• Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas dan Juruaudit untuk Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas pada 20hb September 2013 di Kuala Lumpur

    Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas dan Juruaudit untuk Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) 

    Sebagai Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas untuk Kongres Khas DAP 2013 yang akan berlangsung di One World Hotel pada Ahad 29hb September 2013, saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan pelantikan PKF Accountants and Business Advisers[1] sebagai pemantau dan juruaudit untuk pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang akan diadakan semasa Kongres Khas ini.

    PKF merangkumi rangkaian 300 syarikat dan 440 lokasi koresponden di 125 negara yang menyediakan khidmat nasihat perakaunan dan perniagaan. PKF juga memiliki lebih daripada 23,000 rakan kongsi dan kakitangan yang menjana perolehan tahunan sebanyak USD2.6 bilion. PKF adalah ahli Forum Firma iaitu sebuah organisasi berdedikasi untuk standard kualiti konsisten dan laporan kewangan yang tinggi dengan amalan pengauditan di seluruh dunia.[2]

    PKF buat masa sekarang telah mengkaji dan meneliti penghantaran notis yang dihantar kepada perwakilan untuk menghadiri pemilihan khas CEC.

    PKF telahpun bermula dan akan terus bekerjasama dengan Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas dan pasukannya untuk meneliti penyediaan dan pengagihan kertas serta pembuangan dan pengiraan undi. Mereka juga akan mengkaji semula formula aplikasi perisian yang akan digunakan dalam pengiraan dan penjumlahan undi. Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi setiap peringkat pemilihan akan diserahkan kepada PKF sebagai bahan rujukan.

    Pada hari pemilihan semula CEC, PKF akan turut meneliti prosedur pendaftaran perwakilan, pengagihan kertas, pembuangan dan pengiraan undi. Keputusan akhir pemilihan akan disemak terlebih dahulu oleh PKF sebelum diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas. Sekurang-kurang lima anggota mereka akan hadir menjalankan tugas sebagai pemantau.

    Sebagai tambahan kepada pembabitan PKF sebagai pemantau yang berbeza daripada pemilihan sebelumnya, dua prosedur akan diperuntukan dan diguna pakai untuk memastikan ketepatan keputusan akhir iaitu:

    i)                 Ujian pada ‘spreadsheet’ yang akan digunakan untuk pemilihan semula CEC

    ii)                Penggunaan proses pengiraan secara manual dan berkomputer

    Seramai 2,576 perwakilan yang layak akan menghadiri dan mengundi dalam pemilihan khas dan ia adalah senarai sama seperti mana pemilihan Disember lalu di Pulau Pinang.

    Sebanyak 68 nama akan disenaraikan sebagai calon untuk pemilihan semula CEC iaitu sama seperti mana pemilihan Disember lalu di Pulau Pinang. Namun lima daripadanya telah menarik diri dan ini akan disebutkan dalam senarai tersebut. Penarikan diri lima individu ini – Choong Siew Onn, Er Teck Hwa, Jaya Balan A/L Valliappan, Teo Kok Seong dan Yong Wui Wui (Violet) – juga telah diumumkan pada hari pemilihan CEC pada 15hb Disember lalu di Pulau Pinang. Seorang calon lagi – John A/L Fernandez – telah keluar parti dan ini juga diumumkan.

    Saya juga telah maklum ke atas calon yang mengumumkan untuk menarik diri kali ini. Mereka bebas menyatakan penarikan diri dalam mana-mana saluran yang dirasakan sesuai, namun nama mereka tetap akan tertera dalam senarai calon pada 29 September ini.

    Dr. Ong Kian Ming

    Pegawai Pengurus Pemilihan Kongres Khas, Kongres Khas DAP 2013, Pemilihan Semula CEC

Leave a reply.