• Malaysia antara negara di dunia yang mempunyai kadar kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya (‘malapportionment’) yang amat tinggi

    Kenyataan Media Dr Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang di Kuala Lumpur pada 19 Julai 2013.

    Malaysia antara negara di dunia yang mempunyai kadar kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya (‘malapportionment’) yang amat tinggi

    Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Razak dulu berkata bahawa beliau berhasrat untuk mewujudkan di Malaysia sistem demokrasi yang terbaik seiring dengan Program Transformasi Politik beliau. Namun seandainya beliau benar-benar pandang serius perkara ini, beliau seharusnya komited terhadap prinsip “satu-orang-satu-undi” (“one-man-one-vote”) dan memastikan bahawa Malaysia tidak terus kekal sebagai antara negara di dunia yang mempunyai kadar kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya (‘malapportionment’) yang amat tinggi.

    Istilah ‘kegagalan pengagihan’, ‘ketidakseimbangan pembahagian’ dan lain-lain sebenarnya merujuk kepada istilah ‘malapportionment’ (dalam Bahasa Inggeris) yang mencerminkan situasi di mana bilangan pengundi dalam setiap kawasan pilihan raya sesebuah negara ditetapkan secara tidak sama rata.  Pakar-pakar sains politik telah pun merumuskan satu formula matematik untuk mengkaji sejauh mana pembahagian kawasan pilihan raya di sesebuah negara itu tidak seimbang.[1] Menurut formula yang dihasilkan, hasil kiraan jika bernilai sifar (‘0’) bermaksud bahawa pembahagian kawasan pilihan raya di sesebuah negara adalah penuh seimbang.

    Jadual 1 menunjukkan tahap kegagalan pengagihan kawasan pilihan raya di 25 buah negara yang menggunakan sistem pilihan raya “First Past the Post”. Kedudukan Malaysia adalah di tangga ke-21 daripada 25 buah negara, dengan kadar ketidakseimbangan yang bernilai 0.173.

    Jadual 1: Penilaian Kegagalan Pengagihan Kawasan Pilihan Raya di 25 Buah Negara Yang Menggunakan Sistem Pilihan Raya “First Past the Post”

    Didapati bahawa negara-negara demokrasi yang maju seperti Amerika Syarikat (0.014), Australia (0.03), United Kingdom (0.041) dan Kanada (0.083) mempunyai kadar kegagalan pengagihan yang amat rendah berbanding dengan Malaysia. Malah, Malaysia mempunyai kadar kegagalan pengagihan yang lebih tinggi daripada Bangladesh (0.083), Pakistan (0.085) dan India (0.129).

    Sebenarnya, sebab utama Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada mempunyai kadar ketidakseimbangan kawasan pilihan raya yang lebih rendah berbanding dengan Malaysia adalah disebabkan kewujudan undang-undang di negara-negara tersebut yang mengehadkan kadar penyimpangan yang dibenarkan untuk setiap kawasan parlimen.

    Di United Kingdom, Akta Sistem Pilihanraya Parlimen dan Kawasan Pilihanraya 2011 (‘Parliamentary Voting System and Constituencies Act 2011’) telah menetapkan kadar penyimpangan sebanyak 5% lebih atau kurang daripada kuota nasional.[2]

    Di Australia, Akta Pilihanraya Komanwel 1918 (‘Commonwealth Electoral Act 1918’) telah menetapkan kadar penyimpangan sebanyak 3.5% lebih atau kurang daripada kuota negeri.[3]

    Di Kanada pula, Akta Persempadanan Semula Seksyen 15(2) (‘Electoral Boundaries Readjustment Act, Section 15(2)’) telah menetapkan kadar penyimpangan sebanyak 25% lebih atau kurang daripada kuota wilayah.[4]

    Di Amerika Syarikat, beberapa keputusan Mahkamah Agung mewajibkan setiap daerah kongres mempunyai bilangan penduduk yang hampir sama demi mengekalkan prinsip satu-orang-satu-undi.[5]

    Andai kata Perdana Menteri Dato Seri Najib ikhlas berhasrat mewujudkan sistem demokrasi di Malaysia yang paling baik di dunia, beliau harus bermula dengan mengikuti contoh negara-negara demokrasi maju dan menghormati prinsip satu-orang-satu-undi. Beliau boleh merujuk kepada cadangan Suruhanjaya Reid yang menetapkan kadar penyimpangan setiap kuota negeri sebanyak 15% daripada kuota nasional.

    Malah, bagi membetulkan masalah kegagalan pengagihan kawasan pilihanraya di Malaysia, Perdana Menteri Dato Seri Najib, harus menubuhkan Jawatankuasa Parlimen khususnya untuk meneliti proses persempadanan semula yang akan bermula pada akhir tahun ini sepertimana yang telah dilaporkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Demi memastikan bahawa Jawatankuasa Parlimen ini akan mematuhi prinsip satu-orang-satu-undi, Perdana Menteri Dato Seri Najib juga harus melantik Ahli Parlimen daripada parti pembangkang sebagai Pengerusi Jawatankuasa tersebut.

    Seandainya beliau gagal memastikan proses persempadanan semula kawasan parlimen dijalankan dengan adil dan saksama, ia akan membuktikan bahawa janji beliau untuk mentransformasikan politik Malaysia dan menjadikan Malaysia demokrasi terbaik hanyalah kata-kata kosong tanpa sebarang tindakan kukuh. Hakikatnya, hampir semua cadangan Jawatankuasa Parlimen tentang Reformasi Pilihan Raya masih belum dilaksanakan lagi, dan ini menunjukkan kurangnya komitmen Perdana Menteri Dato Seri Najib untuk mereformasikan sistem pilihan raya di negara ini.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

    Nota: Kuota nasional dikira dengan membahagikan jumlah bilangan pengundi berdaftar di peringkat nasional dengan jumlah kerusi – dalam kata lain, bilangan purata pengundi bagi setiap kerusi. Kuota negeri pula adalah bilangan purata pengundi bagi setiap kerusi dalam sebuah negeri.

    Nota: Kadar ketidakseimbangan pembahagian kawasan pilihan raya (‘Malapportionment Measure’) menunjukkan % daripada pengundi yang perlu dipindahkan bagi mencapai kadar ketidakseimbangan yang bernilai sifar. Sebagai contoh, kadar Malaysia iaitu sebanyak 0.173 bermaksud bahawa 17.3% daripada bilangan pengundi perlu dipindahkan untuk memastikan bahawa semua kerusi parlimen mempunyai jumlah pengundi yang sama.


    [1] http://www.polisci.umn.edu/~dsamuels/BJPS2001.pdf David Samuels and Richard Snyder, ‘The Value of a Vote: Malapportionment in Comparative Perspective’, British Journal of Political Science 31, 2011, pp.651-671, Cambridge University Press, United Kingdom

    [3] http://www.comlaw.gov.au/Details/C2013C00165/Html/Text#_Toc355768167

Leave a reply.