• Respon kepada Menteri Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkaitan hal insinerator kecil di Langkawi, Pangkor, Tioman dan Tanah Tinggi Cameron

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 27hb Disember 2013

    Respon kepada Menteri Dato’ Abdul Rahman Dahlan berkaitan hal insinerator kecil di Langkawi, Pangkor, Tioman dan Tanah Tinggi Cameron 

    Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, untuk menjawab secara terbuka[1] kenyataan media saya yang diterbitkan pada 23 Disember berkaitan dengan pemberian kontrak 4 insinerator kecil kepada XCN Technology Sdn Bhd (XCNT).[2] Saya berharap bahawa Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengikuti contoh rakan sekerja kabinet beliau dengan juga memberi respon tentang hal kejatuhan skor PISA 2012 Malaysia untuk Kategori Sains dan Membaca yang telah didedahkan baru-baru ini.

    Kedua, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Menteri kerana mendedahkan kos penyelenggaraan tahunan bagi insinerator di Pangkor, Langkawi dan Tanah Tinggi Cameron. Maklumat ini tidak diberi dalam Laporan Audit Negara dan saya memuji keputusan Menteri untuk mendedahkan maklumat ini secara terbuka.

    Akan tetapi, respon Menteri tidak menjawab banyak soalan yang masih tertinggal sehingga kini. Menurut Menteri, panel pakar yang terdiri daripada wakil-wakil universiti, institusi penyelidikan dan jabatan-jabatan yang berpengetahuan tentang teknologi insinerator telah memberi input mereka dan mencadangkan bahawa teknologi XCNT harus diberi peluang untuk dilaksanakan dalam projek insinerator kecil ini. Namun, dalam respon kepada Laporan Audit Negara, Kementerian sendiri mengakui bahawa teknologi ini tidak terbukti – “Insinerator rotary kiln rekaan XCNT merupakan teknologi tempatan yang baru walaupun secara teorinya mampu untuk melupuskan sisa pepejal tetapi masih belum terbukti secara fizikal.” (Laporan Ketua Audit Negara, Siri 2, ms. 344)

    Salah satu kelemahan yang dikenal pasti oleh Laporan Audit Negara adalah bahawa setiap satu insinerator XCNT memerlukan 2 talian operasi – satu untuk digunakan, satu untuk siap sedia – kerana kemungkinan satu daripada talian operasi akan gagal. Sebagai perbandingan, insinerator yang digunakan di Singapura dapat mengendalikan 6 talian operasi serentak dan setiap talian operasi akan berhenti hanya setahun sekali bagi tujuan kerja-kerja penyelenggaraan.

    Saya juga tertanya-tanya sama ada panel pakar yang dipanggil oleh Kementerian bersetuju bahawa teknologi yang digunakan XCNT dapat mengurangkan output akhir (abu bawah) kepada 6% jumlah isipadu asal. Laporan Audit Negara mendapati bahawa pada hakikatnya, output akhir adalah 19% hingga 33% daripada jumlah isipadu asal, jauh dari 6% yang dijanjikan oleh XCNT.

    Angka-angka kos penyelenggaraan yang diberikan oleh Menteri menimbulkan kemungkinan bahawa kos operasi setan yang tinggi mungkin disebabkan oleh teknologi tidak terbukti yang digunakan.

    Jadual 1: Kos per tan untuk insinerator di Langkawi, Pangkor dan Tanah Tinggi Cameron

    Lokasi Kos Tahunan (RM) Kos Bulanan (RM) Kos Sehari (RM) Kapasiti (Ton / Hari) Kos satu tan (RM)
    Langkawi

    7,441,607

    620134

    20671

    100

    207

    Pangkor

    1,795,152

    149596

    4987

    20

    249

    Tanah Tinggi Cameron

    5,224,856

    435405

    14513

    40

    363

    Jadual 1 di atas menunjukkan kos satu tan dari segi kos operasi bagi insinerator di Langkawi, Pangkor dan Tanah Tinggi Cameron yang bermula daripada RM207 bagi setiap tan di Langkawi hingga RM363 satu tan di Tanah Tinggi Cameron! Walaupun Menteri telah membuat penjelasan dengan merujuk kepada kekurangan skala ekonomi untuk insinerator kecil, kos per tan adalah lebih daripada 200% bagi perbelanjaan DBKL – kira-kira RM84 bagi setiap tan – untuk mengangkut sampah di KL ke stesen pemindahan Taman Beringin di Kepong, menyusun dan kemudian mengangkutnya ke tapak pelupusan Bukit Tagar di Hulu Selangor. Kesimpulan yang mungkin ialah kos operasi yang tinggi untuk setiap tan yang diproses insinerator ini bukan hanya disebabkan kekurangan skala ekonomi tetapi juga kerana penggunaan teknologi yang tidak terbukti.

    Akhir sekali, jika teknologi insinerator yang digunakan oleh XCNT dulu berfungsi dengan baik, mengapa kontrak XCNT untuk membina sebuah insinerator di Labuan dibatalkan pada tahun 2013?

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.