• Pihak polis di Lojing, Kelantan berlaku tidak adil dalam menahan dan mendakwa 3 Orang Asli Temiar membuat ‘rusuhan’ walaupun mereka sebenarnya merupakan mangsa serangan ganas

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 12 Mac 2014 di Kuala Lumpur

    Pihak polis di Lojing, Kelantan berlaku tidak adil dalam menahan dan mendakwa 3 Orang Asli Temiar membuat ‘rusuhan’ walaupun mereka sebenarnya merupakan mangsa serangan ganas

    Pada 26 Feb 2014, 6 Orang Asli Temiar dari Kampung Tahu di Lojing, Kelantan telah diserang oleh sekumpulan besar pekerja asing Myanmar (antara 40 hingga 100 orang pekerja asing) ketika dalam perjalanan ke mesyuarat kampung. Hasilnya, 2 Orang Asli Temiar telah cedera teruk dan memerlukan rawatan di hospital dengan 7 jahitan (Itam bin Ajang) dan 15 jahitan (Rahman bin Uda) masing-masing. Motosikal yang dimiliki oleh seorang lagi (Anes bin Akai) sengaja dirosakkan oleh jentolak selepas ditinggalkannya ketika melarikan diri.[1]

    Pada 27 Feb 2014, mangsa-mangsa telah membuat laporan di Balai Polis Daerah Gua Musang tetapi dinasihati polis untuk ‘menyelesaikan’ perkara tersebut dengan majikan pekerja asing. Mereka cuba dipujuk polis untuk menerima pampasan RM500 daripada All Green Agritech Sdn Bhd, iaitu majikan pekerja Myanmar tersebut dan pemilik projek yang telah mencerobohi tanah adat Orang Asli Temiar.[2] Pihak polis juga cuba memujuk mereka untuk mengatakan bahawa kecederaan mereka berlaku kerana mereka jatuh dari motosikal dan mabuk pada masa itu.

    Pada 5 Mac 2014, enam Orang Asli tersebut (termasuk para mangsa) telah pergi ke KL untuk membuat aduan di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman dengan bantuan peguam dari Majlis Peguam. Mereka mengadu kepada Bahagian Etika (Bahagian Tatatertib) Bukit Aman tentang tingkah laku pihak polis Gua Musang yang tidak profesional. [3]

    Pada 9 Mac 2014, tiga daripada enam Orang Asli tersebut telah ditahan di Balai Polis Gua Musang untuk siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan atas dakwaan ‘memiliki senjata semasa rusuhan.’ Yang ditahan ialah Itam Anjang, Rahman Uda dan Anis Akai yang menjadi mangsa serangan pada 26 Februari dan telah pergi ke KL pada Mac 5 untuk membuat aduan di Bukit Aman.

    Pada 11 Mac 2014, ketiga-tiga Orang Asli Temiar telah didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang di bawah S148 di mana mereka menuntut perbicaraan. Hakim menetapkan ikat jamin RM 2,000 untuk setiap seorang. Sehingga semalam, mereka gagal mengepos jaminan tidak mempunyai akses kepada dana yang mencukupi.

    Ini merupakan satu persendaan terhadap keadilan apabila mangsa serangan ganas sebaliknya dituduh sebagai penjenayah. Jelasnya, polis di Gua Musang sedang ‘membalas dendam’ terhadap tiga Orang Asli kerana membuat laporan terhadap mereka di Bukit Aman. Peristiwa ini juga menimbulkan persoalan tentang kemampuan polis di Gua Musang untuk melindungi penduduk kampung Orang Asli Temiar di Kampung Tahu, Lojing, Gua Musang dan hubungan mereka dengan All Green Agritech Sdn Bhd iaitu majikan pekerja asing yang menyerang Orang Asli.

    Saya menyeru Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, untuk menjalankan siasatan penuh terhadap aduan yang dibuat terhadap tingkah laku polis di Gua Musang, menggugurkan semua tuduhan terhadap Itam Anjang, Rahman Uda dan Anis Akai jika terdapat bukti bahawa polis di Gua Musang bertindak secara tidak profesional, dan  mengambil tindakan disiplin yang serius terhadap individu-individu yang telah mencemari nama baik pasukan polis.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran:

Leave a reply.