• Suruhanjaya Persaingan seharusnya menyiasat Education Malaysia Global Services kerana membenarkan tindakan yang bersikap anti-persaingan serta penetapan harga berlaku dalam pasaran insurans perubatan untuk pelajar asing

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, pada 13hb September di Kuala Lumpur

    Suruhanjaya Persaingan seharusnya menyiasat Education Malaysia Global Services kerana membenarkan tindakan yang bersikap anti-persaingan serta penetapan harga berlaku dalam pasaran insurans perubatan untuk pelajar asing

    Pada 6hb September 2013, Suruhanjaya Persaingan telah mendenda MAS dan Air Asia sebanyak RM10 juta masing-masing kerana melanggar Seksyen 4(2)(b) Akta Persaingan 2010 yang melarang syarikat-syarikat yang beroperasi dalam pasaran yang sama daripada berkongsi maklumat.[1]

    Pada 11hb September 2013 pula, Suruhanjaya Persaingan telah mengeluarkan amaran kepada persatuan-persatuan supaya tidak berpakat antara satu sama lain untuk menetapkan harga barang-barang kerana perbuatan ini melanggar terus Seksyen 4 Akta Persaingan 2010.

    Menurut Suruhanjaya Persaingan, Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 melarang perusahaan termasuk persatuan-persatuan daripada menetap harga pembelian ataupun penjualan atau sebarang syarat perdagangan untuk barang-barang dan perkhidmatan secara terus atau tidak terus.[2]

    Namun, Education Malaysia Global Services (EMGS) telah jelas berbuat demikian kerana ia telah membenarkan hanya satu syarikat insurans – AXA Affin General Insurance – untuk menjadi pemain tunggal dalam pasaran untuk membekalkan insurans perubatan wajib kepada pelajar asing pada harga yang tetap.

    CEO EMGS Mohd Yazid Abd Hamid telah dipetik berkata bahawa Axa-Affin telah dipilih kerana ia menawarkan harga terendah daripada 12 buah syarikat dalam proses tender terbuka.[3]

    Lampiran 1 memaparkan polisi insurans perubatan AXA-Affin untuk pelajar asing pada 2008 manakala Lampiran 2 memaparkan polisi insurans perubatan AXA-Affin untuk pelajar asing di bawah EMGS. Jika polisi 2008 dibandingkan dengan polisi asas EMGS (Perak), didapati bahawa jadual faedah untuk kedua-dua polisi hampir sama. Namun, perbezaannya adalah:

    (i)                Elaun Wang Tunai Harian Hospital Kerajaan telah diturunkan daripada RM80 di bawah polisi 2008 kepada RM60 di bawah polisi EMGS sekarang

    (ii)              Tuntutan Yuran Laporan Perubatan telah diturunkan daripada RM80 pada 2008 kepada RM60 di bawah polisi EMGS sekarang

    (iii)             Tuntutan Kematian dan Pemotongan Akibat Kemalangan telah diturunkan daripada RM30,000 pada 2008 kepada RM20,000 di bawah polisi EMGS sekarang

    (iv)             Pemindahan Perubatan Kecemasan dan Pemulangan telah dinaikkan daripada RM20,000 pada 2008 kepada RM100,000 di bawah polisi EMGS sekarang

    Caj premium tahunan polisi AXA pada 2008 adalah RM280 manakala caj premium tahunan Pelan Perak EMGS adalah RM500, iaitu perbezaan hampir sebanyak 80% untuk tahap perlindungan yang hampir sama. Ini masih berlaku walaupun AXA-Affin tidak perlu membayar komisi kepada agen-agen insurans kerana polisi mereka disalurkan terus melalui EMGS. Mungkinkah EMGS sedang mengutip sebahagian daripada premium insurans tersebut?

    CEO Mohd Yazid juga telah berkata bahawa beliau akan membawa sebut harga daripada syarikat insurans lain kepada lembaga EMGS untuk pertimbangan lanjut jikalau sebut harga tersebut lebih rendah daripada sebut harga AXA-Affin. Namun, kenyataan seperti ini tidak berguna memandangkan AXA-Affin telahpun menandatangani kontrak selama 4 tahun dengan EMGS untuk membekalkan insurans perubatan ini. Malah, ini tidak sesame sekali membentuk pasaran terbuka untuk syarikat-syarikat insurans bersaing demi mendapat pelanggan.  Bayangkan keadaaan jika MAS ataupun Air Asia dipaksa untuk menghantar bida kepada sebuah lembaga kawal selia setiap kali ia ingin menukarkan ataupun merendahkan harga tiket penerbangannya!

    Di samping itu, saya telah menerima berita bahawa perkhidmatan yang ditawarkan oleh AXA-Affin dalam hal pemprosesan tuntutan adalah kurang memuaskan berbanding dengan perkhidmatan daripada agen-agen insurans yang individu di bawah sistem yang dahulu. Sebelum pasaran ini dimonopoli oleh AXA-Affin, universiti-universiti dan kolej-kolej dapat menukar agen insurans mereka jika didapati bahawa tahap perkhidmatan mereka kurang memuaskan. Akan tetapi, opsyen ini tidak wujud lagi. AXA-Affin bukan sahaja mengenakan caj yang berlebihan untuk tahap perlindungan insurans yang sama, tetapi tahap perkhidmatan juga kurang memuaskan berbanding dengan dahulu.

    Encik Pee Che Yong, seorang agen insurans yang mendapati bahawa polisi ini telah menjejaskan pendapatan dan rezekinya, telah memfail aduan dengan Suruhanjaya Persaingan pada 22 Februari 2013. Beliau masih belum menerima sebarang jawapan rasmi walaupun CEOnya, Shila Dorai Raj, telah berkata dalam laporan media bahawa Suruhanjaya Persaingan telahpun membuat tinjauan permulaan terhadap perkara ini.

    Saya menyeru Suruhanjaya Persaingan untuk menjalankan penyiasatan yang menyeluruh terhadap monopoli AXA-Affin ke atas pembekalan insurans perubatan kepada pelajar asing. Khususnya, saya menyeru Suruhanjaya Persaingan untuk

    (i)                Menyiasat EMGS dan AXA-Affin atas sebab melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan

    (ii)              Menyiasat proses ‘tender terbuka’ yang dikendalikan oleh EMGS dan mencari sebab mengapa bida yang menang berharga 80% lebih daripada polisi AXA-Affin pada 2008

    (iii)             Menyiasat sama ada EMGS telah mengaut keuntungan dalam apa-apa bentuk daripada penganugerahan monopoli ini kepada AXA-Affin

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Lampiran 1: Polisi Insurans Perubatan AXA-Affin pada 2008

    Lampiran 2: Insurans Perubatan EMGS (Seperti pada 13 September 2013) [4]

Leave a reply.