• Seandainya Najib serius ingin meningkatkan kebajikan kaum Bumiputera di Malaysia, beliau seharusnya melaksanakan 18 cadangan SUHAKAM tentang Hak Tanah Orang Asal/Asli termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Yang Bebas Mengenai Orang Asal

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 18hb September 2013 di Kuala Lumpur

    Seandainya Najib serius ingin meningkatkan kebajikan kaum Bumiputera di Malaysia, beliau seharusnya melaksanakan 18 cadangan SUHAKAM tentang Hak Tanah Orang Asal/Asli termasuk cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Yang Bebas Mengenai Orang Asal

    Ketika mengumumkan Agenda Bumiputera baru-baru ini, Perdana Menteri Najib telah merujuk kepada ucapan beliau di Perhimpunan Agung UMNO 2010 di mana beliau telah mengungkapkan bahawa ‘Jakun dan Sakai asli adalah Melayu… dan [dah] serap ke Melayu.’

    Seandainya Najib benar-benar serius ingin menangani masalah dan penderitaan yang dialami oleh komuniti-komuniti Bumiputera di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia (termasuk Orang Asli), beliau seharusnya segera melaksanakan 18 cadangan yang dikemukakan dalam ‘Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Orang Asal/Asli’ yang telah dikeluarkan oleh SUHAKAM baru-baru ini.[1] Laporan ini telah mendokumenkan halangan-halangan serius yang dihadapi oleh Orang Asal / Asli di Malaysia dalam hal pemeliharaan dan penggunaan tanah yang menjadi sebahagian daripada tradisi dan gaya hidup mereka. Laporan ini turut menegaskan bahawa kerajaan Malaysia perlu menegakkan konvensyen-konvensyen antarabangsa yang telah diratifikasikannya dan yang juga relevan kepada Orang Asal/Asli termasuk Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terhadap Hak Orang Asal (UNDRIP), Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).

    Daripada mengumumkan Agenda Bumiputera yang bertujuan untuk mengukuhkan posisinya dalam UMNO sebelum pilihanraya parti yang akan datang (dan yang akan mengimpak ekonomi dan politik Malaysia secara negatif dalam jangka masa yang panjang), Najib sepatutnya fokus terhadap komuniti-komuniti Malaysia yang dipinggirkan, bermula dengan Orang Asal/Asli yang juga merupakan Bumiputera di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia. Antara 18 cadangan yang dikemukakan dalam laporan SUHAKAM yang perlu ditegaskan adalah:

    (i)                Penubuhan Mahkamah Tanah hakmilik Adat (Native Title Court) atau satu Mahkamah Khas untuk mengendalikan kes-kes yan tertangguh di mahkamah sivil

    (ii)              Menghormati prinsip Izin berasaskan Makluman Awal, Bebas dan Telus (IMAbT) (‘Free, Prior and Informed Consent’) berkaitan dengan hak-hak Orang Asal/Asli terhadap tanah-tanah, wilayah-wilayah dan sumber-sumber mereka

    (iii)             Menjalankan penilaian yang komprehensif terhadap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) (Orang Asli Development Department)

    (iv)             Menubuhkan Suruhanjaya Kebangsaan Yang Bebas Mengenai Orang Asal yang bertujuan ‘untuk menasihati Kerajaan mengenai undang-undang dan dasar-dasar berkaitan dengan Orang Asal, mencadangkan dan memantau pelaksanaan program-program pembangunan lestari di atas tanah Orang Asal, menggalakkan penyertaan Orang Asal di setiap peringkat, dan menjalankan penyelidikan mengenai isu berkaitan dengan kesejahteraan Orang Asal.’

    Malangnya, setakat ini tiada seorang Menteri pun daripada kerajaan BN, termasuk Perdana Menteri dan Menteri yang bertanggungjawab ke atas JAKOA, yang telah membuat rujukan kepada laporan dan cadangan-cadangan SUHAKAM yang amat penting ini. Seandainya Najib dan kabinet beliau terus mengabaikan penemuan-penemuan dan cadangan-cadangan laporan ini, ini akan membuktikan bahawa beliau dan kerajaan beliau tidak memandang serius keperluan-keperluan komuniti-komuniti Bumiputera yang dipinggirkan di negara ini tetapi beliau sebenarnya hanya berminat untuk memulihkan model pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang bukan sahaja berbentuk ‘Mahathirist’ dan diterajui oleh kroni-kroni tetapi juga gagal dan lapuk.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.