• Dokumen tender untuk loji ‘Sisa kepada Tenaga’ (WtE) di Taman Beringin, Kepong menimbulkan kebimbangan besar mengenai tapak yang dikenal pasti untuk loji ini.

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 4 Mac 2014

    Dokumen tender untuk loji ‘Sisa kepada Tenaga’ (WtE) di Taman Beringin, Kepong menimbulkan kebimbangan besar mengenai tapak yang dikenal pasti untuk loji ini.

    Pagi tadi, saya melawat tapak cadangan untuk loji ‘Sisa kepada Tenaga’ (WtE) di Taman Beringin, Kepong sebagai sebahagian daripada lawatan yang telah dianjurkan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) bagi mereka yang berminat untuk membuat bidaan untuk projek ini. Tapak cadangan ini terletak bersebelahan dengan Stesen Pemindahan Taman Beringin.

    Salah satu dokumen yang dikeluarkan kepada pembida yang berpotensi ialah satu kajian tapak yang telah dijalankan oleh Uni-Technologies iaitu sebuah syarikat yang dimiliki oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Laporan tersebut bertajuk “Mengkaji Kesesuaian Tapak Bagi Pembinaan Loji Rawatan Termal di Kawasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur” (dilampirkan di bawah). Kajian ini (dilampirkan di bawah), yang telah disiapkan pada bulan Februari 2013, menganggap bahawa sebuah loji rawatan terma – dalam erti kata lain, insinerator – akan dibina di tapak yang dicadangkan. Ini merupakan bukti tambahan bahawa tender keseluruhan sudah pun berat sebelah terhadap pembinaan insinerator, meskipun Agensi Pengurusan Sisa Pepejal Kebangsaan mendakwa bahawa tender tersebut neutral teknologi.

    Yang lebih membimbangkan, laporan yang sama juga menunjukkan bahawa tapak B yang dicadangkan untuk loji WtE tidak memenuhi zon penampan sejauh 500m yang merupakan keperluan di bawah garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS). Untuk Pilihan B1 dan B2, loji yang dicadangkan sejauh 91.78m dan 56.93m masing-masing dari kawasan kediaman Jinjang Utara (lihat Lampiran 1A dan 1B di bawah). Pada masa yang sama, Pilihan B1 dan B2 hanya 76.72m dan 112.4m dari stesen Shell dan Petronas yang sedia ada.

    Kekurangan zon penampan ini bukan sahaja mendatangkan risiko kepada penduduk di kawasan Jinjang Utara yang berdekatan, malah berpotensi membahayakan mereka yang mengunjungi kedua-dua stesen minyak yang berdekatan. Baru-baru ini, pada November 2013, satu insiden kebakaran telah berlaku di loji insinerator Tuas di Singapura. [1] Jika situasi yang sama berlaku di loji WtE di tapak yang dicadangkan itu yang terletak di sebelah lebuh raya utama (MRR2) dan di kawasan yang padat penduduk, ramai nyawa akan terancam.

    Di samping itu, menurut Draf Pelan Bandar Raya KL 2020, tapak cadangan WtE juga bertindih dengan kawasan perumahan yang dirancang untuk kawasan itu (lihat Lampiran 2 di bawah).

    Hakikatnya, keputusan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara untuk hanya membentangkan kajian ini kepada pembida yang berpotensi, dan bukan kepada orang ramai, jelas menunjukkan bahawa mereka bimbang tentang implikasi negatif yang mungkin timbul dari penerbitan kajian ini. Ini menunjukkan sekali lagi bahawa pihak Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan kurang konsisten mahupun telus dalam hal pengurusan pembinaan loji WtE yang dicadangkan ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran: “Mengkaji Kesesuaian Tapak Bagi Pembinaan Loji Rawatan Termal di Kawasan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur” (Site Suitability Study for the building of a thermal treatment plant at the Solid Waste Disposal Site in Taman Beringin, Jinjang Utara, Kuala Lumpur)

    Lampiran 1A: Pilihan B1 di Tapak Cadangan

    Lampiran 1B: Pilihan B2 di Tapak Cadangan

    Lampiran 2: Pertindihan antara Tapak Pilihan B dan Kawasan Perumahan yang Dirancang

Leave a reply.