• SEDA sepatutnya memastikan bahawa dasar Feed-In-Tariff dilaksanakan dengan cekap sebelum ia memohon untuk menaikkan tarif elektrik bagi Dana Tenaga Boleh Baharu daripada 1% kepada 2%

    Kenyataan Media Bersama oleh Dr. Ong Kian Ming dan Tony Pua, di Kuala Lumpur pada 19hb September 2013

    SEDA sepatutnya memastikan bahawa dasar Feed-In-Tariff dilaksanakan dengan cekap sebelum ia memohon untuk menaikkan tarif elektrik bagi Dana Tenaga Boleh Baharu daripada 1% kepada 2%

    Menurut laporan akhbar pada bulan Ogos 2013, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA ataupun Sustainable Energy Development Authority) telah memohon untuk menaikkan tarif elektrik sebanyak 1% lagi daripada kadar 1% sekarang untuk semua konsumer yang menggunakan lebih daripada 300kWh setiap bulan.[1] Menurut SEDA, kenaikan tarif ini bertujuan untuk memudahkan pengagihan lebih banyak kuota Tenaga Boleh Baharu bagi ‘Feed-in-Tariff’ (FiT) yang membenarkan pemegang kuota yang telah memasang peralatan tenaga boleh baharu untuk menjual tenaga elektrik balik kepada grid elektrik.

    Namun, SEDA perlu membuktikan kecekapan dan kejayaan dalam melaksanakan pelan semasanya sebelum membebankan konsumer lagi. Berdasarkan contoh-contoh berikut, didapati bahawa prestasi SEDA amat kurang memuaskan pada masa ini:

    i) Ramai pemegang FiT tidak dibatalkan lesen mereka tetapi diberi tempoh pelanjutan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air 

    Jawapan Parlimen kepada Tony Pua bertarikh 27hb Jun 2013 telah mendedahkan bahawa setakat itu, hanya dua syarikat – Bumi Masyhur (5MW) dan Diversified Harvest Sdn Bhd (5MW) – telah dibatalkan permit FiT mereka kerana ‘tidak memenuhi syarat’.[2] Malah, syarikat Diversified Harvest merupakan salah satu daripada syarikat-syarikat yang dikawal oleh anak perempuan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan, yang telah menerima lebih daripada 30% kuota tenaga solar asal seperti yang dibangkitkan Tony Pua pada Julai 2012.[3]

    Namun, jawapan Parlimen yang sama turut menyatakan bahawa terdapat 4 permit yang sepatutnya dibatalkan tetapi telah diberi tempoh pelanjutan sebanyak 5 bulan oleh Menteri. Permit-permit tersebut dipegang oleh Cemara Angsana (2 permit bernilai 1.25MW dan 4.5MW masing-masing), Corporate Season (4MW) dan Gubahan Ceria (4.5 MW). Menurut jawapan Parlimen tersebut, “Pembatalan sepatutnya dibuat pada… tetapi ditarik balik berdasarkan keputusan YBM (Yang Berhormat Menteri)”. Corporate Season juga merupakan salah satu daripada syarikat-syarikat yang dikawal oleh anak perempuan bekas Ketua Setiausaha Negara.

    Di samping itu, apabila tarikh permulaan FiT yang asal (daripada Disember 2011) dibandingkan dengan tarikh permulaan FiT baru yang disenaraikan di laman web SEDA [4], didapati bahawa 28 pemegang permit yang lain turut diberikan tempoh pelanjutan.

    Oleh kerana banyak syarikat sedang mengalami masalah menepati tarikh akhir mereka, kami meragui keberkesanan pelan pelaksanaan tenaga boleh baharu SEDA dalam hal ini.

    ii) Kami meragui sama ada semua pemegang permit telah berjaya memasang kuota mereka

    Contohnya, menurut laman web SEDA, IRM Solar Sdn Bhd telah berjaya memasang 5MW tenaga solar pada April 2013 di Perlis. Akan tetapi, syarikat induknya iaitu IRM Group yang disenaraikan di Bursa Malaysia, telah melihat satu daripada syarikat subsidiarinya mengingkar hutangnya[5], malah gagal untuk menyerahkan akaunnya pada Februari 2013[6] dan justeru status syarikat tersebut diturunkan kepada PN 17 pada Jun[7]. Kami sukar untuk percaya bahawa IRM Solar Sdn Bhd masih dapat berjaya memasang loji kuasa solar yang bernilai jutaan ringgit ketika menghadapi masalah kewangan sebesar ini.

    Selain itu, syarikat Ambang Fiesta sepatutnya telah berjaya memasang dua loji kuasa solar dengan kapasiti 1.3MW dan 5MW pada Jun dan November 2012. Namun, laman web SEDA sendiri menunjukkan bahawa Ambang Fiesta hanya telah memasang satu loji kuasa 1MW di Perlis.[8] Ambang Fiesta merupakan salah satu daripada syarikat yang dikenalpasti oleh Tony Pua yang termasuk dalam kumpulan syarikat yang telah diberi bahagian terbesar kuota kuasa solar pada 2011.

    iii) SEDA telah gagal mencapai sasarannya sendiri

    Menurut laman web SEDA, 31.53MW kuasa solar telah berjaya dipasang oleh pemegang FiT pada 2012. [9] Namun, jika tarikh akhir untuk setiap satu kuota diambil kira, kapasiti sebanyak 70.3MW sepatutnya telah dipasang menjelang akhir 2012.[10] Dan dari Januari hingga Ogos 2013 pula, jumlah kapasiti sebanyak 41.1MW sepatutnya telah dipasang. Akan tetapi, laman web SEDA sendiri menyatakan bahawa hanya 11.82MW telah berjaya dipasang setakat 19hb September 2013 ini.[11]

    Maknanya untuk tahun ini, SEDA telah gagal memenuhi 50% kuota sasarannya untuk kuasa solar! Pada akhir Disember 2011, SEDA telahpun mengumpul RM300 juta dalam Dana Tenaga Boleh Baharu dan dana ini dijangka bertambah sebanyak sekurang-kurangnya RM300 juta setiap tahun dengan adanya tarif 1% sekarang. Sesebuah laporan baru-baru ini telah memetik kata CEO SEDA, iaitu Datin Badriyah Abdul Malek, yang berkata bahawa SEDA kini memegang RM665 juta dalam akaunnya. Memandangkan SEDA hanya telah membayar RM44 juta setakat ini (untuk 2012 dan pertengahan pertama 2013), kami berpendapat bahawa SEDA gagal menerangkan mengapa ia memerlukan dana yang lebih.

    Memandangkan prestasi SEDA yang agak kurang memuaskan setakat ini, kami menggesa supaya:

    Given these serious shortfalls in SEDA’s performance, we call for the following:

    i)                 SEDA mengeluarkan senarai penuh penerima-penerima RM44 juta yang telah dibayar di bawah perjanjian-perjanjian FiT untuk syarikat serta individu[12]

    ii)                SEDA mengeluarkan senarai penuh syarikat-syarikat yang gagal menepati tarikh akhir untuk tarikh permulaan projek setakat ini serta senarai syarikat-syarikat yang telah diberi tempoh pelanjutan (dan jangka masa untuk tempoh pelanjutan tersebut)

    iii)               Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan mempertimbangkan permohonan SEDA untuk menaikkan tarif elektrik sebanyak 1% lagi bagi membiayai kuota FiT baru hanya selepas SEDA membuktikan keberkesanannya

    Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang

    Tony Pua, Ahli Parlimen PJ Utara dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP


    [2] http://www.kettha.gov.my/en/content/yb-tuan-tony-pua-kiam-wee-petaling-jaya-utara-2 (An Appendix to the same question showed that a third company, Abric Properties, holding a small quota of 0.0069MW, had also seen its permit revoked)

Leave a reply.