• Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, mesti menjelaskan bahawa insinerator hanya salah satu daripada banyak pilihan pelupusan sampah di stesen pemindahan Taman Beringin di Kepong

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang pada 19 November 2013

    Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, mesti menjelaskan bahawa insinerator hanya salah satu daripada banyak pilihan pelupusan sampah di stesen pemindahan Taman Beringin di Kepong

    Pada petang 18 November semalam, Dato’ Dr Nadzri Yahaya iaitu Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengejutkan penduduk Kepong apabila beliau berkata bahawa telah ‘mengelirukan’ Menteri dengan memberikannya tanggapan bahawa membina insinerator adalah satu-satunya pilihan yang ada di stesen pemindahan sisa Taman Beringin, Kepong. Menurut beliau, inilah sebab mengapa Menteri iaitu Dato’ Abdul Rahman Dahlan telah menegaskan bahawa tender terbuka telah pun diadakan pada bulan September untuk insinerator di Taman Beringin.

    Sebaliknya, dalam taklimat beliau kepada penduduk Kepong di Pusat Komuniti Jinjang Utara, Dato’ Dr Nadzri Yahaya telah memberitahu para hadirin bahawa tender terbuka untuk kemudahan ‘sisa-kepada-tenaga’ meliputi tiga pilihan yang berikut:

    i)                 Loji Rawatan Haba dalam bentuk loji insinerator, loji pengegasan atau loji pirolisis

    ii)                Pencerna anaerobik untuk sisa organik

    iii)               Bahan Api Janaan Sampah (RDF) atau Kemudahan Pemulihan Bahan (MRF)

    Pada masa yang sama, Dato’ Dr Nadzri juga telah memberi jaminan bahawa semua bidaan untuk pilihan yang berbeza, dari pembida tempatan serta antarabangsa, akan diumumkan secara awam supaya orang ramai boleh menilai sendiri sama ada pilihan terbaik telah dipilih.

    Dato’ Dr Nadzri juga telah berkata bahawa bidaan akan dinilai berdasarkan ‘teknik-teknik terbaik yang tidak merangkumi kos berlebihan’ (BATNEEC) dan teknologi tersebut mestilah terbukti mesra alam dan berkesan kos.

    Beliau juga menyebut bahawa Penilaian Kesan Alam Sekitar Terperinci (DEIA) akan dijalankan untuk tempoh sembilan bulan selepas pilihan kemudahan ‘sisa-kepada-tenaga’ telah dibuat.

    Memandangkan pengumuman ini telah pun dibuat oleh Dato’ Dr Nadzri, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Abdul Rahman Dahlan, hendaklah segera menjelaskan bahawa loji insinerator tidak semestinya akan dibina di Taman Beringin, Kepong malah ia hanya salah satu daripada pilihan yang tersedia. Beliau juga perlu mengesahkan bahawa tender terbuka untuk projek ini adalah terbuka kepada semua pilihan yang disebut oleh Dato’ Dr Nadzri, di mana loji insinerator hanya salah satu daripada pilihan yang ada. Pada masa yang sama, Menteri juga perlu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa semua butiran tender untuk projek ini akan dibekalkan secara awam. Akhirnya, Menteri hendaklah memberi jaminan kepada penduduk Kepong bahawa jika DEIA mendapati bahawa pilihan kemudahan yang dibuat tidak sesuai untuk keadaan di sana, maka cadangan pembinaan loji ‘sisa-kepada-tenaga’ akan dimansuhkan.

    Desakan Menteri bahawa insinerator akan dibina di Taman Beringin telah mewujudkan banyak kesangsian dan rasa tidak puas hati di kalangan penduduk Kepong. Jika Menteri ingin membina semula kepercayaan yang telah hilang ini, adalah penting untuk beliau memberi penjelasan yang sewajarnya terhadap kata-kata Dato’ Dr Nadzri yang telah disampaikan kepada penduduk Kepong dalam taklimat semalam.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.