• Menteri Pendidikan seharusnya segera menghentikan penjualan supplement makanan di sekolah-sekolah kebangsaan oleh Pengetua / Timbalan Pengetua dan juga menggantung semua Pengetua / Timbalan Pengetua yang terlibat dalam penjualan dan pemasaran produk ini dalam sekolah

    Kenyataan Media oleh Tony Pua, Nurul Izzah dan Dr. Ong Kian Ming di Kuala Lumpur pada 30hb Ogos, 2013

    Menteri Pendidikan seharusnya segera menghentikan penjualan supplement makanan di sekolah-sekolah kebangsaan oleh Pengetua / Timbalan Pengetua dan juga menggantung semua Pengetua / Timbalan Pengetua yang terlibat dalam penjualan dan pemasaran produk ini dalam sekolah

    Baru-baru ini, kami telah menerima aduan daripada ibubapa tentang dua buah sekolah di Selangor / Kuala Lumpur di mana anak-anak mereka dipaksa atau dipujuk oleh pengetua atau timbalan pengetua untuk membeli ‘tablet kunyah’ Dimensi 108 (chewing tablets). Sekolah-sekolah tersebut adalah Sekolah Kebangsaan Taman Segar di Cheras dan Sekolah Rendah Kebangsaan Bukit Kemuning 2, Jalan Anggerik Doritis di Kota Kemuning. Didapati juga melalui carian internet bahawa ADUN Dengkil, Shahrum bin Mohd Sharif telah membekalkan produk Dimensi 108 kepada semua pelajar UPSR di Sekolah Kebangsaan Kota Warisan di Sepang dengan izin pengetua sekolah tersebut.[1]

    Dimensi 108 sedang dipasarkan sebagai produk yang mempunyai ‘kuasa mengubah perangai’ dan kononnya telah membantu pelajar-pelajar Darjah 1 hingga 6, terutamanya di peringkat UPSR, untuk meningkatkan prestasi akademik mereka dalam masa sesingkat 20 hari sahaja.

    Kami tidak dapat menerima hakikat bahawa beberapa pengetua dan timbalan pengetua di sekolah-sekolah nasional telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk memasarkan produk tersebut kepada pelajar-pelajar di sekolah mereka. Dalam kes SK Taman Segar, seorang ibu telah memaklumkan kami bahawa menurut anaknya, pengetua telah berkata bahawa wajib untuk membeli tablet kunyah tersebut walaupun tidak wajib untuk memakannya. Dalam kes SRK Bukit Kemuning 2, Timbalan Pengetua yang bertindak sebagai Pengetua di sana telah memasarkan produk ini kepada pelajar-pelajar sungguhpun pembeliannya tidak diwajibkan. Perlu diingatkan bahawa semua Pengetua dan Timbalan Pengetua tidak sesama sekali dibenarkan menjual apa-apa produk dalam sekolah. Oleh  itu, kami ingin menggesa Menteri Pendidikan untuk segera menggantung semua Pengetua dan Timbalan Pengetua yang terlibat dan menjalankan siasatan yang sewajarnya.

    Malah, kami rasa amat terganggu dengan pemasaran Dimensi 108 yang seolah-olah disokong oleh Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (Malaysian Federation of the Council of Headmasters). Kedua-dua pengetua / timbalan pengetua yang disebut di atas telah menggunakan cerita ini sebagai dasar untuk menjual dan memasarkan produk ini kepada pelajar-pelajar mereka. Menurut surat-surat sokongan yang dikeluarkan oleh Majlis Guru Besar Daerah Mersing dan Kota Tinggi, peningkatan skor UPSR di kedua-dua daerah tersebut tidak mungkin berlaku tanpa adanya tablet Dimensi 108. Dalam kes SK Teluk Lipat di Endau, Mersing, % pelajar yang telah lulus UPSR telah meningkat daripada 20% dalam tahun 2010 kepada 60% dalam tahun 2011, dan akhirnya kepada 98% dalam tahun 2012, kononnya selepas menerima tablet Dimensi 108 pada tahun 2011!

    Kami menggesa Menteri Pendidikan untuk menjelaskan sama ada Kementerian telah bersetuju untuk mengedarkan tablet tersebut kepada sekolah-sekolah di daerah Mersing dan Kota Tinggi di Johor untuk ‘tempoh percubaan’. Kami juga menggesa beliau untuk memberi penerangan yang lanjut terhadap dakwaan bahawa tablet ini kononnya memainkan peranan kritikal dalam mempertingkatkan prestasi UPSR di sekolah-sekolah tersebut.

    Selain itu, kami juga telah menemui bukti yang mencadangkan bahawa salah satu daripada pemilik saham agensi yang diluluskan untuk mengedarkan Dimensi 108 mungkin bekerja dalam Kementerian Pendidikan. Agen tersebut bernama Ahmad bin Abdul Rahman dan beliau memegang saham dalam Glomind Enterprises. Menurut laman Facebook Glomind[2] dan laman blog Dimensi 108[3], Ahmad Ab Rahman sungguh aktif mempromosikan produk ini. Menurut laman Facebook Ahmad Ab Rahman sendiri pula, beliau sedang bekerja untuk Kementerian Pendidikan.[4] Kami ingin tegaskan di sini bahawa kami tidak bersikap prejudis terhadap golongan usahawan. Namun perkara ini melibatkan konflik kepentingan di mana seseorang kakitangan awam yang juga merupakan pemilik saham cuba mempromosikan produk syarikat beliau kepada Kementerian di mana dia bekerja, iaitu Kementerian Pendidikan. Oleh itu, kami menggesa Menteri Pendidikan untuk segera menyiasat sama ada hal pemasaran tablet Dimensi 108 ini telah menyebabkan konflik kepentingan ataupun pelanggaran syarat-syarat kontrak pekerjaan perkhidmatan awam berlaku.

    Tambahan pula, logo Kementerian Kesihatan jelas dipamerkan di pembalut Dimensi 108. Ini amat mengelirukan kerana orang ramai akan menyangka bahawa produk ini disokong sepenuhnya oleh Kementerian Kesihatan. Namun, menurut emel daripada Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) (National Pharmaceutical Control Bureau – NPCB), pengedar Dimensi 108 dilarang membuat sebarang tuntutan kesihatan untuk produknya.[5] Kami menggesa Menteri Kesihatan untuk menyiasat sama ada undang-undang kesihatan telah dilanggar berkaitan dengan strategi pemasaran Dimensi 108 kepada sekolah-sekolah dan juga dalam hal pembalut produk itu.

    Sekali lagi, kami tidak bersikap prejudis terhadap golongan usahawan yang berniat baik dan ingin membina perniagaan yang halal dalam industri pemakanan. Namun, kami berpendapat bahawa pemasaran produk melalui sekolah-sekolah kebangsaan dengan menggunakan pengetua / timbalan pengetua, Gabungan Majlis Guru Besar dan juga logo Kementerian Kesihatan  adalah tindakan yang bukan sahaja tidak dapat diterima, malah sungguh tidak beretika dan tidak sah di sisi undang-undang.

    Akhirnya, kami menggesa ibubapa daripada sekolah-sekolah di mana Dimensi 108 telah dipasarkan atau dijual kepada anak-anak mereka untuk tampil ke hadapan dan juga untuk memfailkan aduan dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

    Tony Pua, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara

    Nurul Izzah, Ahli Parlimen Lembah Pantai

    Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.