• Keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan dengan penggunaan kalimah Allah

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, mengenai keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan dengan penggunaan kalimah Allah

    Sebagai Ahli Parlimen dan wargenegara Malaysia yang beragama Kristian, saya sedih dan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa larangan penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Gereja Katolik, the Herald, dalam Bahasa Melayu, tidak mengikut perlembagaan.

    Alasan yang diberikan oleh hakim-hakim dalam pengulasan penghakiman amat mengecewakan malah ada implikasi yang luas yang bukan sahaja melibatkan penggunaan kalimah Allah dalam satu penerbitan Gereja Katolik di Malaysia. Sebenarnya, pengulasan penghakiman boleh dilanjutkan untuk mengharamkan perkataan Allah dalam semua penerbitan Kristian, termasuk dalam Al-Kitab, sama ada di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Iban, atau bahasa-bahasa lain.

    Kenyataan “Ia adalah penemuan kami bahawa penggunaan nama “Allah” bukan merupakan sebahagian daripada iman dan amalan agama Kristian,” seperti yang ditulis dalam rumusan penghakiman menunjukkan bahawa hakim-hakim langsung tidak memahami amalan penganut agama Kristian di kalangan warganegara Bumiputera Sabah dan Sarawak yang telah menggunakan nama “Allah” untuk merujuk kepada Tuhan dalam doa-doa, lagu-lagu dan kitab mereka sejak turun-temurun lagi.

    Dato’ Mohd Zawawi bin Salleh, salah seorang hakim yang terlibat dalam kes ini, telah memetik beberapa sumber Kristian dari luar Malaysia sebagai bukti bahawa penganut agama Kristian pun tidak bersetuju dengan penggunaan kalimah ‘Allah’. Malangnya, perbuatan beliau sememangnya mengabaikan amalan masyarakat Bumiputera Kristian di Sabah dan Sarawak yang ada persefahaman sebulat suara bahawa ‘Allah’ telah dan akan terus digunakan untuk merujuk kepada Tuhan. Malah, dengan memetik sumber sewenang-wenangnya termasuk sekeping pendapat oleh Brutus Balan yang diterbitkan di laman web yang dikendalikan oleh Daniel Pipes, seorang akademik di Amerika Syarikat yang terkenal kerana pandangan berhaluan kanan (‘right-wing’) serta Fox News, Dato’ Mohd Zawawi jelas menunjukkan kejahilan beliau sendiri terhadap perkara ini.

    Dato Sri Haji Mohamed Apandi bin Haji Ali, pengarang rumusan penghakiman, telah menulis bahawa “penggunaan perkataan “Allah” terutamanya dalam versi Bahasa Melayu Herald , adalah tanpa ragu-ragu, mempunyai potensi untuk mengganggu rentak hidup masyarakat di Malaysia …. Penyiaran itu pasti akan mempunyai kesan yang buruk kepada sebagaimana yang dibayangkan di bawah Perkara 3 (1) dan hak agama-agama lain diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan … Mana-mana gangguan bertentangan dengan harapan dan keinginan kewujudan keamanan dan keharmonian bersama agama-agama lain selain agama Islam di negara ini. ”

    Dalam erti kata lain, penggunaan perkataan Allah oleh the Herald berpotensi menjadi ancaman kepada keamanan dan keharmonian di Malaysia walaupun sebarang ancaman pun tidak pernah wujud di Sabah dan Sarawak di mana orang Kristian Bumiputera telah menggunakan perkataan Allah sejak turun-temurun! Pandangan ini juga memperkecilkan masyarakat Kristian Bumiputera di Malaysia dan langsung tidak mengambil kira hubungan baik antara orang Kristian dan orang Islam di Sabah dan Sarawak.

    Dato Abdul Aziz bin Abdul Rahim, hakim ketiga dalam kes ini, telah menulis bahawa penerbitan Herald di laman web “bermaksud bahawa Herald boleh dibaca oleh sesiapa sahaja – sama ada Islam atau bukan Islam. Atas sebab ini, saya berpendapat bahawa kebenaran yang diberi oleh Kementerian untuk mencetak dan penerbitan Al-Kitab di mana kalimah ‘Allah’ digunakan tidak boleh dikendalikan dengan cara yang sama seperti percetakan dan penerbitan Herald yang juga menggunkan kalimah ‘Allah’.” Saya tertanya-tanya, sedarkah Dato Abdul Aziz bahawa Al-Kitab dalam Bahasa Melayu juga boleh dibaca di alam siber? [1]

    Sebagai ahli parlimen, saya sedih kerana hak kebebasan agama, iaitu hak asasi manusia yang penting dan termaktub dalam Perkara 3, 8 dan 11 Perlembagaan Persekutuan, dapat dinafikan begitu sahaja atas alasan perundangan yang tidak wajar dan tidak munasabah, kononnya untuk melindungi ‘keamanan dan keharmonian’.

    Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya susah hati kerana terdapat ramai kumpulan dan juga individu beragama Islam, termasuk hakim dalam kes ini, yang menganggap bahawa wujud agenda konspirasi besar oleh orang Kristian untuk ‘mengKristianasasikan’ umat Islam dengan menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitan Kristian. ‘Allah’ telah digunakan oleh orang Kristian di Sabah dan Sarawak untuk turun-temurun tanpa sebarang ancaman atau kejadian penukaran agama beramai-ramai dari agama Islam kepada agama Kristian.

    Sebagai seorang warganegara Malaysia yang beragama Kristian, saya menyeru saudara-saudari saya yang juga beragama Kristian untuk terus berdoa untuk negara, badan kehakiman dan penegakan hak asasi manusia di negara ini. Saya juga akan terus berdoa bahawa rakan senegara yang beragama Muslim akan mengambil peluang untuk melawat gereja-gereja yang menggunakan Bahasa Melayu dan berdialog dengan rakan-rakan Kristian yang menggunakan Bahasa Melayu supaya melihat sendiri bagaimana ‘Allah’ telah dan akan terus digunakan oleh orang Kristian di Malaysia malah bahawa ini tidak mengancam kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

    Saya juga ingin mengambil peluang untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidil Adha” kepada kawan-kawan saya yang beragama Islam.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.