• Walaupun berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan dalam usaha membanteras rasuah, kedudukan Malaysia dalam 2013 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) hanya meningkat sedikit sahaja

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 4 Disember, 2013 di Kuala Lumpur

    Walaupun berjuta-juta ringgit telah dibelanjakan dalam usaha membanteras rasuah, kedudukan Malaysia dalam 2013 Indeks Persepsi Rasuah (CPI) hanya meningkat sedikit sahaja

    Laporan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2013 yang dikeluarkan Transparency International semalam mendedahkan hanya peningkatan kecil untuk Malaysia iaitu naik satu tangga di tangga ke-53 berbanding 54 pada tahun 2012, manakala skor keseluruhan Malaysia naik dari 49 pada 2012 ke 50 pada 2013. Peningkatan kecil ini adalah suatu yang tidak boleh diterima sama sekali kerana beratus juta duit telah dibelanjakan untuk memperbaiki ketelusan dan mengurangkan rasuah, termasuk usaha di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti-Rasuah sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan (GTP).

    Sebagai contoh, peruntukan pengurusan untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2013 adalah sebanyak RM252 juta manakala Jabatan Audit Negara pula RM148 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM400 juta untuk kedua-dua agensi tersebut. Malah, peruntukan tambahan berjumlah jutaan ringgit juga disalurkan ke makmal Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2.0, bengkel, hari terbuka selain iklan-iklan pada 2013 di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

    Namun, hasilnya hanya peningkatan skor CPI yang marginal. Malaysia naik satu tangga mengatasi Georgia yang jatuh dari tangga ke-51 pada 2012 ke tangga ke-55 pada 2013. Pencapaian ini sukar untuk dibanggakan. Malaysia masih lagi ketinggalan jauh di belakang negara jiran Asia dan Timur Tengah termasuk Singapura (5), Hong Kong (15), Jepun (18), Emiriyah Arab Bersatu (26), Qatar (28), Bhutan (31), Taiwan (36), Brunei (38) dan Korea Selatan (46).

    Skor CPI Malaysia juga kurang berubah. Walaupun skor meningkat daripada 49 kepada 50, namun jika dilihat secara terperinci, skor maksimum dan skor maksimum yang diterima oleh Malaysia dalam 9 bidang kaji selidik yang digunakan untuk mengira skor Malaysia adalah sama pada 2013 dan 2012 iaitu 31 (skor minimum) dan 62 (skor maksimum). Ini bermakna bahawa peningkatan skor Malaysia mungkin adalah hasil daripada peningkatan kecil dalam salah SATU daripada SEMBILAN bidang kaji selidik yang digunakan oleh TI untuk mengira markah keseluruhan Malaysia.

    Walaupun niat mereka yang mengetuai Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan dalam pasukan Anti-Rasuah dalam Program Transformasi Kerajaan PEMANDU (GTP) mungkin murni, niat untuk menangani rasuah secara serius amat tidak kelihatan di kalangan pemimpin BN. Sebagai contoh, dalam satu taklimat baru-baru ini yang telah dianjurkan oleh IDEAS dan disokong oleh PEMANDU pada 3 Disember 2013, di mana ahli-ahli Parlimen telah diberi taklimat oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, Ketua SPRM, Tan Sri Abu Kassim dan Ketua Institut Integriti Malaysia, Mohd Nizam Mohd Ali, tiada seorang ahli Dewan Rakyat Barisan Nasional (BN) pun yang hadir. Sebagai perbandingan, 30 Ahli Parlimen Pakatan telah hadir untuk taklimat tersebut. Wakil kerajaan yang hadir hanya Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab menyelia integriti, tadbir urus baik dan hak asasi manusia.

    Persepsi orang ramai berhubung dengan agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan, ketelusan dalam perolehan kerajaan serta kesediaan untuk menangani gejala rasuah besar – iaitu tiga teras utama NKRA anti-rasuah – kekal rendah terutamanya selepas ‘ikan besar’ seperti Tun Ling Liong Sik tidak berjaya didakwa dan disabitkan untuk penglibatannya dalam skandal PKFZ dan penghakimannya juga tidak dirayu oleh Peguam Negara.

    Bagi tahun 2014, peruntukan kepada SPRM ditingkatkan kepada RM298 juta dan Jabatan Audit Negara juga naik kepada RM169 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM467 juta untuk kedua-dua agensi tersebut. Dengan peningkatan bajet ini, peningkatan dan pemeringkatan skor CPI Malaysia pada tahun 2014 seharusnya jauh lebih baik daripada 2013.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.