• Perdana Menteri perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri dan menghentikan kewujudan agensi yang baru dan mahal

    Kenyataan Media oleh Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 29hb Oktober 2013

    Perdana Menteri perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di Jabatan Perdana Menteri dan menghentikan kewujudan agensi yang baru dan mahal

    Baru-baru ini, Dato’ Seri Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah mengumumkan dalam bajetnya penubuhan Yayasan Hijau (Green Foundation) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MAGIC) yang baru. Pada masa yang sama, perbelanjaan yang diperuntukkan kepada Jabatan Perdana Menteri telah melonjak naik daripada RM14.6 bilion pada 2013 sehingga dijangka mencecah RM16.5 bilion pada 2014 iaitu peningkatan sebanyak 13%.

    Antara sebab mengapa perbelanjaan kerajaan telah meningkat dengan ketara sejak 4 tahun yang lalu di bawah Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan adalah pengambilan ramai kakitangan kontrak dengan gaji yang amat tinggi, terutamanya di bawah Jabatan Perdana Menteri.

    Dalam jawapan Parlimen saya pada 1 Oktober, saya diberitahu gaji tahunan, elaun dan bonus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi Inovasi Malaysia adalah RM830,500 dan gaji bulanannya kira-kira sebanyak RM69,000. Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula dibayar gaji tahunan sebanyak RM480,000 (RM40,000 sebulan), elaun tahunan sebanyak RM162,000 dan bonus sebanyak RM60,000 yang kesemuanya berjumlah gaji RM622,000 setahun. CEO TalentCorp pula menerima gaji bulanan sebanyak RM30 ribu dan elaun kereta bulanan sebanyak RM5,000, maka gaji tahunannya berjumlah sebanyak RM420,000.

    Kesemua CEO ini dibayar gaji bulanan yang lebih tinggi daripada gaji bulanan penjawat tertinggi awam iaitu Ketua Setiausaha Negara yang dibayar gaji bulanan maksimum sebanyak RM23,577.

    Ini adalah hanya beberapa buah agensi sahaja di bawah Jabatan Perdana Menteri. Agensi yang lain termasuk Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kumpuan Industri Kerajaan Teknologi Tinggi (MIGHT) dan Unit Peneraju Bumiputera (TERAJU) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (PEMANDU). CEO agensi-agensi tersebut bukan sahaja dibayar gaji yang lebih tinggi daripada penjawat awam yang setaraf [1], malah kakitangan dalam agensi-agensi tersebut yang kebanyakkannya berkontrak sahaja turut dibayar lebih tinggi daripada penjawat awam yang setaraf mereka.

    Sebagai contoh, seorang pengarah PEMANDU yang setaraf dengan penjawat awam JUSA A/B memiliki gaji maksimum sebanyak RM49 ribu sebulan, seorang Pengarah Bersekutu mereka juga bersamaan dengan penjawat awam JUSA C mempunyai gaji maksimum sebanyak RM31,600 sebulan dan Jawatan Pengurus Kanan yang bersamaan dengan penjawat awam Gred 54 mempunyai gaji maksimum bernilai RM21 ribu sebulan.

    Kesemua jawatan dan gaji yang terlalu tinggi tersebut menyumbang besar kepada perbelanjaan kerajaan terutamanya di bawah Jabatan Perdana Menteri. Ini adalah salah satu sebab mengapa jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk Jabatan Perdana Menteri dijangka naik 13 peratus berbanding kenaikan 5.6 peratus untuk seluruh Bajet iaitu daripada RM250 bilion pada tahun 2013 kepada RM264 bilion pada tahun 2014.

    Jika Najib benar-benar serius menyarankan rakyat mengubah gaya hidup dengan peningkatan harga akibat pemotongan subsidi dan pelaksanaan GST, beliau sendiri perlu turut sama berjimat dengan mengurangkan perbelanjaan di jabatannya. Beliau juga seharusnya menghentikan kewujudan agensi baru seperti Yayasan Hijau yang mempunyai fungsi bertindih dengan beberapa agensi lain sedia ada seperti Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) serta Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MAGIC) yang mempunyai fungsi bertindih dengan beberapa agensi lain sedia ada seperti AIM, CRADLE dan Majlis Produktiviti Malaysia serta pelbagai agensi-agensi dan cawangan-cawangan kerajaan lain yang bertanggungjawab untuk menyelia inisiatif-inisiatif ‘inovasi’.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang


    [1] Senator Idris Jala iaitu CEO PEMANDU dikecualikan kerana beliau dibayar gaji yang setaraf dengan gaji Menteri memandangkan bahawa beliau merupakan Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri.

Leave a reply.