• Ucapan Parlimen 26 November 2013 – Perbahasan Bajet Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2014

    Perbahasan Bajet Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2014

    Ucapan Parlimen Dr. Ong Kian Ming (26 November 2013)

    Tuan Speaker,

    Saya merujuk kepada B43 Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, dan khususnya kepada perbelanjaan pengurusan di bawah Butiran 090000 iaitu  Pengurusan Sisa Pepejal Negara (National Solid Waste Management). Jumlah yang diperuntukkan adalah RM497.5 juta untuk tahun 2014.

    Jumlah peruntukan untuk mengendalikan sisa pepejal ini amatlah besar dan hanya akan meningkat setiap tahun memandangkan kadar pengeluaran sisa pepejal di Malaysia juga kian meningkat. Pada tahun 2012, sejumlah 33,000 tan sisa pepejal telah diuruskan setiap hari berbanding dengan 19,000 tan sahaja pada tahun 2005.

    Malangnya bagi tempoh masa yang panjang itu, pihak Kementerian telah gagal untuk melaksanakan tugas dan usaha untuk meningkatkan kadar mengitar semula ataupun ‘recycling rate’ kepada satu tahap yang memuaskan. ‘Recycling rate’ negara kita adalah 5% pada tahun 2005 dan telah meningkat kepada 9.7% pada tahun 2012. Jika kita membandingkan ‘recycling rate’ ini dengan negara jiran kita Singapura, Singapura kini telah mencapai ‘recycling rate’ melebihi 50%. Malahan pula, di sesetengah kawasan di negara maju seperti San Francisco di Amerika Syarikat, ‘recycling rate’ telah mencecah 75%!

    Saya ingin mendapat penjelasan daripada Menteri, apakah sebab kegagalan untuk meningkatkan ‘recycling rate’ kita ke tahap seperti mana di negara maju. Saya juga menjemput Menteri untuk tampil memberitahu Dewan yang Mulia ini apakah rancangan umum untuk meningkatkan ‘recycling rate’ negara kita dan apakah sasaran yang ingin dicapai. Pada masa yang sama, saya ingin bertanya kepada Menteri sama ada ‘zero waste policy’ adalah satu sasaran yang ingin dicapai oleh pihak Kementerian, terutamanya dalam kawasan bandar di mana skala ekonomi untuk mengurangkan sisa pepejal ke tahap sifar lebih mudah dicapai seperti mana perancangan bandar-bandar negara maju misalnya San Francisco.

    Soalan lanjutan saya kepada Menteri, apakah kegunaan peruntukan yang diberikan untuk “Public Awareness Campaign” kepada “Solid Waste Management” di bawah butiran 140700? Adakah peruntukan ini akan digunakan untuk meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan mengitar semula ataupun untuk propaganda bagi menyokong pembinaan satu insinerator di Taman Beringin, Kepong?

    Salah satu akibat kegagalan kerajaan untuk meningkatkan ‘recycling rate’ negara kita ialah tekanan untuk membina lebih banyak ‘landfill’ ataupun tapak pelupusan. Lebih-lebih lagi, pihak Kementerian telah mengulangi perancangan pembinaan satu loji insinerator di tepi tapak ‘transfer station’ ataupun stesen pemindahan di Taman Beringin, Kepong. Sebelum ini, kerajaan telah mencadangkan pembinaan satu loji insinerator di Broga, Semenyih pada tahun 2003 tetapi rancangan ini dibatalkan pada tahun 2006 berikutan bantahan yang kuat daripada penduduk tempatan. Saya meminta penjelasan daripada Menteri sama ada cadangan untuk pembinaan loji insinerator di Taman Beringin, Kepong mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa. Syarat-syarat tersebut  mewajibkan lokasi pembinaan tapak insinerator skala besar berada di ‘sempadan kawasan pembangunan atau luar pembangunan dengan jarak minimum 50km radius dari kawasan tumpuan pembangunan’. Taman Beringin di Kepong adalah kawasan kediaman yang padat penduduk. Jadi, kenapa loji insinerator masih dicadangkan di sini?

    Menteri telah mengumumkan di Parlimen pada 12 November 2013 bahawa satu tender terbuka untuk bukan sahaja insinerator tetapi untuk semua teknologi yang lain akan dilaksanakan pada bulan Disember. Saya ingin mendapatkan pengesahan daripada Menteri bahawa insinerator adalah hanya antara satu daripada pelbagai pilihan yang akan dikaji bagi menangani masalah sisa pepejal di negara kita, dan khususnya di Taman Beringin, Kepong.

    Dalam satu taklimat yang diberikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Dr Nadzri Yahaya telah memberi jaminan bahawa semua tawaran ataupun ‘bid’ yang diterima oleh Kementerian akan diterbitkan secara terbuka untuk penilaian dan pengkajian orang awam. Saya ingin mendapatkan jaminan daripada Menteri bahawa apa yang dijanjikan oleh Dr Nadzri Yahya akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian iaitu mengemukakan secara terbuka segala tawaran teknologi di Taman Beringin, Kepong.

    Harap Menteri boleh menjawab soalan-soalan saya.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    26 November 2013

Leave a reply.