• Hampir setahun selepas pengumuman laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, pelan muktamad tidak menunjukkan perubahan substantif serta gagal menangani kerisauan atau menerapkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

    Kenyataan Media Pakatan Rakyat Education Taskforce mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPM) pada 9hb September 2013

    Hampir setahun selepas pengumuman laporan awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, pelan muktamad tidak menunjukkan perubahan substantif serta gagal menangani kerisauan atau menerapkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

    Versi muktamad Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 telah dilancarkan pada 6hb September, hampir satu tahun selepas laporan awal dikeluarkan pada 11hb September 2012. Dalam tempoh setahun ini iaitu semasa Pelan ini sedang dimuktamadkan, Menteri Pendidikan sepatutnya telah ‘mengadakan pusingan kedua perundingan dengan pihak awam secara intensif untuk mendapatkan pandangan daripada kumpulan pihak berkepentingan yang berbeza untuk diterapkan dalam dokumen akhir pelan pendidikan’ seperti yang telah dijanjikan.

    Selama setahun, kami telah sabar menunggu dengan harapan bahawa Kementerian akan berpegang kepada janji untuk menerapkan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan ke dalam dokumen muktamad, terutamanya dalam hal-hal di mana pelbagai kelemahan telahpun dikenalpasti. Malangnya, pelan muktamad gagal menangani kerisauan dan ketidakpuasan hati pelbagai pihak-pihak berkepentingan yang telah disuarakan selepas pengumuman dokumen awal. Tambahan pula, kandungan yang ‘baru’ dalam pelan muktamad tidak bersifat ‘transformasi’ dan gagal menyakinkan kami bahawa sistem pendidikan di Malaysia akan bertambah baik dibawah pelan ini.

    Antara cadangan yang baru dalam pelan muktamad ini adalah (i) Mewajibkan pelajar SPM untuk lulus subjek Bahasa Inggeris bermula pada 2016 (ii) Menyediakan sukatan Bahasa Malaysia yang baru untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (iii) Meningkatkan peratusan soalan yang memerlukan ‘kemahiran berfikir aras tinggi’ di peringkat peperiksaan UPSR, Tingkatan 3 dan SPM (iv) menyusun semula Institut Pendidikan Guru (IPG) (v) memperluaskan inisiatif untuk pendidikan khas.

    Walaupun visi, aspirasi dan program yang diggariskan dalam pelan ini sememangnya harus dipuji dan disokong, semua ini hanya perubahan ‘incremental’ dan bukannya pembaharuan kritikal yang diperlukan untuk memulihkan sistem pendidikan kita. Pandangan ini telah dibentangkan dalam sebuah memo dalaman oleh Panel Penilai Bebas Malaysia yang diketuai oleh Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Albukhary International University selepas pelan awal dikeluarkan. Malangnya, nasihat yang dikemukakan ini seolah-olah tidak diambil serius oleh Menteri.

    Tambahan pula, banyak cadangan yang telah dikemukakan oleh pihak-pihak berkepentingan telah diabaikan sama sekali. Pelan muktamad langsung tidak menyebut rancangan untuk membina sekolah baru mengikut keperluan dan permintaan ibu bapa, terutamanya Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Kebangsaan Jenis Cina dan Tamil. Walaupun kami mengalu-alukan rancangan untuk merekrut guru-guru daripada kalangan 30% graduan terbaik, pelan muktamad tidak menggariskan sebarang rancangan untuk memastikan bahawa guru setiap ‘kohort’ menggambarkan kemajmukan masyarakat Malaysia yang sebenar. Walaupun pelan muktamad menggariskan strategi untuk mengagihkan lebih kuasa kepada jabatan-jabatan pendidikan di peringkat negeri dan daerah, ia tidak memberi apa-apa peranan kepada kerajaan negeri dan daerah yang juga merupakan pihak berkuasa yang berkepentingan. Walaupun niat untuk memberi penekanan yang lebih dan mengalihkan lebih banyak sumber kepada pendidikan vokasional dinyatakan dalam pelan muktamad, tatapi ia langsung tidak menyentuh usaha untuk menyelaraskan sekolah teknikal, vokasional dan kemahiran di antara kementerian-kementerian selain daripada Kementerian Pendidikan yang menawarkan program-program berkenaan (iaitu Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Belia dan Sukan).

    Sebenarnya, banyak pihak berkepentingan termasuk NGO telah meminta Kementerian supaya tidak tergesa-gesa untuk melaksanakan Pelan muktamad ini, tetapi memberi lebih banyak masa untuk membolehkan mereka mengkaji draf akhir. Malangnya, Menteri seolah-olah telah memekakkan telinga kepada permintaan ini dan akhirnya telah mengumumkan satu pelan muktamad yang tidak menarik, yang tidak mengendahkan kerisauan dan ketidakpuasan hati pihak-pihak berkepentingan dan yang tidak memberi keyakinan bahawa pembaharuan yang substantif dan reformis akan terjadi dalam sistem pendidikan Malaysia.

    Pakatan Rakyat Education Taskforce

Leave a reply.