• Mengapakah kontrak untuk menguruskan tapak pelupusan Taman Beringin di Kepong diberikan kepada sebuah syarikat milik bekas Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan dan keluarganya yang tiada pengalaman dalam menguruskan operasi tapak pelupusan sampah?

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 24 Disember 2013

    Mengapakah kontrak untuk menguruskan tapak pelupusan Taman Beringin di Kepong diberikan kepada sebuah syarikat milik bekas Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan dan keluarganya yang tiada pengalaman dalam menguruskan operasi tapak pelupusan sampah?

    Pada Sabtu, 21hb Disember 2013, dilaporkan bahawa bertan-tan longgokan sampah telah dibuang di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) oleh kontraktor-kontraktor kerana stesen pemindahan di Taman Beringin, Kepong telah ditutup. Menurut laporan, penutupan stesen pemindahan disebabkan alat pemadat sampah yang telah rosak.[1] Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahmad Phesal, telah dipetik berkata bahawa “Stesen Pemindahan Taman Beringin telah menghadapi masalah sejak 2011 selepas Umpan Jaya Sdn Bhd dilantik oleh Dewan Bandaraya untuk menguruskannya.”[2]

    Saya berharap bahawa sebab sebenar bukan kerana Umpan Jaya Sdn Bhd dimiliki oleh Dato’ Mohd Noordin bin Mohd Kassim dan keluarganya. Dato’ Mohd Noordin ialah bekas Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan yang meninggal dunia pada bulan Februari 2013.[3]

    Salah satu anak syarikat Umpan Jaya – Idaman Bersih Sdn Bhd – dulu mengendalikan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Pulau Pinang. Akan tetapi, kontraknya tidak diperbaharui disebabkan masalah prestasi serta kos kadar yang terlalu tinggi.

    Memandangkan DBKL telah pun menyedari bahawa Umpan Jaya mengalami banyak masalah pengoperasian di Taman Beringin, termasuk kekurangan lori pelupusan sampah yang diselenggara dan pemadat yang semakin buruk, mengapa DBKL tidak mengambil langkah lebih awal untuk memastikan bahawa sampah di tapak pelupusan diuruskan dan dipindahkan ke tapak pelupusan Bukit Tagar dengan betul? Sebaliknya, DBKL telah membenarkan situasi menjadi lebih buruk sehingga berlakunya kecemasan hari Sabtu lalu yang mengakibatkan bertan-tan sampah berlambak.

    Kami menggesa Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk mendedahkan kos kontrak pengurusan yang diberikan kepada Umpan Jaya dan sebab mengapa syarikat ini dipilih. Kami juga meminta Menteri untuk memberi jaminan bahawa pihak-pihak yang terlibat termasuk Umpan Jaya dan kontraktor sampah akan disiasat dengan teliti dan bahawa mereka akan dijatuhi hukuman dan denda yang setimpal jika didapati bersalah. Akhir sekali, kami menyeru Menteri menganugerahkan kontrak seterusnya untuk menguruskan stesen pemindahan Taman Beringin melalui tender terbuka dan bukan terus kepada Alam Flora sahaja.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Catatan tambahan: Dalam versi kenyataan media ini yang asal, dinyatakan bahawa Umpan Jaya tidak mempunyai pengalaman dalam mengendalikan tapak pelupusan atau stesen pemindahan sampah. Seperti yang dinyatakan di atas, salah satu anak syarikat Umpan Jaya, Idaman Bersih, dulu mengendalikan tapak pelupusan sampah Pulau Burung di Pulau Pinang. 

Leave a reply.