• Ucapan Parlimen 19 Julai 2013 – Perbahasan Parlimen Penggal Pertama (24 Jun hingga 18 Julai 2013)

    Perbahasan Parlimen Penggal Pertama 4hb June ke 18hb Julai, 2013

    Ucapan Parlimen Dr. Ong Kian Ming (19 Julai 2013)

    Kerajaan Barisan Nasional sekarang menghadapi krisis keyakinan yang ketara dalam pelbagai aspek. Majoriti rakyat Malaysia sudahpun hilang keyakinan terhadap kerajaan ini. Pada hari ini, saya ingin mengambil peluang untuk menghuraikan dengan selanjutnya krisis keyakinan ini berkaitan dengan tiga isu iaitu senarai pengundi, kabinet dan sistem pendidikan di negara kita.

    Krisis yang pertama merupakan krisis keyakinan terhadap senarai pengundi.

    Sebagai pengarah ‘Projek Analisa Senarai Pengundi Malaysia’ ataupun MERAP (‘Malaysian Electoral Roll Analysis Project’), saya telah mendapati bahawa sebuah agensi kerajaan yang bernama JASA ataupun Jabatan Hal Ehwal Khas, yang merupakan sebahagian daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, telah diberi tanggungjawab untuk mendaftar pengundi. Namun, selepas diselidik, saya mendapati bahawa JASA telah mendaftarkan ramai pengundi yang mencurigakan. Ini termasuk pengundi yang memegang kad pengenalan ‘kod-71’ tetapi tiada alamat rumah ataupun nama jalan walaupun mereka telah didaftarkan di kawasan bandar seperti Serdang, Gombak, Kelana dan Johor Bahru. Jika kerajaan benar-benar ikhlas mahu mengurangkan bilangan pengundi yang layak mengundi tetapi belum lagi berdaftar – yang kini berjumlah lebih daripada 3 juta – mengapa kerajaan tidak mewajibkan semua jabatan kerajaan mengambil bahagian dalam kempen pendaftaran pengundi di seluruh negara untuk seluruh tahun?

    Apakah sebab-sebab kerajaan hanya membenarkan agensi tertentu sahaja seperti JASA untuk terlibat dalam aktiviti ini? Untuk makluman dewan yang mulia ini, JASA diketuai oleh bekas ADUN UMNO yang bertindak lebih seperti seorang ketua propaganda UMNO daripada penjawat awam.

    Semasa RCI di Sabah yang masih berterusan sehingga kini, Encik Ruslan bin Alias, seorang timbalan ketua di bahagian IC Sabah dan Sarawak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telah mendedahkan pada 16 Januari 213 satu senarai yang menyenaraikan nombor kad pengenalan lama yang ‘bermasalah’ di mana rekod seseorang di JPN tidak lengkap ataupun kad tersebut telah dibatalkan. Nombor IC lama yang bermasalah ini telah disenaraikan dalam senarai P1, P2 dan P3 masing-masing. Akan tetapi, menurut Encik Ruslan bin Alias​​ (sebagai ketua unit yang bertanggungjawab menyiasat IC yang bermasalah ini), hanya 7.5% daripada nombor-nombor IC dalam senarai-senarai ini telah disiasat setakat ini.

    Selepas menyelidik senarai pengundi suku ke-4 tahun 2012, saya telah mendapati bahawa terdapat 46,893 pengundi berdaftar di Sabah yang memegang IC lama yang juga tersenarai dalam senarai P1 dan P2. Di samping itu, saya juga telah mendapati bahawa terdapat 6,817 pengundi dengan IC lama P1 dan P2 yang telah didaftarkan di Semenanjung Malaysia. Ini bermakna bahawa terdapat sejumlah 53,710 pengundi dengan IC yang mencurigakan yang masih tersenarai sebagai pengundi berdaftar pada PRU ke-13.

    Dapatkah kita yakin terhadap integriti senarai pengundi apabila terdapat begitu ramai pengundi berdaftar yang memegang IC yang telah dikenalpasti sebagai IC yang mencurigakan oleh saksi dalam RCI Sabah?

    Kedua, saya ingin berucap tentang krisis keyakinan terhadap kabinet.

    Saya tidak akan menyentuh isu individu-individu tertentu yang telah diumumkan sebagai Menteri sebelum mereka mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara. Sebaliknya, saya mahu menyerlahkan hakikat bahawa kabinet Malaysia mempunyai dua menteri yang masing-masing memegang bukan sahaja satu, tetapi dua ijazah seorang yang diperolehi daripada kilang ijazah. Jika dirujuk, didapati bahawa laman web Kementerian Luar Negeri menyatakan bahawa YB Serian telah “memperolehi ljazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Preston University, Amerika Syarikat.” Namun, didapati bahawa bukan sahaja Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta tiada sebarang laman web yang rasmi, malah Preston Universiti memang terkenal sebagai kilang ijazah. Selepas saya telah mengadakan sidang akhbar untuk membongkarkan cerita sebenar tentang kelayakan dua Menteri ini, YB Serian telah mendakwa bahawa beliau sebenarnya telah memperolehi ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana beliau daripada University of Hertfortshire. Namun, mengapakah Kementerian Luar Negeri (di mana YB Serian telah bertugas sebagai Timbalan Menteri selama beberapa tahun) memberikan maklumat yang berbeza tentang latar belakang pendidikan beliau? Siapakah sebenarnya yang berbohong – Kementerian ataupun Menteri sendiri?

    Menteri kedua adalah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi iaitu YB Ranau. Menurut laman web MOSTI pada asalnya, beliau telah memperolehi Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming. Namun, selepas saya mendedahkan kelayakan beliau, maklumat ini tidak lagi tersenarai di laman web tersebut. Walaupun ia tidak dinyatakan di laman web MOSTI, saya telah dimaklumkan bahawa Menteri memperolehi MBA daripada Commonwealth Open University yang berpusat di Kepulauan Virgin British. Kedua-dua ‘institut’ ini telahpun disenaraikan sebagai sekolah yang tidak bertaraf dan ijazah yang tidak sah (‘unauthorized schools and invalid degrees’) oleh kerajaan-kerajaan negeri Oregon dan Maine di Amerika Syarikat.

    Dapatkah kita yakin terhadap integriti kabinet apabila dua orang Menteri kita yang masing-masing memegang dua ijazah yang diperolehi daripada kilang ijazah?

    Krisis yang ketiga merupakan krisis keyakinan terhadap sistem pendidikan.

    Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 yang telah dilancarkan pada September 2012  bermatlamat untuk mentransformasikan sistem pendidikan kebangsaan negara kita.  Malang sekali, ahli-ahli Panel Penilai Bebas Malaysia yang dipengerusi oleh bekas Naib Canselor USM iaitu Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, telah menyuarakan ketidakyakinan mereka terhadap PPP. Dalam memo kepada Menteri Pendidikan, Panel telah menyuarakan pandangan bahawa “PPP adalah sebuah dokumen yang cantik dan boleh dijadikan panduan dalaman bagi pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan” tetapi “jangkaan dan harapan tinggi orang ramai terhadap perubahan dan pembaharuan yang dijanjikan tidak nampak dengan jelas. Dokumen ini adalah ‘incremental change’ yang memang sudah biasa dan selalu dilakukan oleh KPM.” Dengan ini, jelas bahawa pelan ini bukan bersifat transformasi.

    Malah, ahli-ahli Panel Penilai Bebas juga berpendapat bahawa hanya 5 daripada 11 anjakan dalam PPP adalah perlu dan sesuai untuk diberi keutamaan sebagai paksi utama. Pada pandangan mereka, anjakan-anjakan yang selebihnya hanyalah sebahagian daripada ‘perbaikan’ proses yang sudah dihuraikan dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010. Yang penting, mereka juga berpendapat bahawa ‘dokumen PPP itu kurang memberi impak dalam membawa satu perubahan atau anjakan besar yang diharap-harapkan’.

    Jika panel bebas ini – yang terdiri daripada individu-individu dan pakar-pakar yang terkenal – tidak yakin terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan, memang tiada sebab untuk orang umum turut yakin  terhadap keupayaan Blueprint ini untuk mentransformasikan sistem pendidikan kita.

    Krisis keyakinan ini hanya boleh diperbetulkan apabila kerajaan Barisan Nasional digantikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat dan ini akan berlaku, Insya-Allah, dalam Pilihan Raya Umum ke-14.

Leave a reply.