• Inikah transformasi apabila dua orang Menteri yang memegang ijazah palsu juga bertanggungjawab ke atas pembangunan sumber manusia di Malaysia?

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang dan Zairil Khir Johari, Ahli Parlimen Bukit Bendera serta Julian Tan Kok Ping, Ahli Parlimen Stampin di Parlimen pada 26hb Jun 2013

    Inikah transformasi apabila dua orang Menteri yang memegang ijazah palsu juga bertanggungjawab ke atas pembangunan sumber manusia di Malaysia? Ianya sungguh mengecewakan apabila pada hari pertama sesi untuk jawapan Menteri-Menteri dalam siding Parlimen pertama selepas berlangsungnya Pilihanraya Umum ke-13, didapati bahawa Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak telah melantik dua orang Menteri yang memegang ijazah yang disyaki palsu dan yang diperolehi daripada ‘kilang ijazah.’

    Menteri pertama yang kami maksudkan ialah Richard Riot, bekas Timbalan Menteri Luar Negeri dan kini menjawat jawatan sebagai Menteri Sumber Manusia (MoHR). Menurut tulisan lepas di laman web Menteri Luar Negeri, beliau telah memperolehi Ijazah Saujana Muda dalam Pengurusan Perniagaan daripada Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada 1994 serta Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan daripada Preston University di Amerika Syarikat.

    Namun kami gagal menemui sebarang laman web rasmi yang berkaitan dengan Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta. Malah, mengikut laporan-laporan akhbar, Preston University merupakan universiti palsu yang sungguh ‘terkemuka’.[1]

    Menteri kedua ialah “Dr” Ewon Ebin, Menteri untuk Sains, Teknologi dan Inovasi (MoSTI) yang baru. Mengikut laman web MoSTI, Ewon Ebin telah memperolehi Ijazah Doktor Falsafah dalam Pengurusan Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming.[2] Walaupun tidak disebut dalam laman web MoSTI, kami diberitahu bahawa Menteri telah memperolehi Ijazah dalam Pengurusan Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University di British Virgin Islands. Kedua-dua ‘institut’ ini telah disenaraikan sebagai ‘sekolah yang tidak diiktiraf dan juga ijazah yang tidak sah’ oleh kerajaan negeri Oregon dan Maine di Amerika Syarikat.[3]

    Yang lebih ironinya, kedua-dua Menteri ini kini mengetuai kementerian masing-masing di mana pembangunan kapital manusia, akreditasi yang betul, persijilan dan pertarafan merupakan tanggungjawab utama. Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bertanggungjawab untuk “Mengkaji semula, mengemaskini dan membangunkan sukatan latihan kemahiran (NOSS), sistem pensijilan kemahiran (MOSQ) dan standard kemahiran bagi menyokong pelaksanaannya.”[4] Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Pembangunan Sumber Manusia bertanggungjawab mengurus jaminan kualiti dan akreditasi program Sijil Kemahiran Malaysia.[5]

    Untuk MosTI, kementerian ini bukan sahaja bertanggungjawab memberi geran-geran bernilai berjuta-juta ringgit (ScienceFund, TechnoFund, InnoFund, NanoFund) malah ia bertanggungjawab melindungi dan mempertahankan hak harta intelek (IP). Salah satu agensinya, Jabatan Standard Malaysia, juga bertanggungjawab terhadap proses akreditasi untuk banyak makmal di seluruh Malaysia.[6]

    Oleh itu, keputusan untuk mempertugaskan dua orang Menteri yang memegang ijazah palsu dengan tanggungjawab penting ke atas pembangunan kapital manusia dan pengurusan pensijilan dan pentarafan bukan sahaja perkara yang sungguh memalukan malah juga ironi bagi seorang Perdana Menteri yang melaungkan ‘transformasi’ dengan bangganya.

    Pada bulan Februari tahun ini, Menteri Pendidikan Jerman Annette Schavan terpaksa meletak jawatan disebabkan pendedahan bahawa sebahagian daripada tesis ijazah doktor falsafahnya telah diplagiat. [7] Memandangkan bahawa pendedahan ini jauh lebih serius, kami menggesa Perdana Menteri Najib untuk segera meminta dua Menteri ini untuk meletak jawatan seandainya beliau benar-benar ingin mempertahankan integriti dan kredibiliti Kabinetnya.

    Dr. Ong Kian Ming
    Zairil Khir Johari
    Julian Tan Kok Ping
    26 Jun 2013

Leave a reply.