• Adakah Suruhanjaya Pilihanraya berniat mengurangkan pendaftaran pengundi di kawasan bandar dengan tidak meluluskan pendaftaran semula penolong pendaftar pemilih (ARO) parti-parti politik?

    Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 16 Januari 2014 di Kuala Lumpur

    Adakah Suruhanjaya Pilihanraya berniat mengurangkan pendaftaran pengundi di kawasan bandar dengan tidak meluluskan pendaftaran semula penolong pendaftar pemilih (ARO) parti-parti politik?

    Dalam surat bertarikh 13hb November, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberitahu DAP bahawa SPR tidak akan meluluskan permohonan pembaharuan status penolong pendaftar pemilih (ARO) parti politik yang sedia ada ataupun yang baru selepas tempoh pelantikan sedia ada tamat. Dalam surat yang sama, SPR meminta DAP untuk menggalakkan pengundi tidak berdaftar untuk mendaftarkan diri sebagai pengundi di pejabat-pejabat SPR dan juga di pejabat-pejabat pos utama di seluruh negara.

    Keputusan ini bermakna bahawa pada akhir tahun 2013, DAP akan hampir tiada ARO di hampir semua negeri untuk membantu dalam proses pendaftaran pengundi. Kami faham bahawa keputusan ini memberi kesan kepada semua parti politik dan bukan hanya kepada DAP.

    Alasan SPR yang diberikan adalah bahawa keputusan ini akan membolehkan mereka menyelaraskan dan memperkemaskan peraturan dan proses pendaftaran pengundi yang sedia ada. Penjelasan ini tidak dapat diterima kerana keputusan ini akan mengakibatkan parti politik seperti DAP tidak dapat menjalankan aktiviti pendaftaran pengundi dan latihan-latihan yang berkaitan di kebanyakan acara kami. Malah, angka yang dikeluarkan oleh SPR dulu menunjukkan bahawa parti-parti Pakatan Rakyat mempunyai rekod pendaftaran pengundi baru yang lebih baik berbanding dengan BN. Sebagai contoh, dari Januari hingga Jun 2010, parti-parti Pakatan telah mendaftarkan seramai 107,050 pengundi baru manakala BN hanya mendaftarkan 59,351 pengundi baru di Semenanjung Malaysia.[1]

    Keputusan SPR akan mengimpak kawasan bandar terutama sekali kerana majoriti pengundi yang belum lagi berdaftar menetap di kawasan tersebut. Kebanyakan penyokong Pakatan juga merupakan penduduk kawasan bandar. 13 daripada 15 kerusi parlimen yang mempunyai lebih daripada 100,000 pengundi merupakan kerusi Pakatan di kawasan bandar.

    Kita hanya dapat membuat spekulasi sama ada keputusan SPR dipengaruhi oleh persempadanan semula yang akan datang. Jika bilangan pengundi kawasan bandar meningkat selepas PRU ke-13, terutamanya di kawasan Pakatan dengan bantuan ARO Pakatan yang mendaftar pengundi baru, SPR akan mengalami tekanan yang lebih untuk menambah bilangan kerusi di kawasan-kawasan tersebut. Sebaliknya, jika status ARO tidak diperbaharui, aktiviti pendaftaran pengundi di kawasan-kawasan tersebut akan berkurangan dan ini akan mengurangkan tekanan terhadap SPR untuk menambah bilangan kerusi di kawasan-kawasan tersebut.

    Sekiranya SPR mahu mencegah ARO daripada mendaftarkan pengundi secara tidak bertanggungjawab, misalnya tanpa pengetahuan pengundi atau dengan merasuah mereka untuk menukar alamat kad pengenalan, ia seharusnya meminta Peguam Negara (Attorney General) untuk mendakwa ARO tersebut di bawah Seksyen 3(1)(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya dan bukan melarang semua ARO daripada menjalankan aktiviti-aktiviti mereka yang sah.

    Pada masa ini, bilangan pengundi yang tidak berdaftar dianggarkan antara 3.5 juta hingga 4 juta dengan bilangan terbesar di negeri Selangor iaitu kira-kira 600,000 pada Jun 2012.[2] Tindakan SPR hanya akan menyebabkan jumlah ini semakin bertambah dan bukan berkurangan. Kami menyeru SPR untuk mengembalikan status ARO parti-parti politik yang sedia ada dan membenarkan parti-parti politik untuk melantik ARO baru demi mengurangkan jumlah pengundi tidak berdaftar di negara ini.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

    Nota: DAP mempunyai lebih daripada 100 ARO di seluruh negara dan status mereka tidak akan diperbaharui oleh SPR.

    Lampiran: Surat daripada Suruhanjaya Pilihan Raya tentang Status Penolong Pendaftar Pemilih (ARO) yang tidak akan diperbaharui

Leave a reply.