• Protes awam, petisyen pilihanraya dan tekanan di Parlimen semuanya adalah tindakan yang konsisten dengan perjuangan untuk membina sistem pilihanraya yang lebih telus, adil dan bersih

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, 23 Jun 2013 di Kuala Lumpur

    Protes awam, petisyen pilihanraya dan tekanan di Parlimen semuanya adalah tindakan yang konsisten dengan perjuangan untuk membina sistem pilihanraya yang lebih telus, adil dan bersih

    Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Wan Ahmad Wan Omar, telah dipetik mengutuk[1] Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bersifat hipokrit kerana masih sibuk memprotes dan tidak mengiktiraf keputusan Pilihanraya Umum ke-13 di samping bersetuju untuk mengambil bahagian dalam upacara angkat sumpah pada Isnin 24hb Jun 2013.

    Sebagai wakil rakyat yang telah hadir ke himpunan protes di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam pada 22hb Jun 2013 dan akan mengangkat sumpah pada 24hb Jun 2013, saya ingin menyampaikan pandangan ikhlas saya bahawa kesemua tindakan ini adalah konsisten dan tidak bersifat hipokrit. Malah, kesemua tindakan yang diambil oleh Pakatan Rakyat setakat ini – iaitu menganjurkan protes awam, memfail petisyen pilihanraya, dan menyuarakan pendapat kami di Parlimen – adalah konsisten dengan hasrat kami untuk membina sistem pilihanraya di Malaysia yang lebih telus, adil dan bersih.

    Saya ingin mengingatkan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia bahawa Perdana Menteri Najib akhirnya pada 15hb Ogos 2011 telah menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Reformasi Pilihanraya hanya akibat tekanan awam selepas himpunan Bersih 3.0 pada 28hb April 2011.[2] Saya juga ingin mengingatkan Timbalan Pengerusi bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia akhirnya telah bersetuju untuk menggunakan dakwat kekal (selepas membatalkan penggunaanya pada saat terakhir sebelum Pilihanraya Umum 2008) tetapi hanya selepas himpunan Bersih telah berlangsung sebanyak 3 kali. Akhirnya, saya ingin mengingatkan Timbalan Pengerusi bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia akhirnya telah membenarkan undi pos untuk warga Malaysia yang berada di luar negara tetapi hanya selepas NGO-NGO seperti Bersih dan MyOverseasVote[3] menggesa kerajaan untuk berbuat demikian.

    Namun, tugas kami untuk memperbaiki sistem pilihanraya Malaysia baru sahaja bermula. Pada kami, yang paling mustahak adalah untuk memperbetulkan banyak kelemahan yang sedia ada (dan yang telahpun disebut dalam Laporan Terakhir Jawatankuasa Terpilih Parlimen mengenai Reformasi Pilihanraya), termasuk yang berikut:[4]

    i)                 Membersihkan senarai pengundi dengan segera, termasuk juga menyiasat kad pengenalan yang salah diagihkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terutamanya di Sabah, dan masalah-masalah lain yang telah diidentifikasi oleh Projek Analisa Senarai Pengundi Malaysia (MERAP)[5]

    (i)                Menggubal Seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 yang menetapkan bahawa senarai pengundi yang telah diwartakan tidak boleh dicabar di mahkamah

    (ii)              Membenarkan warga Sabah dan Sarawak yang bekerja di Semenanjung Malaysia serta warga Semenanjung Malaysia yang bekerja di Sabah dan Sarawak untuk mengundi tanpa perlu naik kapal terbang untuk balik ke kawasan pilihanraya masing-masing

    (iii)             Pendaftaran automatik untuk setiap warga Malaysia yang mencapai umur 21 tahun

    (iv)             Menggaris semula sempadan-sempadan pilihanraya dan menambah jumlah kerusi mengikut prinsip satu-orang-satu-undi

    (v)              Memecahkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia kepada tiga agensi yang  mengendalikan pilihanraya, menyediakan dan mengemaskini senarai pengundi, dan menggaris semula sempadan-sempadan pilihanraya secara berasingan

    Sebenarnya kami di Pakatan Rakyat jujur ingin memperbaiki sistem pilihanraya Malaysia yang bermasalah. Kami bukan bersifat hipokrit. Hipokrit yang sebenar adalah mereka yang kononnya telah menjalankan tugas mereka dalam memastikan proses pilihanraya adalah bersih, adil dan kompeten, tetapi enggan bertanggungjawab ke atas dakwat kekal yang hilang selepas dibasuh beberapa jam kemudian. Hipokrit sebenar adalah mereka yang mendakwa bahawa senarai pengundi di Malaysia adalah yang ‘terbersih di dunia’, walaupun terdapat ramai pengundi yang tidak dapat dikesan alamat mereka dan juga ramai pengundi yang telah dipindah daripada satu kawasan pilihanraya kepada kawasan pilihanraya yang lain tanpa pengetahuan mereka. Hipokrit sebenar adalah mereka yang berkata bahawa proses persempadanan semula yang lepas telah dijalankan dengan telus dan adil, walaupun sebenarnya proses tersebut selalunya memihak kepada BN dan melanggar prinsip-prinsip dan garis panduan Suruhanjaya Pilihanraya sendiri pada peringkat negeri. Hipokrit sebenar adalah mereka yang mahukan lebih banyak kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang dan syarat-syarat pilihanraya, sungguhpun mereka tidak dapat membuktikan bahawa kuasa yang dipegang mereka pada masa ini digunakan dengan saksama dan bertanggungjawab.

    Himpunan Pakatan Rakyat yang telah diadakan di Padang Merbok semalam telah dianjurkan atas tujuan menunjukkan rasa ketidakyakinan kami terhadap Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia dan juga untuk menuntut supaya Pengerusi, Timbalan Pengerusi serta lima ahli Suruhanjaya yang lain meletak jawatan kerana bertanggungjawab atas Pilihanraya Umum ke-13 yang sungguh bermasalah. Petisyen-petisyen pilihanraya yang telah difail oleh Pakatan Rakyat akan juga membantu membongkarkan masalah-masalah dan kelemahan-kelemahan lain yang telah diperhatikan dalam pengendalian Pilihanraya Umum ke-13 di kerusi-kerusi yang spesifik. Malah, majoriti daripada (jika bukan kesemua) Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Rakyat akan menyuarakan ketidakyakinan kami terhadap Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia terutamanya dalam hal kegagalan Suruhanjaya untuk berlaku adil dan saksama dalam mengendalikan persempadanan semula yang akan datang.

    Akhir sekali, Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia yang sesungguhnya gagal menikmati keyakinan orang ramai, seperti yang termaktub dalam Artikel 114 (2) Perlembagaan Malaysia, seharusnya meletak jawatan dan bukannya mempamerkan sindrom penafian malah lebih teruk lagi, menuduh orang lain yang ingin membantu membina sistem pilihanraya yang lebih telus, adil dan bersih sebagai bersifat hipokrit.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parliamen Serdang

Leave a reply.