• EMGS perlu dibubarkan dengan segera kerana ia bukan sahaja menyekat persaingan, meningkatkan kos dan mengurangkan keberkesanan, malah menjadi disinsentif bagi pelajar asing yang ingin melanjutkan pelajaran di Malaysia

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Petaling Jaya, Selangor pada 20 Ogos 2013

    EMGS perlu dibubarkan dengan segera kerana ia bukan sahaja menyekat persaingan, meningkatkan kos dan mengurangkan keberkesanan, malah menjadi disinsentif bagi pelajar asing yang ingin melanjutkan pelajaran di Malaysia

    Salah satu daripada 6 inisiatif pembaharuan strategik di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) adalah untuk meningkatkan daya saing Malaysia dan meliberalisasikan pasaran. Ia juga merupakan tonggak Model Ekonomi Baru (MEB). Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak telah pun berkata bahawa “era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir”. Ketua Pegawai Eksekutif dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Idris Jala, juga telah berkata bahawa “Seperti kebajikan, persaingan bermula di rumah. Akta Persaingan 2010 yang dikuatkuasakan tahun ini untuk membendung perilaku anti-persaingan di Malaysia dan menggalakkan persaingan yang bebas dan adil. Ini adalah satu pencapaian yang penting dan penerapan kita ini, walaupun bercanggah dengan kepentingan sesetengah pihak, menunjukkan komitmen kami ke arah ekonomi berdaya saing.”[1]

    Malangnya, mesej ini seolah-olah tidak disampaikan ke semua kementerian dan agensi kerajaan.

    Education Malaysia Global Services (EMGS) telah ditubuhkan pada 13 April 2012, dan merupakan syarikat berhad dengan jaminan Menteri Pengajian Tinggi. Tujuan penubuhan EMGS adalah untuk menyediakan sebuah Pusat Sehenti untuk memasarkan dan mempromosikan pendidikan di Malaysia di kalangan pelajar-pelajar asing yang berminat untuk belajar di Malaysia. Namun, EMGS telah menyalahgunakan kedudukannya dengan mewajibkan pelajar asing untuk (i) memilih hanya panel klinik yang diluluskan oleh EMGS untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan wajib pada kos RM250; dan (ii) untuk membeli insurans perubatan dan kesihatan (IPK) mandatori hanya dari satu ejen insurans yang diluluskan oleh EMGS, iaitu AXA-Affin. Tindakan sedemikian oleh EMGS telah melanggar Akta Persaingan 2010 Seksyen 4 dan Seksyen 10. (Bermula dari 1 Feb 2013)

    Setakat ini, EMGS telah meluluskan 62 klinik di mana pelajar asing boleh menjalankan pemeriksaan kesihatan wajib.[2] Saya tidak faham mengapa EMGS perlu meluluskan sebuah senarai yang hanya menyenaraikan 62 daripada beribu-ribu klinik di Malaysia yang lain. Apa yang lebih membimbangkan adalah 50 klinik atau 86% daripada 62 klinik yang diluluskan dimiliki oleh Qualitas Medical Group.[3] Daripada 12 klinik yang bukan dimiliki oleh Qualitas Medical Group, 4 adalah klinik dalam kampus di Segi University, Universiti UCSI, Lim Kok Wing University, dan University Teknologi Petronas; 6 adalah di negeri di mana Qualitas tidak memiliki klinik (Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu), dan 1 di Melaka di mana Qualitas hanya memiliki satu klinik (juga klinik kelulusan EMGS).[4] Dengan kata lain, seandainya anda seorang daripada beribu-ribu pelajar asing yang belajar di kawasan Subang Jaya, anda hanya boleh menjalani pemeriksaan kesihatan wajib di satu-satunya klinik Qualitas yang diluluskan di Subang Jaya! (Sila merujuk kepada Lampiran 1 untuk senarai klinik kelulusan EMGS dan juga klinik-klinik milik Qualitas Medical Group).

    Pada tahun 2012, jumlah pelajar asing di Malaysia dianggarkan sebanyak 90,000 orang. Pada kadar RM250 untuk setiap pemeriksaan kesihatan tahunan, aliran pendapatan dari pemeriksaan kesihatan wajib sahaja berjumlah RM22.5m setiap tahun (dan makin meningkat dari tahun ke tahun). Sebahagian besar daripada pendapatan ini akan diraihkan oleh Qualitas Medical Group.

    Di samping itu, EMGS telah mewajibkan pelajar-pelajar asing untuk memperoleh IPK dari AXA-Affin dengan pakej yang berharga RM500 (pakej perak) hingga ke RM 850 (pakej platinum). Namun, dengan pelantikan AXA-Affin sebagai pembekal tunggal IPK untuk pelajar-pelajar asing, EMGS telah menyebabkan beratus-ratus ejen insurans swasta kehilangan mata pencarian mereka. Sekali lagi, dengan jumlah 90,000 orang pelajar asing (dan makin meningkat dari tahun ke tahun), pendapatan dari pembekalan IPK ini dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya RM42 juta setahun.[5]

    Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 menyatakan bahawa “Suatu perjanjian mendatar atau menegak antara perusahaan adalah dilarang setakat yang perjanjian itu mempunyai matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran bagi barangan atau perkhidmatan. ” Dengan mengehadkan jumlah klinik yang diluluskan untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan dan mewajibkan semua pelajar asing untuk memperolehi insurans perubatan dan kesihatan (IPK) dari AXA-Affin sahaja, EMGS telah melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010. Dalam hal pemeriksaan kesihatan, EMGS telah memeterai suatu perjanjian menegak de facto dengan Qualitas Medical Group di mana 86% daripada semua klinik yang diluluskan adalah dari kumpulan syarikat ini. Dalam hal IPK pula, EMGS telah memeterai perjanjian menegak rasmi dengan AXA-Affin Insurance.

    EMGS juga telah melanggar Seksyen 10(1) Akta Persaingan 2010 yang menyatakan bahawa ” Suatu perusahaan adalah dilarang untuk terlibat, sama ada secara sendirian atau kolektif, dalam apa-apa perlakuan yang berupa suatu penyalahgunaan kedudukan dominan dalam mana-mana pasaran bagi  barangan atau perkhidmatan.” Sememangnya, EMGS mempunyai kedudukan dominan dalam hal memproses visa untuk pelajar-pelajar asing dan telah menyalahgunakan kedudukan itu dengan mewajibkan semua pelajar asing untuk memperoleh IPK hanya dari satu syarikat, iaitu AXA-Affin.[6]

    Dengan penetapan harga pemeriksaan kesihatan pada RM 250, and harga pakej IPK asas pada RM 500, EMGS juga telah melanggar Seksyen 4(2) Akta Persaingan 2010. Sememangnya, klinik dan syarikat insurans yang lain yang boleh dan mahu menawarkan harga yang lebih rendah kini tidak dapat berbuat demikian akibat keputusan EMGS ini.

    Selain daripada menyekat persaingan dan melanggar Akta Persaingan 2010, EMGS juga jelas telah meningkatkan kos bagi pelajar-pelajar asing mahupun institut-institut pengajian tinggi tempatan tanpa meningkatkan keberkesanan pemprosesan visa pelajar asing. Setiap pelajar perlu menjelaskan yuran pemprosesan visa pelajar asing sebanyak RM 1000 dan yuran pembaharuan tahunan sebanyak RM140 kepada EMGS. Sekiranya seseorang pelajar ingin menukar kursus pengajian, biarpun di universiti yang sama, yuran pemprosesan sebanyak RM 1000 akan dikenakan lagi. Sebelum ini, penukaran kursus pengajian hanya perlu dimaklumkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tanpa sebarang kos tambahan.

    Di samping itu, janji EMGS untuk mengurangkan  tempoh pemprosesan visa pelajar dari 6-8 minggu ke 14 hari belum lagi ditunaikan. Bagi kebanyakan IPTS, EMGS hanya telah menambah beban dalam proses permohonan visa tanpa sebarang peningkatan dalam keberkesanan. Ini tidak menghairankan memandangkan permohonan visa masih perlu diajukan kepada Jabatan Imigresen setelah diproses oleh EMGS. IPTS juga terpaksa menggaji kakitangan tambahan hanya untuk menangani prosedur permohonan visa yang baru ini.

    Akibat daripada peningkatan kos and kelewatan pemprosesan visa, Malaysia telah menjadi semakin kurang menarik sebagai destinasi untuk melanjutkan pelajaran bagi semakin ramai pelajar asing.[7] Ini adalah ironis kerana EMGS sepatutnya menarik lebih ramai pelajar untuk belajar di Malaysia.

    Berikutan semua masalah yang wujud akibat daripada syarat-syarat yang dikenakan melalui EMGS, maka tidak hairanlah bahawa Persatuan Kolej dan Universiti Swasta (MAPCU) dan 53 ahli-ahlinya telah memfailkan semakan kehakiman terhadap Ketua Pendaftar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta dan Menteri Pengajian Tinggi. Semakan Kehakiman ini akan dibicarakan pada hari Khamis , 22 Ogos 2013.

    Yang paling mengecewakan, Suruhanjaya Persaingan langsung tidak bertindak balas terhadap aduan-aduan yang dibuat oleh ejen-ejen insurans swasta terhadap EMGS, walapun ramai ejen yang telah kehilangan mata pencarian mereka akibat keputusan EMGS untuk menganugerahkan kontrak IPK kepada AXA-Affin. Memandangkan EMGS telah melanggar seksyen demi seksyen Akta Persaingan 2010, Suruhanjaya Persaingan sewajarnya membubarkan EMGS yang tidak syak lagi telah menyekat persaingan. Sekiranya tindakan ini tidak diambil, jelaslah bahawa kerajaan and agensi-agensi BN seperti PEMANDU bukan sahaja beromong kosong tentang persaingan dan liberalisasi malah juga telah gagal melaksanakan dasar-dasar yang benar-benar berkesan untuk meningkatkan persaingan. 

    Lampiran 1: Senarai Klinik yang Diluluskan oleh EMGS untuk Pemeriksaan Kesihatan Wajib

    No Negeri / Kawasan Nama Klinik Qualitas?
    1 KL Kumpulan Medic, Menara Boustead Ya
    2 KL Klinik Ng Dan Lee, Jalan Pudu Ya
    3 KL Klinik Catteral, Khoo and Raja Malek, Plaza Central Ya
    4 KL Poliklinik Central & Surgeri, Gombak Ya
    5 KL Klinik Ng Dan Lee, Jalan Ampang Ya
    6 KL Klinik Ludher, Jalan Kelang Lama Ya
    7 KL Kumpulan Medic, Jalan Ampang Ya
    8 KL Klinik Sentosa, Ampang Ya
    9 KL Kumpulan Medic, Ampang Point Ya
    10 KL Kumpulan Medic, Bagunan KWSP Ya
    11 KL Poliklinik Kumpulan City Sri Petaling Ya
    12 KL Klinik Catterall, Khoo and Raja Malek, Bagunan Ming Ya
    13 PJ Klinik Prime Care, Wisma MCIS Ya
    14 PJ Klinik Catterall, Khoo and Raja Malek, Jalan Othman Ya
    15 PJ Kumpulan Medic, PJ Ya
    16 Subang Jaya Klinik Dr Nur Anita, Subang Jaya Ya
    17 Kajang, Cheras, Bangi Klinik Salak, UNITEN Ya
    18 Kajang, Cheras, Bangi Klinik Rakan Medik, Bangi Ya
    19 Kajang, Cheras, Bangi Klinik Ng & Lee, Taman Maluri Ya
    20 Shah Alam Klinik Anis, Shah Alam Ya
    21 Shah Alam Kumpulan Medic, Shah Alam Ya
    22 Shah Alam Klinik Ng & Lee, Shah Alam Ya
    23 Pulau Pinang Klinik Syed Alwi dan Chandran, Butterworth Ya
    24 Pulau Pinang Klinik Ima, Beach Street Ya
    25 Pulau Pinang Klinik Aman, Datuk Keramat Ya
    26 Pulau Pinang Klini Ima, Bayan Baru Ya
    27 Pulau Pinang Klinik Ima, Butterworth Ya
    28 Pulau Pinang Klinik Health Plus, Glugor Ya
    29 Pulau Pinang Klinik Aman, Gelugor Ya
    30 Pulau Pinang Klinik Aman, Bayan Baru Ya
    31 Melaka Klinik Cheng, Taman Cheng Baru Tidak
    32 Melaka Klinik Panicker Ya
    33 Kedah Poliklinik Pakar Puteri, Alor Setar Tidak
    34 Kedah Klinik Joe, Sungai Petani Tidak
    35 Negeri Sembilan Klinik Salak, Nilai Ya
    36 Negeri Sembilan Klinik Ravi & Surgeri, Nilai Ya
    37 Negeri Sembilan Klinik Rasah dan Surgeri Seremban Ya
    38 Negeri Sembilan Klinik Port Dickson Ya
    39 Terengganu Klinik Sulaiman, Kuala Terengganu Tidak
    40 Terengganu Poliklinik Ibnu Sina, Kemamam Tidak
    41 Kelantan Klink Mesra, Kota Baru Tidak
    42 Perak Klinik Thomas, Silibin Ya
    43 Perak Klinik Rama, Kampar Ya
    44 Perak Poliklinik Simpang Pulai Ya
    45 Perak Kelinik Che Wan, Ipoh Tidak
    46 Johor Klinik Johor Permas Jaya Ya
    47 Johor Klinik Johor, Pasir Gudang Ya
    48 Johor Poliklinik Puteri dan Surgeri Skudai Ya
    49 Johor Poliklinik Puteri dan Sugeri Ulu Tiram Ya
    50 Johor Poliklinik Puteri dan Surgeri Pekan Nenas Ya
    51 Johor Klinik Malaysia Masai Ya
    52 Johor Klinik Asia Masai Ya
    53 Johor Klinik Daiman, Johor Bahru Ya
    54 Johor Klink Dhas, Senai Ya
    55 Pahang Ananda Klink, Kuantan Ya
    56 Perlis Klinik Menon, Kangar Tidak
    1 In House Kumpulan Medic, Nottingham University Ya
    2 In House Klinik Medical Segi Tidak
    3 In House Laurent Bleu Skin Science, UCSI Tidak
    4 In House Wellness Center, Poliklinik Gomez, Lim Kok Wing Tidak
    5 In House Kelinik Che Wan, UTP Tidak
    6 In House Kumpulan Medic, Taylor’s University Ya

     

Leave a reply.