• Menteri Pelajaran harus mendengar maklum balas daripada Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan bukannya mengancam wakil mereka seperti dengan memindahkan Mohd Nor Izzat Mohd Johari, ketua kumpulan kerja, dengan notis 24 jam

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 22hb Februari 2014 di Kuala Lumpur

    Menteri Pelajaran harus mendengar maklum balas daripada Suara Guru-Masyarakat Malaysia (SGMM) mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan bukannya mengancam wakil mereka seperti dengan memindahkan Mohd Nor Izzat Mohd Johari, ketua kumpulan kerja, dengan notis 24 jam

    Dilaporkan semalam bahawa ketua NGO – Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) – Mohd Nor Izzat Mohd Johari – telah diberikan notis pemindahan 24 jam ke sebuah sekolah luar bandar di Pahang.[1] Tidak sukar untuk membayangkan bahawa pemindahan mengejut ini mempunyai kaitan dengan akitiviti Mohd Nor dalam memperjuangkan pemansuhan School Based Assessment (SBA) atau Pentaksiran Berasakan Sekolah (PBS).

    Walaupun falsafah yang mendasari PBS mungkin baik, seperti banyak perkara lain di Malaysia, ia telah teruk dilaksanakan dari mula lagi. PBS telah diperkenalkan di peringkat sekolah rendah pada tahun 2011 dan di peringkat sekolah menengah pada tahun 2012. Ramai guru telah mengadu bahawa mereka tidak dapat memasukkan gred pelajar melalui sistem pengurusan dalam talian (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah atau SPPBS). Semakin ramai pelajar yang mula dinilai di bawah PBS, semakin bertambah jumlah aduan-aduan tersebut. Dengan adanya kira-kira 450,000 pelajar di setiap peringkat sekolah dari Darjah 1 hingga Tingkatan 3, bilangan pelajar yang sepatutnya dinilai di bawah PBS telah bertambah mendadak daripada 450,000 pada tahun 2011 kepada kira-kira 3.2 juta pada tahun 2014 (1.8 juta dari Darjah 1 hingga Darjah 4, 1.4 juta daripada Tingkatan 1-3 termasuk Kelas Peralihan). Kementerian seolah-olah langsung tidak bersedia untuk menampung jumlah pengguna yang diperlukan untuk menginput gred bagi lebih dari 3 juta pelajar secara mingguan dan bulanan.[2]

    Saya telah mendengar cerita-cerita seram daripada guru-guru yang terpaksa bangun pada 2 atau 3 pagi hanya untuk menginput gred kerana sistem kurang trafik pada waktu tersebut. Lebih buruk lagi, saya telah menerima aduan guru-guru yang mendapati bahawa gred bagi pelajar-pelajar mereka akan ‘hilang’ terus selepas diinput. Malah, meja bantuan SPPBS seolah-olah tidak berupaya menangani banyak aduan guru-guru. Sejak keputusan untuk menggantung SPPBS hingga 1 April 2014, guru-guru terpaksa merekodkan skor PBS pelajar mereka secara manual. Timbalan Menteri Pelajaran, P. Kamalanathan, sendiri menghadapi kesukaran dengan SPPBS apabila beliau memerlukan 2 minit untuk memasukkan gred bagi seorang pelajar melalui SPPBS.[3] Seandainya sistem tidak ‘tergantung’, seorang guru yang bertanggungjawab untuk 3 kelas dengan 30 pelajar setiap 1 kelas untuk hanya 1 mata pelajaran memerlukan sekurang-kurangnya 3 jam seminggu hanya untuk memasukkan gred. Yang lebih membimbangkan untuk pelajar, ibu bapa dan guru-guru, PMR akan dimansuhkan pada tahun ini dan terdapat kurang penjelasan tentang bagaimana PBS akan menggantikan PMR.

    Sebagai contoh, walaupun Kementerian Pendidikan telah mengumumkan bahawa PBS akan mempunyai empat komponen – penilaian sekolah, penilaian pusat, penilaian fizikal, sukan dan aktiviti ko-kurikulum dan penilaian psikometrik – apa yang tidak jelas adalah pemberat / wajaran (weightage) empat komponen tersebut, mata pelajaran apa yang akan dinilai oleh pusat, dan bagaimana Kementerian merancang untuk membandingkan keputusan antara sekolah-sekolah terutamanya untuk proses ‘streaming’ (untuk memberi beberapa contoh).

    Daripada memekakkan telinga terhadap pengkritikan PBS oleh badan bukan kerajaan seperti SGMM dan Kumpulan Tindakan Ibu Baba untuk Pendidikan (PAGE), Kementerian seharusnya mendengar pandangan mereka dan bekerja dengan mereka untuk menangani krisis pendidikan yang menyelubungi negara.

    Memandangkan terdapat begitu banyak masalah dengan PBS, saya menyeru Menteri untuk menggantungkan PBS dan kembali keada sistem berasaskan peperiksaan, terutamanya bagi kohort Tingkatan 3 tahun ini. Pada masa ini, Menteri juga harus menubuhkan satu pasukan khas untuk mengkaji semula kesesuaian PBS untuk sistem pendidikan Malaysia dan sama ada ia akan membantu menangani krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan kita yang telah melihat kedudukan PISA dan TIMSS kita menjunam teruk kebelakangan ini.

    Saya juga menyeru Menteri untuk segera membatalkan pemindahan Mohd Nor Izzat Mohd Johari untuk menunjukkan bahawa Kementerian tidak mempunyai niat untuk menghukum mereka yang telah mengkritik SBA tetapi bersedia untuk mendengar pandangan mereka dan bekerjasama dengan mereka.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.