• Menteri Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin perlu berhenti mempertahankan tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak menandatangani MoU dengan Hindraf sebelum PRU ke-13 yang sebenarnya beliau tiada niat untuk tunaikan

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 24 Februari, 2014 di Kuala Lumpur

    Menteri Abdul Rahman Dahlan dan Khairy Jamaluddin perlu berhenti mempertahankan tindakan Perdana Menteri Najib Tun Razak menandatangani MoU dengan Hindraf sebelum PRU ke-13 yang sebenarnya beliau tiada niat untuk tunaikan

    Pada minggu lalu, dua Menteri – Abdul Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan – telah menyerang bekas Timbalan Menteri, P Waythamoorthy melalui Twitter atas sebab beliau meletak jawatan dan mendesak Perdana Menteri Najib untuk turut meletak jawatan kerana gagal menunaikan janji-janji yang dibuat dalam Memorandum Persefahaman (MoU) antara BN dan Hindraf sebelum PRU ke-13. Kedua-dua Menteri sebenarnya tidak ikhlas ​​mempertahankan Perdana Menteri kerana mereka langsung tidak menyebut kandungan MoU Hindraf dan sejauh mana Perdana Menteri telah gagal atau berjaya melaksanakan janji-janji yang digariskan dalam MoU ini.

    Walaupun saya tidak mempunyai akses kepada MOU Hindraf spesifik yang ditandatangani oleh Perdana Menteri, saya mempunyai akses kepada salinan Rangka Tindakan Hindraf (lihat Lampiran I di bawah) yang telah dibentangkan kepada Pakatan Rakyat sebelum pilihan raya umum ke-13 di mana tuntutan-tuntutan tertentu tertentu telah digariskan. Saya pasti tuntutan-tuntutan ini telah dimasukkan dalam MoU yang ditandatangani dengan Perdana Menteri.

    Di bawah seksyen “Pelan Kesedaran” dalam Rangka Tindakan Hindraf, sebuah Kementerian Berkuatkuasa yang dipanggil Kementerian Hal Ehwal Minoriti telah dicadangkan di mana Hindraf akan ‘memimpin Kementerian tersebut.’ Peranan Kementerian ini juga diterangkan dengan jelas dalam Rangka Tindakan Hindraf, di mana ia menyatakan bahawa Kementerian:

    1. Harus menerajui usaha-usaha pembangunan sosio-ekonomi untuk masyarakat terpinggir dan minoriti

    2. Harus merancang keperluan belanjawan dan memperoleh peruntukan yang diperlukan

    3. Harus merancang dan melaksanakan semua usaha pembangunan

    4. Harus menyelaras semua kementerian lain yang berkaitan bagi melaksanakan kuota/sasaran peruntukan yang berkaitan dengan masyarakat terpinggir dan minoriti.

    5. Harus menduduki jawatankuasa timbang tara yang bertanggungjawab menyelesaikan konflik mengenai peruntukan, kuasa, sokongan dan masalah pelaksanaan lain-lain.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib sudah pun memberi isyarat bahawa beliau tidak berniat untuk menghormati MoU ini apabila beliau melantik Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri tanpa Kementerian sendiri, dan bukannya mewujudkan sebuah Kementerian Hal Ehwal Minoriti baru dan melantik Waythamoorthy sebagai Menteri Kementerian tersebut seperti yang digariskan dalam Rangka Tindakan Hindraf dulu.

    Rangka Tindakan Hindraf juga mencadangkan bajet tahunan berjumlah RM4.9 bilion untuk diperuntukkan kepada Kementerian Hal Ehwal Minoriti termasuk RM2 bilion untuk tanah yang diperuntukkan untuk pertanian berkontrak, RM1 bilion untuk perumahan, RM20 juta bagi program latihan kemahiran semula dan RM400 juta untuk tanah kuil dan tanah perkuburan, semuanya untuk pekerja ladang tersisih. Ia juga mencadangkan bahawa 10% daripada semua pekerjaan kerajaan, lesen dan permit, kontrak kerajaan dan penyertaan dalam program keusahawanan diberikan kepada masyarakat India. Tanpa Kementerian Hal Ehwal Minoriti dan Menteri Hindraf, tidak hairan apabila janji untuk bajet khusus tersebut tidak menjadi kenyataan.

    Dengan mengambil kira permintaan Rangka Tindakan Hindraf dan, saya syaki, kandungan MoU yang ditandatangani, adalah salah untuk Khairy Jamaluddin mengkritik Waythamoorthy yang ingin mengawal bajet sendiri terutamanya jika ini telah pun jelas dinyatakan dalam MoU! Jika Khairy yang telah menduduki kabinet kurang daripada setahun boleh mengatakan bahawa ‘ini bukan cara kerajaan beroperasi’, maka Perdana Menteri Najib yang telah menduduki kabinet untuk lebih lama tidak sepatutnya menandatangani MoU dengan Hindraf jika beliau tidak berniat memberi pemimpin Hindraf apa-apa kawalan belanjawan pun!

    Adalah jelas bahawa Perdana Menteri Najib tidak berniat untuk menghormati MoU dengan Hindraf dan beliau hanya menandatanganinya dalam keadaan terdesak kerana mahu memenangi sokongan komuniti India semasa pilihan raya umum ke-13. Ini adalah konsisten dengan banyak ‘pusingan-U’ yang telah beliau buat sebagai Perdana Menteri selepas menggantikan Abdullah Badawi pada tahun 2009 dan kegagalannya untuk memenuhi janji pilihan raya ke-13 seperti mengurangkan kadar tol antara bandar dan mengurangkan harga kereta. Ia hanya soal masa sebelum Perdana Menteri Najib memungkiri lebih banyak janji pilihan raya.

    Alternatif kepada program komuniti khusus Hindraf ialah falsafah dan program-program tindakan afirmatif berdasarkan keperluan (needs based affirmative action) Pakatan Rakyat yang telah dinyatakan dalam manifesto PR GE13 dan pelbagai belanjawan alternatif PR. Setiap masyarakat mempunyai kumpulan terpinggir dan kurang bernasib baik yang tersendiri. Walaupun sesetengah kumpulan ini mungkin mempunyai cabaran asas tertentu dan memerlukan preskripsi dasar tertentu untuk mengatasi cabaran-cabaran ini, pendekatan yang lebih holistik diperlukan bagi menangani isu-isu seperti kemiskinan dan ketidaksamarataan menyeluruh untuk semua kumpulan yang terlibat. Inilah sebab saya menyokong pembentangan Akta Keterangkuman Sosial 2014 sebagai rang undang-undang ahli persendirian pada sesi parlimen yang akan datang pada bulan Mac.[1]

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran I: Petikan daripada Rangka Tindakan Hindraf yang dibentangkan kepada to Pakatan Rakyat

Leave a reply.