• Tindakan dan ketiadaan tindakan Menteri Pendidikan atas 6 isu gagal memberi keyakinan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) akan dilaksanakan dengan betul dan cekap

    Maklum Balas Pakatan Rakyat Education Taskforce Terhadap Draf Muktamad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) pada 10 September 2013

    Tindakan dan ketiadaan tindakan Menteri Pendidikan atas 6 isu gagal memberi keyakinan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) akan dilaksanakan dengan betul dan cekap

    Sebelum ini, Kementerian Pendidikan telah menghasilkan beberapa Pelan Pendidikan yang malangnya telah gagal pada tahap pelaksanaan. Walaupun ‘Education Performance and Delivery Unit’ (PADU) akan ditubuhkan untuk menyelia pelaksanaan Pelan Pendidikan yang terbaru ini, namun maklum balas dan juga ketiadaan maklum balas daripada Menteri Pendidikan terhadap pendedahan spesifik yang berkaitan dengan sistem pendidikan gagal menyakinkan kami bahawa Pelan Pendidikan ini akan dilaksanakan dengan betul dan cekap.

    Yang pertama, Menteri enggan mendedahkan skim markah untuk lulus peperiksaan Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, dan Bahasa Inggeris SPM kerana ia kononnya dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi. Ini melanggar Anjakan 11 Pelan Muktamad iaitu “Meningkatkan Ketelusan Untuk Akauntabiliti Awam”. Jika markah kelulusan kini dirahsiakan di bahawa Akta Rahsia Rasmi, mungkinkah markah kelulusan untuk peperiksaan Bahasa Inggeris SPM akan diturunkan lagi tanpa pengetahuan umum apabila pelajar-pelajar SPM diwajibkan lulus peperiksaan tersebut pada 2016?

    Yang kedua, Menteri telah gagal bertindak balas terhadap peristiwa ‘kantin dalam bilik mandi’ di SK Seri Pristina. Timbalan Menteri Pendidikan bukan sahaja menyifatkan peristiwa ini sebagai ‘masalah kecil,’ malah pihak polis telah menyoal siasat murid-murid di sekolah ini tanpa keizinan ibubapa mereka dan khabarnya seorang ibubapa ditahan atas alasan cuba menggertak guru besar sekolah tersebut. Tindakan sebegini telahpun menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem sekolah kebangsaan dan akan menyebabkan ramai lagi ibubapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah yang lain.

    Yang ketiga, Menteri telah gagal bertindak balas terhadap dakwaan bahawa ‘Diploma’ Pendidikan Jasmani yang dianugerahkan kepada guru-guru oleh United States Sports Academy (USSA) di bawah program Kementerian Pendidikan bukan sahaja terlalu mahal (dengan kos RM27,000 seseorang untuk program selama 6 bulan) malah hanya merupakan program tahap sijil dan bukan diploma. Jika kursus ‘diploma’ yang gagal memenuhi tahap piawaian MQA untuk kursus diploma yang sebenar dapat juga ditawarkan kepada para pendidik di Malaysia, kami ingin mengemukakan persoalan sama ada program latihan dan latihan semula di bawah Pelan Pendidikan ini akan turut dianugerahkan dengan selamba sahaja dan gagal mencapai objektif yang dikehendaki.

    Yang keempat, Menteri telah gagal bertindak balas terhadap peristiwa di mana beberapa guru besar telah didapati menjual tablet kunyah bernama ‘Dimensi 108’ yang kononnya mendapat sokongan Majlis Guru Besar Daerah Mersing dan Kota Tinggi. Skandal ini mencerminkan keupayaan Menteri untuk melaksanakan Anjakan 6: Mengupaya JPD, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan dan Anjakan 8: Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan. Seandainya Menteri gagal bertindak keras terhadap guru besar-guru besar ini, ini tidak menambah keyakinan kami bahawa pengagihan kuasa kepada jabatan-jabatan pendidikan negeri dan daerah tidak akan disalahgunakan.

    Yang kelima, Menteri telah gagal memberi penjelasan mengapa Syarikat YTL, iaitu sebuah syarikat yang tiada pengalaman dalam penghasilan perisian pendidikan (‘education software’) ataupun pembuatan perkakasan computer (‘computer hardware’), telah diberikan kontrak bernilai tinggi untuk memasangkan platform Virtual Learning Environment (VLE) bagi kegunaan murid-murid, guru-guru dan ibubapa-ibubapa dan juga untuk membekalkan setiap orang murid di Malaysia dengan Chromebook di bawah dasar 1 Murid 1 Komputer. Malah, Chromebook tersebut telah dibekalkan kepada Kementerian dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Penganugerahan kontrak-kontrak tersebut mempersoalkan Anjakan 10 iaitu ‘Memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit.’

    Yang keenam, Menteri telah gagal memberi tempat kepada 460 graduan DPLI (Diploma Perguruan Lepas Ijazah) di sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang masih kekurangan guru. Graduan-graduan tersebut telah bertugas sebagai guru sementara sebelum didaftar dalam kursus DPLI pada Disember 2011. Mereka juga telah menikmati elaun RM1,300 sebulan semasa kursus ini. Namun, 3 bulan selepas kursus Diploma tersebut tamat pada 23hb Mei tahun ini, Kementerian masih gagal memberi tempat kepada graduan-graduan tersebut. Ini mencerminkan kekurangan Kementerian dalam membuat perancangan teliti dan juga pembaziran wang dan tenaga yang jauh menyimpang daripada komitmen untuk ‘memaksimumkan kecekapan.’

    6 perkara ini jelas membuktikan bahawa Menteri Pendidikan sememangnya tidak mempunyai azam politik ataupun hasrat untuk melaksanakan 11 anjakan yang diggariskan dalam Draf Muktamad Pelan Pendidikan Malaysia dengan betul dan cekap.

    Pakatan Rakyat Education Taskforce

Leave a reply.