• Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan, seharusnya membaca garis panduan EIA Malaysia dan bukannya meminta penduduk menggunakan ‘Google’ untuk mendapatkan maklumat.

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 7 Mac 2014 di Kuala Lumpur

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan, seharusnya membaca garis panduan EIA Malaysia dan bukannya meminta penduduk menggunakan ‘Google’ untuk mendapatkan maklumat.

    Saya terkejut apabila terbaca bahawa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan, tela meminta saya untuk menggunakan ‘Google’ mencari maklumat tentang insinerator di Jepun untuk mengetahui lebih lanjut tentang loji ‘Sisa kepada Tenaga’ (WtE) yang selamat.[1] Sebagai seorang menteri, beliau sepatutnya lebih bertanggungjawab dengan kata-kata dan tindakan beliau dan bukannya mengetepikan kebimbangan penduduk dan pengundi yang tulen.

    Namun, memandangkan beliau telah meminta saya menggunakan ‘Google’, saya berkeputusan ‘mengambil nasihat’ beliau dan berbuat demikian. Saya menggunakan ‘Google’ untuk mencari maklumat tentang “Insinerator Jepun” dan meneliti maklumat yang didedahkan di halaman pertama.

    Hasil carian yang keempat merupakan laman web Jabatan Hal Ehwal Bekas Askar Amerika Syarikat[2]:

    “Insinerator Sisa di Atsugi, Jepun – Dari tahun 1985 hingga 2001, kakitangan di Pusat Udara Tentera Laut Atsugi (NAF) di Atsugi, Jepun mungkin telah terdedah kepada bahan cemar alam sekitar daripada insinerator sisa di luar Pusat. Kompleks Insinerator Shinkampo (SIC) dulu merupakan tempat pelupusan sisa yang dilengkapi dengan insinerator yang dapat membakar sehingga 90 tan sisa industri dan perubatan setiap hari. Emisi udara termasuk bahan kimia dan bahan zarahan yang lain. Sebuah syarikat swasta Jepun memiliki dan mengendalikan perniagaan tersebut. Tentera Laut Amerika Syarikat mendapati bahawa ini mungkin meningkatkan risiko kesihatan lalu bekerjasama dengan kerajaan Jepun untuk menutup SIC. Insinerator telah ditutup pada Mei 2001. Jika anda bimbang terhadap emisi di Atsugi, sila menghubungi pakar kesihatan anda atau Penyelaras VA Kesihatan Alam Sekitar tempatan.”

    Hasil carian yang keenam merupakan laman web di Hong Kong:[3]

    “Pembakaran sampah boleh mengurangkan jumlah bahan buangan sebanyak 90% dengan segera dan drastik. Ia seolah-olah merupakan satu cara penyelesaian yang sangat mudah. Walau bagaimanapun, pembakaran tidak boleh menyelesaikan masalah sisa jangka panjang Hong Kong. Kemudahan Pengurusan Sisa Bersepadu yang dicadangkan hanya boleh mengendalikan 3,000 tan sisa pepejal setiap hari, dan jumlah sisa pepejal perbandaran yang dilupuskan di tapak pelupusan kini mencecah 9,000 tan setiap hari. Walaupun kemudahan tersebut mungkin berskala besar, mereka masih tidak mampu menampung permintaan pelupusan sisa tempatan. Jika sebuah insinerator tidak mampu menampung permintaan, haruskah kita membina insinerator yang kedua? Adakah kita akan terus membina lebih banyak insinerator lagi apabile jumlah sampah terus meningkat? Jika jawapannya ya, nampaknya bilangan insinerator akan terus naik pada masa depan.”

    Hasil carian yang ketujuh merupakan laman web cawangan bahan kimia Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)[4]:

    “Secara purata, udara Jepun mengandungi hampir 10 kali ganda jumlah dioksin di negara industri lain. Sebahagian besar statistik ini disebabkan kecenderungan negara tersebut terhadap pembakaran sisa – iaitu sumber yang dikatakan melepaskan kira-kira 90 peratus daripada anggaran 5 kg (atau lebih) bahan kimia toksik setiap tahun.”

    Berdasarkan nasihat Menteri, saya gagal mencari bukti kukuh melalui carian ‘Google’ bahawa insinerator di Jepun mempunyai rekod yang baik.

    Memandang Menteri begitu gemar memberi nasihat, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menawarkan beliau nasihat saya sendiri. Saya mempelawa Menteri membaca “Penilaian Kesan Alam Sekitar – Garis Panduan Untuk Loji Pembakaran Sisa Pepejal” yang disediakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Malaysia, pada November 2012. Ini merupakan dokumen terkini yang disediakan oleh JAS yang, malangnya TIDAK boleh didapati di Internet dan oleh itu tidak boleh diakses melalui ‘Google’ atau laman web JAS. Saya telah membaca salinan bercetak dan saya cadangkan bahawa Menteri membaca dokumen ini ketika beliau mempunyai masa lapang. Saya ingin merekomen beliau untuk membaca halaman 44, yang mengatakan bahawa:

    “Secara umumnya, jarak penampan minimum di Malaysia untuk kilang pembakaran sisa pepejal adalah jejari 500m (diukur dari sempadan loji). Jarak ini mengikut garis panduan umum bagi industri berat di bawah “Garis Panduan untuk Penempatan dan Pengezonan Industri” Jabatan Alam Sekitar. Walau bagaimanapun, perlu diingatkan bahawa dengan kemajuan dalam teknologi, impak potensi boleh dikurangkan dengan menggunakan teknik-teknik sedia ada terbaik atau ‘best available techniques (BAT)’. Oleh itu, jarak penampan minimum bagi SWI dari mana-mana kawasan yang sensitif seperti kawasan perumahan yang mempunyai ekologi yang sensitif haruslah seluas 500m (diukur dari sempadan kilang) melainkan jika dapat dibuktikan melalui data saintifik, pemilihan teknologi contohnya keputusan BAT iaitu pemodelan untuk pencemaran udara dan lain lain.

    Dalam kes-kes di mana jarak penampan yang sesuai tidak dapat dipenuhi dan projek itu perlu diletakkan di lokasi yang tertentu, kejuruteraan tambahan dan/atau kawalan operasi boleh dipertimbangkan untuk mengurangkan zon kesan pencemaran yang bakal timbul daripada projek itu. Pengurangan zon impak yang membolehkan pengurangan jarak penampan hendaklah dinyatakan dengan jelas dalam kajian DEIA dalam bentuk penemuan yang disokong oleh pertimbangan teknikal yang kukuh. Walau bagaimanapun, ini akan dirujuk kepada secara kes demi kes dan tanggungjawab adalah pada Penggerak Projek untuk memilih tapak yang sesuai sebelum memilih tapak yang tidak ada jarak penampan yang mencukupi.”

    Keperluan untuk zon penampan dinyatakan dengan jelas di dalam garis panduan JAS. Hanya kerana ada insinerator di Jepun (atau mana-mana tempat lain) yang terletak di sebelah sekolah atau hospital tidak bermakna bahawa ini perlu diterima atau adalah selaras dengan garis panduan di Malaysia. Malah, pemilihan tapak di Taman Beringin, Kepong, dengan jarak penampan yang tidak mencukupi telah menunjukkan kesediaan Kementerian dan Menteri bertindak sewenang-wenangnya atas proses dan garis panduan Jabatan Alam Sekitar.

    Menteri itu juga dilaporkan berkata bahawa kajian kesesuaian tapak UTM mungkin ‘ketinggalan zaman’ dan bahawa “Kerajaan tidak boleh beroperasi berdasarkan khabar angin dan tuduhan yang tidak berasas dan jikalau tidak, kami tidak boleh mentadbir negara” [5]

    Menteri harus sedar bahawa kajian tapak UTM telah dijalankan pada bulan Februari 2013 dan telah diberikan kepada pembida loji ‘Sisa kepada Tenaga’ di Taman Beringin yang berpotensi. Tapak yang dikenal pasti (Pilihan B dalam kajian) tidak berubah yang bermaksud bahawa zon penampan untuk kilang WtE yang dicadangkan itu tidak berubah. Setakat yang saya tahu, aspek daripada kajian ini tidak ‘ketinggalan zaman’.

    Tambahan pula, zon penampan yang mencukupi telah diketengahkan dalam kajian tapak UTM, bukan berdasarkan khabar angin dan tuduhan yang tidak berasas. Di samping itu, kebakaran yang besar di kilang insinerator Tuas di Singapura pada November 2013 [6]dan letupan besar di loji insinerator terkini di Shanghai pada Disember 2013 di mana seorang terbunuh[7] benar-benar berlaku dan bukan berdasarkan khabar angin (saya telah memasukkan link di bawah supaya Menteri tidak perlu menggunakan carian ‘Google’). Inilah sebabnya mengapa zon penampan adalah di dalam garis panduan – supaya sekiranya berlaku kemalangan, kecederaan dan kematian penduduk dapat dielakkan. Menteri tersebut perlu merujuk kepada garis panduan ini dan bukannya mengambil pendekatan yang tidak bertanggungjawab dengan meminta penduduk dan pengundi untuk menggunakan ‘Google’.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.