• ‘Agenda Bumiputera’ yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri Najib menterbalikkan Model Ekonomi Baru (NEM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP)

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 12 September

    ‘Agenda Bumiputera’ yang baru diumumkan oleh Perdana Menteri Najib menterbalikkan Model Ekonomi Baru (NEM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP)

    Pada 14 September, iaitu dua hari sebelum Hari Malaysia, Perdana Menteri Najib Tun Razak telah mengumumkan ‘Agenda Bumiputera’ yang bercita-cita besar dan berkesan luas.

    Antara paksi-paksi utama Agenda ini termasuk pertubuhan sesebuah Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, penyuntikan 10 bilion unit Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) baru, penuntutan terhadap GLC dan GLIC untuk mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera dan untuk menambah bilangan Program Pembangunan Vendor Bumiputera (VDP) mereka, pelaksanaan dasar-dasar untuk memastikan penglibatan Bumiputera dalam projek-projek besar seperti projek-projek Menara Warisan dan Institut Penyelidikan Getah (RRI), penubuhan lagi satu tabung keusahawanan Bumiputera iaitu SUPERB dan penubuhan Unit Pembangunan Bumiputera dalam semua kementerian untuk melaksanakan semua inisiatif Agenda Bumiputera.

    Agenda ini menterbalikkan hampir semua aspek kritikal program-program transformasi Najib iaitu Model Ekonomi Baru (NEM), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Program Transformasi Kerajaan (GTP). Strategi NEM pada asalnya memberi tumpuan kepada program tindakan afirmatif yang mesra pasaran dan telus untuk meningkatkan 40 peratus pendapatan isi rumah demi menyempitkan jurang antara kaya dan miskin, penduduk bandar dan luar bandar, Bumiputera dan bukan Bumiputera. Namun, Agenda Bumiputera Najib langsung tidak menyebut rumah tangga 40% terbawah yang dulu merupakan fokus NEM. Apa yang lebih mengecewakan adalah Najib langsung tidak menyebut sebarang keperluan untuk golongan miskin di Sabah dan Sarawak, di mana majoriti merupakan Bumiputera serta Orang Asli di Semenanjung Malaysia. Kumpulan ini disebut secara khusus dalam NEM serta Rancangan Malaysia ke-10.

    Cadangan-cadangan berstruktur yang dibuat dalam NEM telah ditujukan kepada PEMANDU untuk dikendalikan dan dilaksanakan di bawah 6 Inisiatif Reform Strategik (SRI). Malangnya, Agenda Bumiputera Najib melanggar inisiatif untuk mempertingkatkan persaingan dan meliberalisasikan sektor-sektor perkhidmatan yang penting dengan menyekat pemain-pemain dalam pasaran. Agenda Bumiputera Najib juga melanggar inisiatif untuk mengurangkan peranan kerajaan dalam perniagaan dengan mencuba sekali lagi untuk mempengaruhi dasar-dasar GLC dan GLIC. Najib seharusnya ingat bahawa salah satu daripada institut yang dinamakan sebagai penciptaan kerajaan dalam ucapannya – iaitu Bank Bumiputera – tidak wujud lagi disebabkan salah pengurusan dan pelaksanaan direktif pinjaman kerajaan yang cuai. Najib sepatutnya juga sedar bahawa institut yang telah menggantikan Bank Bumiputera – iaitu CIMB – adalah organisasi pimpinan Melayu-Bumiputera yang mempunyai tenaga kerja yang makin majmuk, berjaya memperkembangkan perniagaannya di rantau Asean dan juga dilihat sebagai bank yang dipimpin dengan jauh lebih baik berbanding dengan Bank Bumiputera yang terdahulu disebabkan kurang campur tangan kerajaan.

    Agenda Bumiputera Najib melanggar inisiatif penyampaian perkhidmatan awam dengan menambah satu lagi lapisan birokratik iaitu Unit Pembangunan Bumiputera di dalam semua Kementerian. Ini pasti akan melambatkan proses membuat keputusan kerana semua dasar dan pelan tentu akan dinilai sama ada ia membantu mencapai Agenda Bumiputera yang dikehendaki. Pada pendapat saya, unit-unit ini sungguh tidak diperlukan kerana andainya setiap Kementerian menjalankan tugas dengan cekap dan telus, semua rakyat Malaysia akan mendapat manfaat dan ini termasuk majoriti 67.9% yang merupakan warga Bumiputera seperti yang diungkap oleh Najib dalam ucapannya.

    Agenda Bumiputera Najib melanggar inisiatif pengurusan kewangan awam dengan menjanjikan perbelanjaan baru sebanyak berbilion-bilion ringgit tanpa menilai sama ada dana yang diperuntukkan dulu telah dibelanjakan dengan cermat. Contohnya, ‘Facilitation Fund’ sebanyak RM2 billion telah diperbentuk di bawah TERAJU 2 tahun lalu tetapi sehingga kini tiada sebarang laporan tahunan yang menilai keberkesanan dana tersebut. Namun, ini tidak menghalang Najib daripada mengumumkan satu lagi skim dana SUPERB – Skim Permulaan Usahawan Bumiputera Baru – dengan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk 3 tahun. Pengumuman beliau tentang ASB2 juga amat tidak bertanggungjawab kerana Bank Negara kini sedang cuba menyelesaikan masalah pinjaman peribadi dan hutang dan dijangka bahawa bank-bank akan membekukan pinjaman untuk membeli skim ASB.

    Agenda Bumiputera Najib juga bertentangan dengan ETP kerana ia telah berubah daripada pelan transformasi bersifat korporat kepada pelan transformasi pimpinan kerajaan. Dasar ‘carve out’ untuk memastikan penyertaan Bumiputera dalam projek mega GLC – Menara Warisan (PNB), Bukit Bintang City Center (UDA), Institut Penyelidikan Getah (EPF), MATRADE (Naza TTDI)[1] – bermaksud bahawa kerajaan akan dapat mempengaruhi cara projek-projek ini akan dijalankan.

    Akhir sekali, Agenda Bumiputera Najib bertentangan dengan GTP kerana menyimpang daripada KPI yang berdasarkan keperluan dan tidak berpihak kepada sebarang kaum. Semua KPI yang dikenalpasti di bawah 6 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tidak menerap tindakan afirmatif. Contohnya, program LINUS yang bertujuan mempertingkatkan taraf kecelikhurufan dan kecelikangkaan telah pun dilaksanakan tanpa bersifat perkauman. Malah, Pelan Pendidikan Malaysia (NEB) 2013 ke 2025 di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin – yang sendiri telah menyifatkan hari Sabtu yang lepas sebagai ‘hari bertuah’ untuk kaum Bumiputera – tidak menyebut sebarang Agenda Bumiputera pun. Malah NEB tidak memerlukan penubuhan unit khas untuk menyelia pelaksanaan Agenda Bumiputera.

    Daripada kembali kepada kegagalan program kroni ‘Mahathirist’, Najib seharusnya menjalankan audit serius daripada semua program kerajaan sedia ada yang disasarkan untuk Bumiputera supaya dapat mengetahui kelemahan, menangani ketirisan dan memperbaiki prestasi mereka. Najib seharusnya memikirkan kaedah meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi. Contohnya seperti cukai pajakan bagi lot Bumiputera dalam IPO untuk mengelak penjualan pegangan untuk untung mudah. Beliau seharusnya mengaku bahawa penubuhan syarikat-syarikat Malaysia yang berjaya seperti Air Asia dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk golongan professional dan kontraktor Bumiputera. Sesungguhnya, pengumuman Agenda Bumiputera beliau hanya 2 hari sebelum Hari Malaysia bersifat memecah belah, tidak perlu dan akan menghancurkan ekonomi dan hubungan sosial negara dalam jangka masa panjang.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang



    [1] Naza TTDI bukan GLC tetapi telah diberi hartanah di sebelah MATRADE dalam perjanjian dengan MITI

Leave a reply.