• Reformasi Parlimen – bukan sekadar naik gaji

    Reformasi Parlimen – bukan sekadar naik gaji

    Tiba masanya untuk merombak proses secara keseluruhan dan bukan sekadar menaikkan gaji.

    Berapakah jumlah gaji yang seharusnya dibayar kepada Ahli-Ahli Parlimen Malaysia? Apakah tahap pampasan yang dikira ‘adil’? Haruskah gaji asas setaraf dengan gaji Ahli-Ahli Parlimen di negara-negara lain, gaji pegawai-pegawai tinggi kerajaan di Malaysia ataupun pihak pengurusan kanan / CEO-CEO syarikat-syarikat swasta di Malaysia? Dapatkah gaji yang lebih tinggi mengurangkan insentif untuk terlibat dalam gejala rasuah? Dapatkah gaji yang lebih tinggi menarik bakat yang lebih untuk menyertai politik? Soalan-soalan tersebut telahpun hangat dibincangkan ramai akibat kenaikan gaji untuk ADUN, EXCO dan Menteri Besar Selangor baru-baru ini. Tidak syak lagi bahawa soalan-soalan ini akan timbul semula apabila gaji Ahli Parlimen dirombak ketika Parlimen bersidang pada bulan Mac tahun depan.

    Walaupun soalan-soalan ini adalah penting dan berkait, namun terdapat isu yang lebih besar di mana isu gaji Ahli Parlimen hanyahlah sebahagian kecil daripadanya. Isu yang lebih besar ialah peranan Parlimen Malaysia sendiri dan bagaimana Ahli Parlimen dimanfaatkan dalam peranan ini. Dalam erti kata lain, isu gaji Ahli Parlimen tidak boleh dipisahkan daripada perbincangan yang lebih besar mengenai reformasi parlimen.

    Sungguhpun sidang Parlimen biasanya mengakibatkan ramai tertidur lena (kecuali semasa kejadian yang melibatkan pengoyakan kertas, keluar dewan dan jerit-menjerit), namun kita tidak boleh berbincang serius tentang gaji Ahli Parlimen tanpa menilai apa sebenarnya Ahli Parlimen lakukan dalam Parlimen dan apa perubahan yang segera diperlukan.

    Sesi parlimen yang terakhir dan terpanjang tahun ini baru sahaja selesai. Sesi ini berlangsung selama kira-kira dua bulan. Prosiding telah kerap dilanjutkan sehingga selepas 8 malam untuk membolehkan bilangan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membahaskan Bajet 2014 di peringkat dasar dan juga di peringkat kementerian serta untuk memberi masa untuk menteri menjawab. Namun, ramai Ahli Parlimen dipinggirkan daripada perdebatan kerana kekurangan masa. Tambahan pula, tidak semua Ahli Parlimen yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan masih hadir di Parlimen semasa menteri (atau yang lebih mungkin, timbalan beliau) menjawab.

    Dalam pandangan saya sebagai seorang ahli parlimen penggal pertama, situasi sebegini sungguh membazir masa. Jika perbahasan yang lebih mendalam boleh diadakan dalam jawatankuasa terpilih parlimen (‘parliamentary select committees’) yang menyelia pelbagai kementerian, ini akan jauh lebih berkesan. Setiap Ahli Parlimen akan diperuntukkan sekurang-kurangnya satu jawatankuasa terpilih parlimen. Ini akan membolehkan Ahli Parlimen yang individu untuk memilih bidang yang merupakan kepakaran beliau atau di mana beliau ingin mendalamkan kepakaran tersebut. Pengerusi bersama jawatankuasa terpilih parlimen ini boleh dilantik – satu dari BN dan satu lagi dari PR. Faedahnya, ini juga akan ‘memaksa’ Pakatan untuk memilih ‘kabinet bayangan’ dengan memilih pengerusi setiap jawatankuasa terpilih parlimen dari kalangan Ahli Parlimen yang sedia ada.

    Dengan adanya jawatankuasa terpilih parlimen, ini akan membantu kerajaan mengelakkan situasi di mana ia mencadangkan bil yang belum difikirkan dengan betul-betul dan kemudian ia dimalukan apabila terpaksa menarik kembali bil tersebut akibat bantahan umum seperti dalam kes Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 yang melibatkan satu seksyen tentang penukaran agama kanak-kanak di bawah umur. Dalam persidangan yang telah tamat baru-baru ini, enam bil yang berkaitan dengan hal keselamatan dalam negeri juga telah ditarik balik untuk tujuan mengumpul  maklum balas yang lebih. Seandainya rang undang-undang ini telah dibahaskan oleh jawatankuasa terpilih parlimen awal lagi, seksyen-seksyen yang memerlukan pindaan tentunya dapat dipinda sebelum rang undang-undang tersebut dibentangkan di Parlimen.

    Pengwujudan jawatankuasa terpilih parlimen ini hanyalah sebahagian daripada proses membuat Ahli Parlimen lebih bertanggungjawab terhadap orang ramai terutamanya pengundi-pengundi mereka. Seorang Ahli Parlimen yang menganggotai jawatankuasa terpilih parlimen akan kurang alasan untuk membuat suara mereka didengar mengenai isu-isu penting kepada kementerian yang diselia oleh jawatankuasa masing-masing. Untuk mempertingkatkan akauntabiliti, prosiding setiap jawatankuasa terpilih parlimen seharusnya disiarkan secara langsung sama di TV atau melalui Internet supaya orang ramai dapat menilai ‘prestasi’ setiap Ahli Parlimen dalam setiap jawatankuasa.

    Sebagai contoh, pada masa ini tiada sesiapa pun yang tahu apa soalan yang ditanya dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC atau ‘Public Accounts Committee) dan jawapan yang diberikan oleh mereka yang telah dipanggil untuk disoal siasat. Baru-baru ini, saya telah mendapati bahawa Ahli Parlimen yang bukan anggota PAC ini langsung tidak dibenarkan untuk menghadiri sesi-sesi tersebut. Ini sungguh tidak munasabah dan tidak boleh diterima. Sebaliknya, sesi ini (dan sesi lain) hendaklah disiarkan secara langsung demi kepentingan awam.

    Pembantu penyelidik diperlukan untuk membantu Ahli Parlimen bersiap sedia untuk persidangan parlimen termasuk prosiding jawatankuasa terpilih parlimen. Saya sendiri mendapati bahawa ucapan perbahasan saya mempunyai kandungan yang lebih relevan apabila saya bergantung kepada bantuan pembantu parlimen saya. Kebanyakan parlimen di negara-negara maju memperuntukkan dana khas agar penggubal undang-undang mereka dapat mengupah pembantu penyelidik. Pada pandangan saya, ramai Ahli Parlimen di Malaysia tentu akan gembira dan menghargai dana sebegini jauh lebih daripada kenaikan gaji, kerana ini akan membolehkan mereka mengupah pembantu yang lebih berkualiti dengan gaji yang lebih kompetitif.

    Jika setiap Ahli Parlimen menerima peruntukan untuk menservis kawasan masing-masing, ini akan membolehkan Ahli Parlimen meluangkan lebih masa untuk bertumpukan tugas-tugas Parlimen mereka, terutamanya Ahli Parlimen Pakatan yang kini tidak menerima sesen pun daripada kerajaan persekutuan untuk peruntukan kawasan pilihanraya.

     

     

    Reformasi Parlimen seharusnya berfokuskan tugas mencekapkan parlimen dan menjadikannya lebih berkesan. Dengan mewujudkan jawatankuasa terpilih parlimen untuk mengawasi setiap kementerian, kepakaran serta kualiti soalan Ahli Parlimen yang individu boleh dipertingkatkan. Menteri dan timbalan mereka juga perlu meningkatkan prestasi masing-masing, terutamanya jika sesi-sesi jawatankuasa disiarkan secara langsung. Dengan ini, sesi parlimen utama boleh dimanfaatkan untuk membincangkan isu-isu lain yang penting kepada negara, yang pada masa ini tidak dapat dilakukan kerana kekangan masa.

    Peruntukan untuk pembantu penyelidik dan servis kawasan akan pergi jauh dalam membantu seseorang Ahli Parlimen untuk menjadi lebih berkesan, terutama dari segi tanggungjawab beliau di Parlimen. Jika kita hanya bertumpukan isu gaji Ahli Parlimen, kita sudah lupa cabaran yang lebih besar – iaitu reformasi parlimen sendiri.

    Artikel ini telah diterbitkan dalam Bahasa Inggeris oleh The Star (versi web sahaja)

Leave a reply.