• Kontrak untuk membina insinerator di Langkawi, Pangkor, Tanah Tinggi Cameron dan Tioman telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang dikuasai oleh seorang bekas ketua Tentera Laut dan yang menggunakan teknologi yang tidak terbukti

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 23 Disember, 2013 di Kuala Lumpur

    Kontrak untuk membina insinerator di Langkawi, Pangkor, Tanah Tinggi Cameron dan Tioman telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat yang dikuasai oleh seorang bekas ketua Tentera Laut dan yang menggunakan teknologi yang tidak terbukti

    Laporan Audit Negara 2013 telah melaporkan bahawa kontrak untuk membina insinerator di Langkawi serta Pangkor telah diberikan secara rundingan terus kepada Syarikat XCN Technology Sdn Bhd (XCNT) pada Jun 2007. Pada masa yang sama, kontrak untuk membina insinerator di Tioman dan Tanah Tinggi Cameron telah dianugerahkan sekali lagi secara rundingan terus kepada Syarikat Sumur Mutiara Sdn Bhd pada bulan Ogos 2007 yang kemudiannya memberikan kontrak ini kepada XCNT.

    Negeri Lokasi Kapasiti (Tan / Hari) Nilai Kontrak (RM juta) Kelewatan termasuk tempoh lanjutan (Hari)
    Kedah Pulau Langkawi 100 68.40 797
    Perak Pulau Pangkor 20 20.34 286
    Pahang Pulau Tioman 15 22.80 996*
    Pahang Tanah Tinggi Cameron 40 42.20 533
    Jumlah 175 153.74

    (*) Masih tidak disiapkan pada 6 Mei 2013

    Laporan Audit Negara 2012 menekankan hakikat bahawa semua projek-projek tersebut menghadapi kelewatan yang ketara dalam mencapai tarikh akhir pembinaan dan pengoperasian. Malah, insinerator Pulau Tioman masih belum siap pada 6 Mei 2013, iaitu tempoh kelewatan hampir 1,000 hari (dan masih berterusan)!

    Setakat yang ditunjukkan oleh rekod awam, XCNT tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam pembinaan dan pengendalian insinerator sebelum dianugerahkan kontrak-kontrak ini. Apa yang tidak didedahkan oleh Laporan Audit Negara 2012 ialah bahawa XCNT dikawal oleh Dawn Holdings Sdn Bhd (51%) yang seterusnya dikawal oleh Tan Sri Abdul Wahab bin Haji Nawi, yang merupakan Panglima Tentera Laut[1] dari 1986 hingga 1990 (yang menjelaskan nama syarikat – XCN – iaitu ‘ex Chief of Navy’ atau ‘bekas Panglima Tentera Laut’ dalam Bahasa Inggeris) dan juga keluarganya.

    Baki 49% pula dimiliki oleh Clean Earth Technology Sdn Bhd, yang dikuasai oleh 3 orang dengan nama keluarga Khoo (Gideon, Caleb dan Priscilla) yang juga merupakan pengarah-pengarah XCNT. 3 orang Khoo ini telah memfailkan paten antarabangsa pada tahun 2009 untuk teknologi insinerator baru berdasarkan pembakaran autogenus yang kemudiannya digunakan oleh XCNT untuk 4 insinerator mereka. Namun, teknologi ini tidak terbukti semasa kontrak-kontrak diberikan kepada XCNT dan Laporan Audit Negara seterusnya mendapati bahawa insinerator di Pangkor tidak dapat melakukan pembakaran secara autogenus kerana ia gagal mencapai suhu minimum yang diperlukan iaitu 850 ° C.

    Saya menyeru Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato ‘Abdul Rahman Dahlan untuk memberi maklum balas terhadap isu-isu berikut:

    i)                 Menerangkan mengapa Menteri-Menteri sebelum ini telah memberikan kontrak-kontrak tersebut kepada sesebuah syarikat – XCNT – tanpa rekod dalam pembangunan atau pengendalian insinerator.

    ii)                Menjelaskan mengapa teknologi pembakaran autogenus telah dipilih walaupun ia merupakan teknologi yang tidak terbukti pada masa penganugerahan kontrak.

    iii)               Memberi jaminan kepada orang ramai bahawa masalah pengoperasian di insinerator-insinerator tersebut tidak menyebabkan dioksin dilepaskan ke atmosfera kawasan-kawasan yang terlibat.

    iv)               Memberikan kemaskini status projek insinerator 100 tan / hari di Labuan yang telah dianugerahkan kepada XCNT secara rundingan terus pada 25 Januari 2013 dan menjelaskan mengapa XCNT telah diberikan kontrak ini walaupun pembinaan dan pengoperasian 4 insinerator yang dinamakan di atas telah mengalami banyak kelewatan.

    v)                Menyediakan anggaran kos operasi untuk 4 insinerator yang disebut di atas untuk meyakinkan rakyat bahawa kos-kos tersebut tidak terlalu tinggi.

    Seandainya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan gagal menyelia pembinaan dan pengoperasian 4 insinerator kecil bawah kapasiti 100 tan / hari secara berkesan kos, tepat dan telus, apa yang memberi Kementerian keyakinan bahawa ia akan dapat menyelia pembinaan dan pengoperasian insinerator 1,000 tan sehari yang dicadangkan di Taman Beringin di Kepong dengan jayanya?

    Dr Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Versi kenyataan media sebelum ini menyatakan bahawa projek insinerator 100 tan / hari di Labuan telah dianugerahkan kepada XCNT secara rundingan terus pada 25hb Januari, 2013. Sebenarnya, projek ini telah dianugerahkan kepada XCNT pada bulan Oktober 2008 melalui rundingan terus tetapi dibatalkan pada 25 Januari 2013.


    [1] http://ms.wikipedia.org/wiki/Panglima_Tentera_Laut

Leave a reply.