• Pelaksanaan Tarif Galakan oleh SEDA yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat besar adalah satu kegagalan besar. Fokus sepatutnya diberikan kepada kuota individu.

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang di Kuala Lumpur pada 26hb September 2013

    Pelaksanaan Tarif Galakan oleh SEDA yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat besar adalah satu kegagalan besar. Fokus sepatutnya diberikan kepada kuota individu.

    Menurut Laporan Tahunan SEDA 2011, sebanyak 380MW kuota FiT telah dikeluarkan oleh SEDA untuk tahun 2012 (190MW) dan 2013 (190MW). Namun menurut laman web SEDA, hanya 120MW atau 31% daripada jumlah tersebut telah berjaya dipasang sehingga hari ini.[1] Untuk tahun 2013, jumlah kapasiti yang telah dipasang adalah 15MW atau 8% daripada 190MW kuota yang dikeluarkan.

    Kapasiti (MW) Yang Telah Dipasang
    Tahun Biogas Biogas (Landfill / Sewage ) Biomass Biomass (Solid Waste ) Small Hydro Solar PV Jumlah
    2012 2.00 3.16 43.40 8.90 15.70 31.53 104.69
    2013 3.38 0.00 0.00 0.00 0.00 11.86 15.24
    Jumlah Keseluruhan 5.38 3.16 43.40 8.90 15.70 43.39 119.93

     

    Jawapan parlimen yang telah saya terima pada 23 September menyatakan bahawa permohonan 11 pemegang kuota FIT dengan kapasiti sebanyak 31MW telah dibatalkan kerana tidak mematuhi syarat-syarat. Dalam jawapan yang sama, saya juga dimaklumkan bahawa 92 pemegang FIT dengan kapasiti 190.76MW telah diberi tempoh pelanjutan untuk tarikh akhir komisi mereka. Majoriti tempoh pelanjutan ini – iaitu 77% ataupun 71 daripada 92 – yang melibatkan 92% daripada kuota (175.2MW daripada 190.76MW) melebihi masa dua bulan. Ini bermakna bahawa lebih separuh daripada kuota FIT bagi tahun 2012 dan 2013 – iaitu 221MW atau 58.3% daripada 380MW – telah ditangguhkan tarikh komisi ataupun dibatalkan sepenuhnya. Malah penghujung tahun 2013 masih belum sampai lagi!

    Baru-baru ini, saya bersama rakan sekerja saya iaitu Tony Pua, Ahli Parlimen PJ Utara, telah menyoalkan mengapa beberapa kuota yang pada mulanya dibatalkan oleh SEDA kemudian diluluskan semula oleh Menteri.[2] Pada masa yang sama, saya telah menerima maklumat daripada sumber-sumber industri bahawa 40 buah syarikat yang telah membuat permohonan untuk kuota FIT pada awal tahun ini belum lagi mendapat maklum balas dari SEDA (sama ada penolakan atau kelulusan). Ini tidak menguntungkan syarikat-syarikat tersebut kerana kapital mereka terikat dan tidak dapat digunakan untuk aktiviti-aktiviti perniagaan yang lain.

    Pada 28 Ogos 2013 pula, SEDA telah mengeluarkan kuota 500kW solar untuk individu dan kuota ini telah dihabiskan dalam jam pertama. SEDA terpaksa menangguhkan keluaran tambahan sebanyak 1000kW kepada tarikh lain disebabkan permintaan individu yang terlalu besar.

    Pelaksanaan skim FIT oleh SEDA sememangnya merupakan satu kegagalan yang besar. Memandangkan bahawa banyak syarikat telah gagal mencapai kuota mereka, SEDA sepatutnya mengalihkan fokus dan mengeluarkan lebih banyak kuota FIT kepada individu. Pada masa ini, 81% daripada kuota tenaga solar diperuntukkan kepada pihak bukan individu (> 0.5MW). Dengan memberikan lebih kuota FIT kepada individu, risiko akan tersebar di antara lebih banyak pemegang FIT. Lebih ramai orang terutamanya syarikat-syarikat kecil / perusahaan kecil dan sederhana yang berupaya memasang panel solar juga boleh beruntung daripada skim ini. Dalam Bajet Alternatif Pakatan Rakyat untuk tahun 2014, lebih banyak langkah akan diperkenalkan untuk menggalakkan pemain kecil untuk mengambil bahagian dalam industri tenaga boleh baharu.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.