• Mengapa saya menyokong pembentangan Akta Keterangkuman Sosial 2014 sebagai rang undang-undang ahli persendirian oleh Dr Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 24 Februari 2014, di Kuala Lumpur

    Mengapa saya menyokong pembentangan Akta Keterangkuman Sosial 2014 sebagai rang undang-undang ahli persendirian oleh Dr Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput

    Pagi tadi, Dr Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput, telah mengemukakan usul untuk membentangkan Akta Keterangkuman Sosial 2014 sebagai rang undang-undang ahli persendirian di bawah Perkara 49 Peraturan-Peraturan Mesyuarat Parlimen. Bersama usul ini dimasukkan surat sokongan saya sebagai penyokong kedua bagi rang undang-undang ahli persendirian ini.[1]

    Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) atas sokongan mereka terhadap rang undang-undang ini. Pada masa yang sama, saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM) dan HAKAM atas usaha mereka dalam merangka rang undang-undang ini.

    Terdapat 5 sebab mengapa saya menyokong rang undang-undang ini dalam kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen.

    Pertama, Akta Keterangkuman Sosial 2014 adalah selaras dengan dasar tindakan afirmatif berasaskan keperluan (needs based affirmative action policy) yang telah dan sedang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat. Akta ini mewujudkan satu Suruhanjaya Rangkuman Sosial yang ditugaskan untuk mengenal pasti masyarakat yang terpinggir dan mewujudkan dasar-dasar inklusif sosial untuk menyelesaikan keperluan komuniti-komuniti tersebut termasuk mereformasikan institusi dan struktur yang sedia ada.

    Kedua, Akta ini menyokong penciptaan Suruhanjaya Rangkuman Sosial yang mempunyai kuasa-kuasa pengawasan yang kukuh terhadap dasar-dasar kerajaan. Sebagai contoh, di bawah Seksyen 17 (1) (c) Akta ini, Suruhanjaya ini diberi kuasa untuk memantau, menilai dan meluluskan pelaksanaan pelan tindakan keterangkuman sosial oleh Kerajaan-kerajaan Persekutuan dan Negeri.Pada masa sekarang, isu kemiskinan dan isu sosial tidak ditangani secara holistik dalam kerajaan dan kabinet tetapi disebarkan dan diedarkan untuk dikendali oleh pelbagai kementerian. Sebuah Suruhanjaya Rangkuman Sosial yang kuat akan membantu memberi tumpuan yang lebih kepada program dan dasar yang sedia ada yang sepatutnya menangani isu kemiskinan dan pengecualian sosial.

    Ketiga, akta ini menyokong proses pelantikan ahli Suruhanjaya yang telus di mana sebuah Jawatankuasa Terpilih Parlimen yang diketuai oleh pemimpin pembangkang dengan 4 Ahli Parlimen (dua dari Kerajaan dan dua dari pembangkang) akan mengesyorkan 7 anggota Suruhanjaya Keterangkuman Sosial kepada Perdana Menteri untuk dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong. Akta ini juga memberi kuasa kepada Jawatankuasa untuk melantik tiga pakar untuk membantu dengan situasi pengecualian sosial yang unik di Malaysia Barat, Sabah dan Sarawak.

    Keempat, Akta ini menyediakan satu model untuk akauntabiliti parlimen dan awam. Suruhanjaya Keterangkuman Sosial dikehendaki oleh Akta ini untuk menyerahkan laporan separuh tahunan dan akaun terperinci yang telah diaudit oleh Ketua Audit Negara kepada Parlimen serta membuat laporan yang boleh didapati secara umum. Akta ini juga mewajibkan bahawa orang ramai harus diberi peluang untuk memberi input mereka semasa penggubalan mana-mana dan semua dasar rangkuman sosial oleh Suruhanjaya tersebut.

    Kelima, Akta ini menghormati dan menjunjung perlembagaan termasuk Perkara 153.

    Memandangkan kertas kerja telah difailkan dan rang undang-undang ini tidak melanggar mana-mana Perintah Tetap (Standing Orders) atau perlembagaan, saya harap bahawa Setiausaha Parlimen akan bersetuju dengan pembentangan rang undang-undang ini sebagai Ahli Persendirian Rang Undang-Undang ketika sidang parlimen akan datang yang bermula pada 10 Mac nanti.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.