• Apakah sebab pembinaan Menara Warisan di atas tapak Taman Merdeka Negara masih dibenarkan memandangkan bahawa Menteri Pelancongan telah mengesahkan bahawa ia di dalam zon penampan Stadium Merdeka dan Negara malah dilindungi di bawah Seksyen 25 (1) Akta Warisan Kebangsaan 2005?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang pada 10hb Oktober 2013 di Kuala Lumpur

    Apakah sebab pembinaan Menara Warisan di atas tapak Taman Merdeka Negara masih dibenarkan memandangkan bahawa Menteri Pelancongan telah mengesahkan bahawa ia di dalam zon penampan Stadium Merdeka dan Negara malah dilindungi di bawah Seksyen 25 (1) Akta Warisan Kebangsaan 2005?

    Ketika Parlimen bersidang baru-baru ini, Dr. Ong telah menyoal mengapa Seksyen 25 (1) Akta Warisan Kebangsaan 2005 tidak digunakan untuk mewartakan Taman Merdeka Negara / Taman Tunku bersebelahan dengan Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai sebahagian daripada tapak warisan negara tersebut.

    Dalam jawapannya pada 30hb September, Menteri Pelancongan Dato’ Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah berkata bahawa Taman Merdeka sudah pun dimasukkan ke dalam zon penampan Stadium Merdeka dan Negara di bawah Seksyen 40(3)(a) Akta Warisan Kebangsaan. Malah, walaupun Taman Merdeka Negara tidak diwartakan sebagai tapak warisan negara kerana tidak memenuhi syarat-syarat di bawah Seksyen 67(2), ia sudah pun dilindungi di bawah Seksyen 25(1). Jawapan beliau adalah seperti berikut:

    ‘Untuk Makluman Yang Berhomat Serdang, Taman Merdeka Negara telah pun termasuk sebagai Zon Penampan kepada Stadium Merdeka dan Stadium Negara di bawah Section 40(3)(a), Akta Warisan Kebangsaan 2005. Sungguhpun Taman Merdeka Negara tidak diwartakan sebagai tapak warisan kerana tidak menepati kreteria di bawah Seksyen 67 (2), ia sudah pun dilindungi di bawah Seksyen 25 (1).’

    Seksyen 40 Akta Warisan Kebangsaan menetapkan bahawa:

    (1) Pesuruhjaya hendaklah menyelaraskan dan menasihati pihak berkuasa perancang tempatan sebelum apa-apa kebenaran merancang atau perintah pembangunan yang melibatkan tapak warisan diberikan.

    (2) (c) langkah-langkah yang telah diambil bagi memastikan keselamatan tapak warisan dan tanah yang berdekatan; dan

    (3) (a) mana-mana tanah yang bersempadanan dalam lingkungan dua ratus meter dari sempadan tanah yang dimaksudkan oleh permohonan di bawah seksyen ini;

    Seksyen 25 (1) Akta Warisan Kebangsaan menetapkan bahawa:

    Jika suatu tapak tidak mempunyai warisan semula jadi atau warisan kebudayaan yang penting tetapi Pesuruhjaya berpuas hati bahawa tapak itu patut ditetapkan sebagai tapak warisan disebabkan oleh kedekatannya kepada dan untuk perlindungan dan penambahbaikan tapak yang lain yang ditetapkan sebagai tapak warisan di bawah seksyen 24, Pesuruhjaya boleh menetapkan tapak itu sebagai tapak warisan.

    Memandangkan bahawa Taman Merdeka Negara berada dalam lingkungan 200 meter daripada Stadium Merdeka dan Negara, kami ingin tahu sama ada Pesuruhjaya Warisan, Profesor Emeritus Datin Paduka Siti Zuraina Bt Abdul Majid, telah berunding dengan DBKL tentang kesan negatif yang mungkin berlaku terhadap kedua-dua tapak warisan negara tersebut akibat pembinaan Menara Warisan di sana. Kami menggesa Pesuruhjaya Warisan untuk memohon agar DBKL membatalkan perintah pembangunan yang khabarnya telah pun diberi kepada pihak pemaju PNB untuk memulakan pembinaan Menara Warisan.

    Kami juga menggesa Pesuruhjaya Warisan, dengan sokongan penuh Menteri Pelancongan, untuk mewartakan Taman Merdeka Negara sebagai sesebuah Tapak Warisan di bawah Seksyen 25 Akta Warisan Kebangsaan demi mempertahankan dan menyerlahkan Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

    Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang

    Fong Kui Lun, Ahli Parlimen Bukit Bintang

    Soalan kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan

    Jawapan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Dato Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Taman Merdeka Negara)

Leave a reply.