• 49,159 pemegang kad pengenalan ‘bermasalah’ didaftarkan dalam senarai pengundi Sabah yang digunakan ketika PRU ke-13

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kota Kinabalu pada 23hb Julai 2013

    Antara tujuan RCI Sabah diadakan adalah untuk mengkaji kesan pekerja asing, pendatang tidak sah dan pelarian terhadap senarai pengundi.

    Pada 16hb Januari 2013, Encik Ruslan bin Alias, timbalan ketua di bahagian Kad Pengenalan Sabah dan Sarawak dalam Jabatan Pendaftaran Negara (“JPN”) telah mendedahkan satu senarai yang mengandungi 130,549 nombor kad pengenalan ‘bermasalah’ di mana rekod mereka dengan JPN tidak lengkap ataupun kad mereka telah dibatalkan. Semua nombor kad pengenalan lama tersebut dibahagikan antara senarai P1 (51,300 nombor kad pengenalan lama), P2 (62,550 nombor kad pengenalan lama) dan P3 (16,699 nombor kad pengenalan lama). Kad-kad pengenalan lama dalam senarai P1 dan P2 telah pun dikenalpasti sebagai kad pengenalan yang mempunyai butir-butir yang tidak lengkap dalam rekod JPN manakala kad pengenalan lama dalam senarai P3 telah dibatalkan pada tahun 1996.

    Mengikut Encik Ruslan bin Alias (yang mengetuai unit yang bertanggungjawab untuk menyiasat kes kad-kad pengenalan yang bermasalah dalam senarai P1 dan P2), hanya 8,553 (7.5%) daripada jumlah 113,850 kad pengenalan dalam senarai-senarai tersebut telah pun disiasat. Maksudnya, sejumlah 105,297 (92.5%) daripada 113,850 kad pengenalan masih belum disiasat lagi.

    Berdasarkan senarai P1 dan P2, saya telah berjaya mengenalpasti 49,159 pengundi yang tersenarai dalam senarai pengundi yang telah digunakan dalam PRU ke-13. 23,179 pengundi tersebut memegang kad pengenalan lama yang tersenarai dalam senarai P1 dan 25,980 pengundi lain memegang kad pengenalan lama yang tersenarai dalam senarai P2. (Lihat Jadual 1 di bawah)

    Jadual 1 di atas menunjukkan bahawa 4.9% daripada jumlah pengundi Sabah dalam senarai pengundi PRU ke-13 memegang nombor kad pengenalan lama P1 dan P2. Didapati juga bahawa 8 daripada 10 kerusi parlimen dengan jumah pengundi P1 dan P2 yang tertinggi terletak di pantai timur Sabah.

    Selain itu, rekod senarai pengundi juga menunjukkan bahawa majoriti pengundi – sebanyak 53.9% – telah didaftarkan antara tahun 1990 dan 2000, iaitu semasa kegiatan Projek IC atau Projek M. (Lihat Jadual 2 di bawah)

    Namun, adalah penting juga untuk kita mengingati bahawa lebih daripada 25% pengundi P1 dan P2 – iaitu 25.7% – telah didaftarkan selepas 2000, termasuk 12.9% yang didaftarkan selepas 2010. Maksudnya, pendaftaran pengundi yang memegang kad pengenalan yang ‘bermasalah’ masih berterusan sehingga kini.

    Akhir sekali, masalah ini boleh dikatakan akan ‘melimpahi’ negeri-negeri lain di Malaysia. Saya telah pun menemui 6030 pengundi P1 dan P2 yang telah didaftarkan di negeri-negeri lain (lihat Jadual 3 di bawah).

    Saya menggesa kerajaan Barisan Nasional untuk memandang serius pendedahan RCI Sabah yang jelas telah membuktikan bahawa senarai pengundi terkini mengandungi ramai pengundi yang memegang kad pengenalan ‘bermasalah’. Saya juga menggesa kerajaan Barisan Nasional untuk membersihkan senarai pengundi dengan memulakan penyiasatan yang menyeluruh terhadap ketulenan kad-kad pengenalan yang disebut tadi. Jika tiada langkah diambil selepas RCI Sabah ini ditamatkan, maka jelas bahawa RCI Sabah merupakan hanya salah satu daripada RCI yang berkali-kali dipanggil oleh BN tetapi langsung tidak bermakna. Malah, pengundi dan penduduk Sabah yang asli akan terus dipinggirkan tanpa henti.

    Terakhir sekali, saya ingin menegaskan bahawa proses persempadanan semula (yang sepatutnya bermula pada akhir tahun ini) tidak seharusnya dijalankan di Sabah dengan menggunakan senarai pengundi yang mengandungi begitu ramai pengundi yang memegang kad pengenalan yang bermasalah.

    Dr Ong Kian Ming
    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.