• Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa beliau telah mengambil kira kritikan serius oleh Panel Penilai Bebas terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, MP Serdang, di Parlimen, 4hb Julai 2013

    Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, perlu memberi jaminan kepada orang ramai bahawa beliau telah mengambil kira kritikan serius oleh Panel Penilai Bebas terhadap Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025

    Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2025 telah dilancarkan pada 11hb September 2012. Sebelum itu, Panel Penilai Bebas (PPB) telah ditubuhkan sebagai salah satu daripada panel ‘peringkat tinggi’ (‘high-level’) yang bertujuan memberi pendapat (‘feedback’) kepada Menteri Pendidikan. Panel Penilai Bebas (PPB) ini terdiri daripada ramai tokoh yang terkenal (lihat Lampiran 1) dan dipengerusikan oleh Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, iaitu bekas Naib Canselor USM dan kini merupakan Naib Canselor Albukhary International University.

    Tidak lama selepas draf PPP telah diterbitkan, didapati bahawa Panel Penilai Bebas (PPB) telah menghantar satu memo kepada Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyenaraikan beberapa kritikan yang amat serius terhadap draf PPP tersebut. Kritikan yang tersenarai termasuk:

    (1)    ‘Bahawa cadangan-cadangan yang disenaraikan sebagai ‘Shift’ ataupun ‘Anjakan’ bukanlah perubahan yang mewajarkan penggunaan istilah ‘shift’ atau ‘anjakan’ tetapi sebenarnya adalah usaha-usaha pemurnian, pangayaan dan penambahbaikan (refinement, enhancement, improvement and enrichment) kepada apa yang telah dan sedang dilakukan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) seperti yang terdapat dalam dokumen Pelan Induk Pembagunan Pendidikan 2006-2010.’ Hanya lima daripada sebelas perkara yang disenaraikan itu perlu dan wajar dijadikan paksi utama untuk penambahbaikan sistem pendidikan kebangsaan di Malaysia. (lihat Lampiran 2)

    (2)    ‘Dokumen PPP itu kurang memberi impak dalam membawa satu perubahan atau anjakan besar yang diharap-harapkan’

    (3)    ‘PPP adalah sebuah dokumen yang cantik dan boleh dijadikan panduan dalaman bagi pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan. Sebagai dokumen untuk orang awam PPP kurang berjaya menimbulkan kejutan professional yang diharap-harapkan. Jangkaan dan harapan tinggi orang ramai terhadap perubahan dan pembaharuan yang dijanjikan tidak nampak dengan jelas. Dokumen ini adalah incremental change yang memang sudah biasa dan selalu dilakukan oleh KPM.’

    Dengan itu, ayat-ayat dan istilah-istilah yang terkandung dalam memo PPB memang menunjukkan ketidakyakinan PPB terhadap PPP. Jelaslah bahawa PPB bukan dianggap sebagai satu dokumen yang ‘ground-breaking’ (inovatif) tetapi hanya ‘run-of-the-mill’ (biasa dan mudah dilupakan).

    Namun, pada 27hb Jun 2013 Menteri Pendidikan telah menjawab di Parliamen bahawa PPP akan dimuktamadkan pada bulan Julai 2013 ini.

    Di sini saya ingin menyeru Menteri Pendidikan untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa beliau telahpun mengambil kira pandangan yang disuarakan oleh Panel Penilai Bebas yang meragui kredibiliti PPP sebagai pelan pendidikan yang benar-benar bersifat transformasi. Yang saya bimbang adalah versi muktamad PPP akan hanya memperkenalkan perubahan yang bersifat luaran sahaja (‘superficial’) kepada draf PPP yang asal. Jika didapati berlaku, ini akan mengesahkan pandangan PPB terhadap draf PPP bahawa ini adalah satu dokumen yang ‘baik’ digunakan sebagai rujukan pegawai-pegawai KPM sahaja tetapi akan gagal mentransformasikan sistem pendidikan di negara kita.

    Lampiran 1: Ahli-Ahli Panel Penilai Bebas (PPB) Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP)

    1. Profesor Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak, Naib Canselor Albukhary International University dan juga Pengerusi Panel
    2. Tan Sri Anthony Francis Fernandes, Pengasas dan CEO Air Asia Berhad
    3. Tan Sri Dato’ Azman  Hj Moktar, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad
    4. Tan Sri’ Dato Seri Dr. Jeffrey Cheah , Pengasas dan Pengerusi Sunway Group
    5. Profesor Tan Sri Dato’ Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia
    6. Tan Sri Zarinah Anwar, Bekas Pengerusi Securities Commission
    7. Prof. Dato Dr Ab Rahim Selamat, Tokoh Guru, Bekas Dekan Fakulti Pendidikan, University Selangor, Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki
    8. Prof. Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan, ‘Distinguished Professor’ di International Islamic University
    9. Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah, Pengarah Biro Perkhidmatan Pendidikan, Sarawak Islamic Council
    10. Prof. Dato’ Dr Chuah Hean Teik, Presiden Universiti Tunku Abdul Rahman
    11. Prof. Dr. Rajendran A/L Nagappan, Profesor di Universiti Pendididkan Sultan Idris, Penyelaras Pelan Tindakan untuk Masa Depan Sekolah-Sekolah Tamil
    12. Dr. Hj Abdul Kadir Hj. Rosline, Rektor Universiti Teknologi Mara, Sabah

    Lampiran 2: 5 daripada 11 Anjakan yang dianggap PPB wajar dijadikan paksi utama

    Anjakan 1: Memastikan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa
    Anjakan 2: Memastikan Setiap Murid Profisen Dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
    Anjakan 3: Melahirkan Rakyat Malaysia Dengan Penghayatan Nilai*
    Anjakan 4: Transformasi Keguruan Sebagai Profesion Pilihan*
    Anjakan 5: Memastikan Kepimpinan Berprestasi Tinggi Ditempatkan Setiap Sekolah*
    Anjakan 6: Mengupaya JPN, PPD dan Sekolah untuk Menyediakan Penyelesaian Khusus Berasaskan Keperluan*
    Anjakan 7: Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan Kualiti Pembelajaran di Malaysia
    Anjakan 8: Mentransformasi Kebolehupayaan dan Kapasiti Penyampaian Kementerian
    Anjakan 9: Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta Secara Meluas*
    Anjakan 10: Memaksimumkan Keberhasilan Murid bagi Setiap Ringgit
    Anjakan 11: Meningkatkan Ketelusan untuk Akauntabiliti Awam Secara Langsung

    (*) Yang dianggap oleh PPB sebagai ‘perlu dan wajar dijadikan paksi utama’

Leave a reply.