• PEMANDU harus bersikap terbuka dan telus mengenai kadar pampasan kakitangannya dan sama ada mereka memegang jawatan pengarah di agensi kerajaan / GLC (syarikat berkaitan kerajaaan) / syarikat tersenarai awam / syarikat swasta

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 31hb Oktober 2013 di Kuala Lumpur

    PEMANDU harus bersikap terbuka dan telus mengenai kadar pampasan kakitangannya dan sama ada mereka memegang jawatan pengarah di agensi kerajaan / GLC (syarikat berkaitan kerajaaan) / syarikat tersenarai awam / syarikat swasta 

    Dalam tulisan komen yang diterbitkan di laman web Malaysiakini semalam,[1] Encik Goh Wei Liang, seorang pegawai kanan dalam pasukan komunikasi di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) telah cuba mempertahankan gaji tinggi yang dibayar kepada pengarah-pengarah PEMANDU. Dalam tulisan komen ini, beliau telah membuat anggaran bahawa gaji bulanan seseorang penjawat awam JUSA A yang setaraf dengan seseorang pengarah PEMANDU sebenarnya berjumlah RM29,631.53 dan terdiri daripada komponen-komponen berikut:

    Item Jumlah (Sebulan dalam RM)
    Gaji 17331.46
    Tolak Cukai -3533.26
    Imbuhan Tetap Keraian 4000.00
    Imbuhan Tetap Perumahan 2000.00
    Imbuhan Tetap JUSA 2500.00
    Bayaran Insentif Khas Pengurusan Tertinggi 1250.00
    Bayaran untuk Pembantu Rumah 500.00
    Bayaran Bantuan Menyelenggara Rumah 166.67
    Elaun Mesyuarat sebagai Ahli Lembaga* 2500.00
    Elaun Tahunan Tetap sebagai Ahli Lembaga** 2916.67
    Jumlah 29.631.53

    (*) Andaian: Ahli 5 lembaga majlis / GLC (syarikat berkaitan kerajaan), RM500 / mesyuarat sebulan

    (**) Andaian: RM7,000 / lembaga, 5 lembaga majlis / GLS (syarikat berkaitan kerajaan)

    Encik Goh dari PEMANDU seolah-olah berpendapat bahawa pengarah PEMANDU tidak dibayar dengan baik berbanding dengan penjawat awam kerana seseorang pengarah PEMANDU dengan gaji bulanan sebanyak RM40,000 hanya membawa pulang RM30,572.92 selepas cukai (berbanding dengan gaji pegawai JUSA A sebanyak RM29,631.53) dan tidak mempunyai jaminan kerja atau pencen seumur hidup penjawat awam, mahupun pampasan (‘gratituity’), tiket pesawat pulang pergi kelas pertama dari KL ke London ataupun cuti berbayar.

    Encik Goh juga membuat dua cadangan berikut kepada Ketua Setiausaha Kerajaan: (i) mengatur semula pakej bayaran berdasarkan produktiviti dan keberhasilan (‘results-driven’) (ii) mengecilkan saiz perkhidmatan awam dengan hanya mengekalkan kakitangan yang cekap dan produktif.

    Namun, dalam usaha beliau untuk membuktikan bahawa pengarah-pengarah PEMANDU tidak dibayar dengan sepatutnya, Encik Goh menganggap bahawa pengarah PEMANDU tidak memegang jawatan-jawatan lain di tempat lain termasuk sebagai pengarah di GLC dan agensi-agensi kerajaan yang lain. Ini tidak benar sama sekali.

    Mohamad Emir Mavani Abdullah, yang kini merupakan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Globa Ventures (FGV) dan yang telah saya dedahkan sebagai memegang PhD dari sebuah kilang ijazah,[2] adalah Pengarah PEMANDU yang bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Kewangan dan NKEA Minyak & Gas pada 2012 semasa FELDA hendak disenaraikan. Dalam prospektus penyenaraian FELDA,[3] di mana beliau dinamakan sebagai Pengarah PEMANDU serta FGV, beliau juga disenaraikan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) yang baru ditubuhkan dalam Jabatan Perdana Menteri serta berkhidmat dalam lembaga Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia. Di samping itu, beliau juga disenaraikan sebagai pengarah dalam 7 syarikat lain – Mega-Wan International Sdn Bhd, Sterling Advisory Services Sdn Bhd, Sanjung Impian Sdn Bhd, QPIC-Botree Technologies Sdn Bhd, EIM Systems Sdn Bhd, E & H Consulting Sdn Bhd dan FAHC. Mohamed Emir juga telah menerima 150,000 saham FGV semasa proses penyenaraian.[4]

    Saya menganggap bahawa Mohamed Emir sedang menerima gaji sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MPRC serta yuran pengarah sebagai pengarah Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia dan FELDA Global Ventures (sebelum ia disenaraikan). Saya juga menganggap bahawa dia turut menerima yuran pengarah dalam 7 syarikat lain yang disebutkan di atas. Nampaknya pengarah PEMANDU, tidak seperti kakitangan awam, dibenarkan menganggotai lembaga pengarah syarikat-syarikat swasta. Jika kesemua gaji ini ditambahkan, sudah tentu bahawa jumlah keseluruhan gaji bulanan dan tahunan beliau jauh melebihi gaji bulanan yang dibayar kepada pengarah tinggi PEMANDU.

    Atas faktor ketelusan, saya menuntut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PEMANDU, Datuk Seri Idris Jala, untuk mendedahkan struktur bayaran pengarah agensi berkenaan termasuk juga bonus dan elaun serta struktur bayaran kesemua kakitangan kontrak di PEMANDU. Perkara ini perlu selepas Dato’ Idris dipetik berkata bahawa perbelanjaan besar di Jabatan Perdana Menteri berjumlah RM16.45 bilion adalah ‘justified’ (berbaloi).[5]

    Saya turut menuntut Idris mendedahkan sama ada terdapat pengarah di Pemandu yang turut menjadi pengarah di agensi kerajaan lain, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat tersenarai awam, mahupun syarikat swasta. Pengarah-pengarah Bidang Ekonomi Negara Utama (NKEA) masing-masing berpengaruh kuat dalam membentuk landskap polisi untuk bidang-bidang ekonomi tersebut. Rakyat mahu tahu sama ada akan timbulnya konflik kepentingan yang berpunca daripada memegang jawatan yang banyak dalam sektor awam mahupun swasta.

    Akhir sekali, saya menyeru Dato’ Idris Jala untuk menjelaskan sama ada beliau bersetuju dengan pandangan kakitangannya, Goh Weng Liang, iaitu bahawa gaji sektor awam perlu dikaji semula dan dikaitkan dengan produktiviti malah sektor awam perlu dikecilkan supaya hanya kakitangan yang cekap dikekalkan. Adakah ini salah satu strategi di bawah Inisiatif Pembaharuan Strategik Kewangan Awam (IPS) untuk mengurangkan defisit bajet kerajaan?

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.