• Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, perlu menjawab isu-isu serius yang dibangkitkan oleh Program Timur Al-Jazeera 101 “The Return of the Lizard King”

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 29 November, 2013 di Kuala Lumpur

    Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, perlu menjawab isu-isu serius yang dibangkitkan oleh Program Timur Al-Jazeera 101 “The Return of the Lizard King”

    Program Timur Al-Jazeera 101 – “The Return of the Lizard King” – telah ditayangkan pada 21hb November 2013[1] dan ia telah menimbulkan banyak isu serius yang perlu dijawab oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, G. Palanivel, misalnya:

    (1)    Selepas Anson Wong ditangkap pada Ogos 2010 kerana mengangkut hampir 100 ular ‘boa constrictor’, PERHILITAN telah menyerbu ‘santuari reptilia’ Wong di Teluk Bahang dan mengeluarkan 50 ekor haiwan liar dari tempat tersebut. Apakah sebab Anson Wong tidak didakwa memandangkan tempat itu telah disahkan sebagai ‘santuari reptilia’ beliau?

    (2)    Apabila Anson ditahan pada Ogos 2010, komputer riba dan 3 telefon beliau telah dirampas. Kemungkinan besar bahawa peralatan tersebut mengandungi maklumat penting yang berkaitan dengan aktiviti penyeludupan haiwan liar beliau, termasuk maklumat tentang kenalan-kenalan yang mungkin bekerja dalam PERHILITAN. Apakah hasil penyiasatan ini?

    (3)    Pada tahun 2010, seorang pelajar bernama Sarah Sahondrarisoa, yang telah ditonjolkan dalam program Al-Jazeera, telah berkata bahawa dia dibayar oleh Anson Wong untuk mengangkut beg yang mengandungi haiwan liar ke dalam Malaysia. Sarah telah ditangkap semasa lawatan kedua ke Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara selama 8 bulan di mana dia melahirkan bayi di dalam penjara. Apakah sebab Anson Wong tidak disiasat dan didakwa berdasarkan bukti dan testimoni yang diberikan oleh Sarah termasuk telefon yang dirampas yang mengandungi nombor-nombor dan gambar-gambar?

    (4)    Premis Rona Wildlife, di No.125X , Desa Tanjong, Jalan Tanjong Tokong, 10470 Georgetown, Pulau Pinang, telah dibangkitkan dalam program ini dan ular sawa albino dan ular kapak ditemui Steve Chao di premis tersebut. Walaupun pemilik berdaftar Rona Wildlife bukan Wong atau isterinya, namun pekerja Rona telah dirakamkan mengakui bahawa Anson Wong merupakan bosnya. Sesungguhnya, pengakuan ini adalah asas kukuh bagi PERHILITAN untuk melawat, jika tidak menyerbu premis tersebut seperti yang dibenarkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010. Dalam jawapan yang dikeluarkan hari ini[2], PERHILITAN telah berkata bahawa “Berdasarkan pemeriksaan kami, pemilik berdaftar Rona Wildlife adalah Radamani Govindan. Anson Wong tidak disenaraikan sebagai pemilik, pemegang saham atau ahli lembaga syarikat itu.” PERHILITAN juga mendakwa bahawa “pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan pematuhan telah dijalankan secara berkala di premis Rona Wildlife.” Namun, saya telah memeriksa laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) malam semalam dan mendapati bahawa Radamani Govindan telah meletak jawatan sebagai pemilik pada 4 Julai 2013 dan telah digantikan dengan Muthukomar A/L Kuppan. Jika maklumat PERHILITAN sudah lapuk selama 4 bulan, dapatkah kita percaya bahawa PERHILITAN mengadakan pemeriksaan pematuhan berkala terutamanya apabila video program Al-Jazeera yang jelas menunjukkan ular albino telah difilemkan pada bulan November lalu?

    (5)    Program ini juga telah menunjukkan 3 ‘kucing serval’ di ‘santuari reptilia’ Telok Bahang reptilia dan kucing ini disenaraikan di bawah Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES). Bukti ini sahaja seharusnya mencukupi untuk PERHILITAN untuk menyerbu kawasan itu.

    (6)    Perhilitan mendakwa bahawa semua lesen perniagaan dan jualan hidupan liar yang dimiliki oleh Anson dan isterinya telah dibatalkan pada 2010. Namun, semua syarikat-syarikat mereka, iaitu Sungai Rusa Wildlife, CBS Wildlife, dan Bukit Jambul Reptile Sanctuary menyenaraikan aktiviti perdagangan hidupan liar sebagai perniagaan mereka.[3]

    (7)    Jika PERHILITAN dan Menteri serius ingin menghentikan aktiviti penyeludupan hidupan liar haram Anson Wong dan isterinya, mengapakah ia tidak menggunakan kuasa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 untuk menyerbu semua hartanah yang dimiliki Anson dan isterinya untuk menyiasat sama ada terdapat hidupan liar yang disembunyikan di sana?

    (8)    Dalam program Al-Jazeera, Menteri Palanivel berkata bahawa beliau akan bertindak tegas terhadap gejala rasuah dalam Kementerian beliau. Oleh itu, beliau seharusnya memaklumkan orang ramai tentang hasil siasatan SPRM ke atas PERHILITAN selepas Anson Wong ditangkap pada tahun 2010.

    Ketika ditemubual oleh Steve Chao, Menteri G. Palanivel mengakui bahawa beliau langsung tidak mengetahui siapa Anson Wong sebelum hari tersebut meskipun Wong telah digambarkan sebagai ‘Pablo Escobar penyeludupan hidupan liar’ dan ‘terkenal’ di seluruh dunia termasuk Jabatan Hidupan Liar Amerika Syarikat yang telah mengadakan satu ‘operasi menyengat’ khas untuk menangkap Anson Wong di Mexico pada tahun 1999. Saya menggesa Menteri G. Palanivel untuk mengadakan siasatan menyeluruh untuk mengetahui bagaimana Anson Wong telah dibenarkan meneruskan aktiviti beliau dalam memelihara dan memperdagangkan hidupan liar walaupun lesennya telah dibatalkan oleh PERHILITAN pada tahun 2010 serta menjawab soalan-soalan yang telah dikemukakan di atas.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.