• Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan sebab-sebab beliau telah meluluskan program berkos RM27 juta untuk melatih 1,000 guru dalam bidang Pendidikan Jasmani (PE) dengan kos sebanyak RM27, 000 untuk setiap ‘diploma’ yang sebenarnya merupakan program tahap bersijil selama 6 bulan sahaja

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Parlimen pada 27 June 2013

    Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menjelaskan sebab-sebab beliau telah meluluskan program berkos RM27 juta untuk melatih 1,000 guru dalam bidang Pendidikan Jasmani (PE) dengan kos sebanyak RM27, 000 untuk setiap ‘diploma’ yang sebenarnya merupakan program tahap bersijil selama 6 bulan sahaja

    Semalam (26 Jun 2013) saya telah menerima jawapan bertulis daripada Menteri Pendidikan mengenai jumlah kos Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan (DAPJKS) yang sedang dikelolakan oleh Akademi Sukan Amerika Syarikat (USSA). Akan tetapi, jawapan yang telah saya terima (Lampiran 1) mengandungi butir-butir yang amat mencurigakan maka saya ingin memohon penjelasan yang lebih lanjut daripda Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Yang pertama sekali, Menteri perlu menjelaskan sama ada terdapat apa-apa ‘conflict of interest’ dalam pemberian kontrak ini kepada KH Sukan World Sdn Bhd yang juga merupakan ejen bagi Akademi Sukan Amerika Syarikat yang dilantik melalui rundingan terus (Lampiran 2). KH Sports World Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang menjual peralatan sukan dan pengerusinya iaitu Hisham Suhaili Othman [1], yang juga merupakan Timbalan Ketua Puteri UMNO di Kedah dan Ketua Puteri UMNO Bahagian di Langkawi.

    Kedua, Menteri perlu menjelaskan sama ada keputusan untuk memperbaharui kontrak program ini untuk tahun kedua (iatiu 2013) mempunyai apa-apa kaitan dengan penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat oleh Amerika Syarikat Akademi Sukan (USSA) kepada beliau sendiri pada Januari 2013.[2]

    Yang ketiga, Menteri perlu menjelaskan keputusan untuk melantik sebuah kolej Amerika Syarikat yang hampir secara eksklusifnya berasaskan kaedah pengajaran ‘distance and online learning’. Pastinya institusi sebegini tidak mempunyai fakulti pengajaran yang cukup untuk menyampaikan program pengajaran secara ‘face to face’, terutamanya bagi 1000 guru yang dianggarkan telah  mendaftar untuk program ini. Sebagai perbandingan, bilangan pelajar di USSA pada masa ini dianggarkan kurang daripada 600![3]

    Keempat, Menteri perlu menjelaskan mengapa perlunya RM27 juta dibelanjakan begitu sahaja untuk melatih 1,000 guru (ataupun RM27, 000 untuk ‘diploma’ selama enam bulan bagi guru seseorang) sedangkan kursus Diploma dalam Pengajian Sukan daripada UiTM hanya memakan kos sebanyak RM6, 000 untuk 2 ½ tahun.[4]

    Kelima, dan yang paling penting, Menteri perlu menjelaskan jika program ini benar-benar akan menganugerahkan kelayakan peringkat diploma kepada semua peserta atau tidak. Ini kerana pekeliling daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang bertarikh 30 Disember 2011 telah jelas menyatakan bahawa ‘Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan (DAPJKS) adalah sama tahap dengan Sijil Kemahiran 3 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia’ (Lampiran 3). Menurut Kerangka Kelayakan Malaysia, Sijil Tahap 3 adalah satu tahap di bawah tahap Diploma, yang bermaksud bahawa kualiti dan skop program ini tidak sama seperti program diploma yang sebenar malah guru-guru yang menjalani latihan ini tidak akan menerima apa-apa manfaat atau pampasan yang biasanya diberi kepada pemegang-pemegang diploma yang sebenar.[5] Jika ini disahkan benar, maka Kementerian Pendidikan bersalah kerana telah mengelirukan guru-guru yang telah menyertai program ini dan juga pembayar cukai Malaysia dengan memberi gambaran bahawa program ini bertaraf ‘diploma’ sungguhpun ia sebenarnya hanya satu kursus bersijil biasa sahaja! Ini juga bermakna bahawa pihak Kementerian telah membelanjakan lebih daripada RM50 juta sepanjang 2 tahun untuk melatih 2000 guru supaya mereka boleh memperolehi sijil ini! Ini jauh menyimpang daripada jawapan Menteri bahawa niat program ini adalah untuk membolehkan Kementerian ‘mempunyai seramai 2000 guru-guru yang mempunyai kelayakan dan kemahiran yang tinggi dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kejurulatihan Sukan untuk membantu menjaya dan memperkukuh pelaksanaan dasar 1Murid1Sukan.’

    Lampiran 1: Jawapan daripada Menteri

    Lampiran 2: Kontrak dengan KH Sports untuk tahun 2012 

    Lampiran 3: Surat MQA yang menyatakan bahawa ini program ini umpama Sijil Kemahiran 3 sahaja


Leave a reply.