memenangi 8 daripada 15 kerusi parlimen di Kedah, 13 daripada 14 kerusi di Kelantan dan kesemua 8 kerusi di Terengganu. BN risau kerana sekiranya lebih banyak kerusi telah ditambah di negeri-negeri tersebut, ia akan memanfaatkan pihak pembangkang, khususnya PAS. Jika Tan Sri Abdul Rashid benar-benar berhasrat meningkatkan kuasa politik Melayu, beliau sepatutnya menambah kerusi Parlimen di Kedah, Kelantan dan Terengganu pada tahun 2003 tetapi beliau tidak berbuat demikian demi melindungi kepentingan politik BN/UMNO.

    Contoh kerusi majoriti Melayu di negeri-negeri lain yang mempunyai lebih daripada 98,000 pengundi termasuklah Gombak, Shah Alam, Tumpat, Hulu Langat, Kota Raja, Subang, Seremban dan Bukit Katil.

    Tan Sri Abdul Rashid jelas mengambil arahan daripada orang atasan politik dalam BN semasa persempadanan semula 2003. Langkah ini dilakukan untuk meningkatkan penguasaan politik BN/UMNO dan bukannya untuk mengekalkan penguasaan politik Melayu. Oleh itu, adalah perlu untuk mewujudkan SPR yang benar-benar bebas dari kawalan politik untuk menjalankan persempadanan semula dan juga untuk menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Parlimen untuk memantau kerja persempadanan semula tersebut.

    XXX

    Isu ketiga yang ingin saya bangkitkan ialah hal Pentafsiran Berasaskan Sekolah (PBS). Walaupun falsafah yang mendasari PBS mungkin baik, namun seperti banyak perkara lain di Malaysia, ia telah dilaksanakan dengan teruk sejak mula lagi. PBS telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada tahun 2011 dan di peringkat sekolah menengah pada tahun 2012. Ramai guru telah mengadu bahawa mereka tidak dapat memasukkan gred pelajar melalui sistem pengurusan dalam talian (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS)). Semakin ramai pelajar yang mula dinilai di bawah PBS, semakin bertambah jumlah aduan tersebut. Dengan adanya kira-kira 450,000 orang pelajar Darjah 1 hingga Tingkatan 3, bilangan pelajar yang sepatutnya dinilai di bawah PBS telah bertambah mendadak dari 450,000 pada tahun 2011 ke kira-kira 3.2 juta pada tahun 2014 (1.8 juta dari Darjah 1-4, 1.4 juta dari Tingkatan 1-3 termasuk Kelas Peralihan). Kementerian seolah-olah langsung tidak bersedia untuk menampung jumlah pengguna yang diperlukan untuk memasukkan gred bagi lebih daripada 3 juta pelajar secara mingguan dan bulanan.[1]

    Saya pernah diberitahu guru-guru bahawa mereka terpaksa bangun pada pukul 2 atau 3 pagi hanya untuk memasukkan gred pelajar kerana kurang trafik di sistem pada waktu tersebut. Lebih buruk lagi, saya telah menerima aduan daripada guru-guru yang mendapati bahawa gred bagi pelajar-pelajar mereka akan ‘hilang’ terus selepas dimasukkan dalam sistem. Malah, meja bantuan SPPBS seolah-olah tidak berupaya menangani aduan daripada para guru. Sejak keputusan untuk menggantung SPPBS hingga 1 April 2014, guru-guru terpaksa merekodkan skor PBS pelajar mereka secara manual. Timbalan Menteri Pelajaran, P. Kamalanathan, sendiri menghadapi kesukaran dengan SPPBS apabila beliau memerlukan 2 minit untuk memasukkan gred bagi seorang pelajar melalui SPPBS.[2] Seandainya sistem tidak ‘tergantung’, seorang guru yang bertanggungjawab untuk 3 kelas dengan 30 pelajar setiap kelas untuk hanya 1 mata pelajaran memerlukan sekurang-kurangnya 3 jam seminggu hanya untuk memasukkan gred. Yang lebih membimbangkan untuk pelajar, ibu bapa dan guru, PMR akan dimansuhkan pada tahun ini dan terdapat kurang penjelasan tentang bagaimana PBS akan menggantikan PMR.

    Sebagai contoh, walaupun Kementerian Pendidikan telah mengumumkan bahawa PBS akan mempunyai empat komponen – penilaian sekolah, penilaian pusat, penilaian fizikal, sukan dan aktiviti ko-kurikulum serta penilaian psikometrik – apa yang tidak jelas adalah pemberat/wajaran (weightage) empat komponen tersebut, mata pelajaran yang akan dinilai oleh pusat, dan bagaimana Kementerian merancang untuk membandingkan keputusan antara sekolah-sekolah terutamanya untuk proses ‘streaming’.

    Daripada menolak kritikan tentang PBS oleh badan bukan kerajaan seperti SGMM dan Kumpulan Tindakan Ibu Baba untuk Pendidikan (PAGE), Kementerian seharusnya mendengar pandangan mereka dan bekerjasama dengan mereka untuk menangani krisis pendidikan yang menyelubungi negara.

    Memandangkan terdapat begitu banyak masalah dengan PBS, saya menyeru Menteri untuk menggantungkan PBS dan kembali kepada sistem berasaskan peperiksaan, terutamanya bagi kohort Tingkatan 3 tahun ini. Pada masa ini, Menteri juga harus menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji semula kesesuaian PBS untuk sistem pendidikan Malaysia dan sama ada ia akan membantu menangani krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan kita yang telah melihat kedudukan PISA dan TIMSS kita menjunam teruk kebelakangan ini.

    XXX

    Dua minggu lalu, Dr Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput, telah mengemukakan usul untuk membentangkan Akta Keterangkuman Sosial 2014 sebagai rang undang-undang ahli persendirian di bawah Perkara 49 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Parlimen. Saya ialah penyokong kedua bagi rang undang-undang ahli persendirian ini.[3]

    Pertama, Akta Keterangkuman Sosial 2014 adalah selaras dengan dasar tindakan afirmatif berasaskan keperluan (needs based affirmative action policy) yang telah dan sedang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. Akta ini akan mewujudkan satu Suruhanjaya Rangkuman Sosial yang bertanggungjawab mengenalpasti masyarakat yang terpinggir dan mewujudkan dasar-dasar inklusif sosial untuk memenuhi keperluan komuniti-komuniti tersebut termasuk mereformasikan institusi dan struktur yang sedia ada.

    Kedua, Akta ini menyokong kewujudan Suruhanjaya Rangkuman Sosial yang mempunyai kuasa-kuasa pengawasan yang kukuh terhadap dasar-dasar kerajaan. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 17(1)(c) Akta ini, Suruhanjaya ini diberi kuasa untuk memantau, menilai dan meluluskan pelaksanaan pelan tindakan keterangkuman sosial oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri. Pada masa sekarang, isu kemiskinan dan isu sosial tidak ditangani secara holistik oleh kerajaan dan kabinet tetapi disebarkan dan diedarkan untuk dikendali oleh pelbagai kementerian. Sebuah Suruhanjaya Rangkuman Sosial yang kuat akan membantu memberi tumpuan yang lebih kepada program dan dasar yang sedia ada yang sepatutnya menangani isu kemiskinan dan pengecualian sosial.

    Ketiga, akta ini menyokong proses pelantikan ahli Suruhanjaya yang telus di mana sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang diketuai oleh pemimpin pembangkang dengan 4 Ahli Parlimen (dua dari Kerajaan dan dua dari pembangkang) akan mengesyorkan 7 anggota Suruhanjaya Keterangkuman Sosial kepada Perdana Menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Akta ini juga memberi kuasa kepada Jawatankuasa untuk melantik tiga pakar untuk membantu dengan situasi pengecualian sosial yang unik di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak.

    Keempat, Akta ini menyediakan satu model untuk akauntabiliti parlimen dan awam. Suruhanjaya Keterangkuman Sosial dikehendaki oleh Akta ini untuk menyerahkan laporan separuh tahunan dan akaun terperinci yang telah diaudit oleh Ketua Audit Negara kepada Parlimen serta menyediakan laporan yang boleh diakses oleh orang awam. Akta ini juga mewajibkan orang ramai diberi peluang untuk memberi pandangan mereka semasa penggubalan mana-mana dan semua dasar rangkuman sosial oleh Suruhanjaya tersebut.

    Kelima, Akta ini menghormati dan menjunjung perlembagaan termasuk Perkara 153.

    Malangnya, akta persendirian ini tidak dimasukkan dalam usul dewan yang mulia ini. Saya ingin bertanya, dengan izin, “Where is democracy if private member’s bills are ignored time and time again?”

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.