• Adakah JAIS akan mula serbu kediaman penganut Kristian di Selangor yang memiliki Al-Kitab Bahasa Melayu?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, MP Serdang, pada 3hb Januari, 2014

    Adakah JAIS akan mula serbu kediaman penganut Kristian di Selangor yang memiliki Al-Kitab Bahasa Melayu?

    Pada tahun 2012, Persatuan Alkitab Malaysia telah menyambut ulang tahun ke 400 AlKitab Bahasa Melayu. Salah satu acara semasa perayaan ini adalah jamuan kesyukuran di mana beberapa ratus salinan AlKitab Bahasa Melayu yang telah ‘disimpan’ oleh pihak Kastam pada tahun 2011 diberikan kepada para hadiran. Saya mempunyai satu salinan itu di rumah saya di Petaling Jaya yang dicap dengan perkataan “Peringatan – AlKitab Berita Baik ini untuk kegunaan Penganut Agama Kristian Sahaja – dengan perintah Menteri Dalam Negeri 16 Mac 2011“. Saya juga mempunyai salinan AlKitab Bahasa Melayu Kanak-kanak. Dalam kedua-dua versi Alkitab Bahasa Melayu ini, perkataan “Allah” digunakan. Di samping itu, perkataan “Rasul”, “Nabi”, “Firman” dan “Wahyu” juga digunakan.[1] Saya juga mempunyai salinan AlKitab Bahasa Indonesia di mana perkataan “Allah” digunakan.

    Penganut Kristian di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan-perkataan ini dalam lagu-lagu ibadat, dalam solat, dalam khutbah dan dalam Alkitab Bahasa Melayu selama bertahun-tahun tanpa mengganggu keharmonian antara mereka dan jiran-jiran dan kawan-kawan yang beragama Islam. Tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa Alkitab Bahasa Melayu ataupun waktu ibadat dalam Bahasa Melayu sedang digunakan untuk menyebar agama Kristian di kalangan umat Islam di Malaysia. Oleh itu, penganut agama Kristian tidak sepatutnya diletakkan di bawah kawalan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam, 1988) oleh kerana Perkara 11 (3) Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal mereka sendiri termasuk kegunaan perkataan-perkataan tertentu dalam kitab masing-masing.

    Justeru, pencerobohan premis Persatuan Alkitab Malaysia oleh JAIS pada Khamis lalu iaitu 2hb Januari 2014 merupakan satu tindakan yang melanggar hak-hak yang termaktub dalam perlembagaan Persatuan Alkitab Malaysia. JAIS perlu menghentikan dengan segera serbuan sebegini. Jika dilakukan secara melampau, adakah JAIS akan serbu semua gereja-gereja di Selangor yang mengadakan waktu ibadat dalam Bahasa Melayu di mana perkataan yang ‘diharamkan’ di bawah enakmen ini tentu akan digunakan? Adakah JAIS akan serbu semua tempat kediaman orang Kristian yang disyaki mempunyai Alkitab Bahasa Melayu, termasuk kediaman saya sendiri? Ini adalah tingkah laku yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia di mana kebebasan beragama dilindungi di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

    Dr. Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang


    [1] Perkataan berikut disenaraikan sebagai ‘Perkataan-Perkataan yang tidak akan digunakan berkaitan dengan ugama bukan Islam’ di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam, 1988): “Allah”, “Firman Allah”, “Ulama” , “Hadis”, “Ibadah”, “Kaabah”, “Kadi”, “Illahi”, “Wahyu”, “Mubaligh”, “Syariah”, “Qiblat”, “Haji”, “Mufti”, “Rasul”, “Iman “,” Dakwah “,” Injil “,” Salat “,” Khalifah “,” Wali “,” Fatwa “, “Nabi “,” Sheikh “.

Leave a reply.