• Saya Menyeru Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Jabatan Insolvensi Malaysia Untuk Menyelesaikan Kes Gaji dan Pampasan Tertunggak 7 Bekas Pekerja Qarira Packaging (M) Sdn. Bhd. Dengan Segera dan Secara Berperikemanusiaan

    Kenyataan Media oleh Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 20hb Jun 2013

    Saya Menyeru Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Jabatan Insolvensi Malaysia Untuk Menyelesaikan Kes Gaji dan Pampasan Tertunggak 7 Bekas Pekerja Qarira Packaging (M) Sdn. Bhd. Dengan Segera dan Secara Berperikemanusiaan

    Pada 1997, syarikat QARIRA PACKAGING (M) SDN. BHD. (‘QPMSB, no. syarikat 396860-K) telah ditubuhkan di Johor sebagai pengilang bekas tin. Syarikat ini merupakan usaha sama antara Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Pacific Can Investment Holdings di Singapura dan Qarira Holdings Sdn Bhd, di mana PUNB telah menjadi pemegang syer majoriti.

    Namun, Qarira akhirnya terpaksa menutup perniagaannya pada tahun 2010 akibat kerugian kewangan yang besar, dan justeru telah berjanji untuk membayar pampasan kepada bekas pekerjanya. Saya dimaklumkan bahawa menurut keputusan Mahkamah Tinggi Malaya di Johor Bahru, Qarira Packaging (M) Sdn Bhd perlu membayar RM182,489.70 kepada 7 bekas pekerjanya dan ini juga disahkan oleh Cawangan Johor Bahru Jabatan Insolvensi Malaysia. Malangnya, sehingga hari ini 7 bekas pekerja tersebut hanya menerima bayaran sebanyak RM81,693.82 iaitu hanya 44% daripada jumlah wang yang tertunggak. Sehingga kini, baki sebanyak RM100,795.88 masih belum diterima mereka. (Lihat Jadual 1)

    Jadual 1: Jumlah tertunggak, jumlah yang telah dibayar dan baki yang belum dibayar kepada 7 bekas pekerja Qarira Packaging (M) Sdn Bhd

    Pada Januari 2011, 7 bekas pekerja tersebut telah mendapat tahu bahawa Qarira Packaging (M) Sdn Bhd telah menjual mesin-mesin kilang untuk hasil jualan berjumlah RM642,641.32 dan telah menyerahkan wang tersebut kepada Cawangan Johor Bahru Jabatan Insolvensi Malaysia. 7 bekas pekerja tersebut telah menulis surat kepada Cawangan Johor Bahru Jabatan Insolvensi Malaysia untuk bertanya mengapa hasil jualan mesin-mesin tersebut tidak digunakan untuk membayar pampasan yang tertunggak.

    Dalam surat maklum balas yang bertarikh 5hb Mei 2011, Cawangan Johor Bahru Jabatan Insolvensi Malaysia telah menerangkan bahawa jumlah wang ini sebenarnya akan dibayar kepada PUNB yang merupakan Pemegang Debentur ke atas mesin-mesin tersebut. Namun, dalam surat yang bertarikh 19 Julai 2011 yang dihantar oleh PUNB sebagai maklum balas kepada ADUN Johor Jaya pada masa itu iaitu Tan Cher Puk yang ketika itu sedang membantu menyiasat kes ini bagi pihak 7 bekas pekerja Qarira, PUNB telah mendakwa bahawa ia belum menerima sesen pun daripada Jabatan Insolvensi Malaysia. Dalam surat yang sama, PUNB telah mempertahankan haknya sebagai Pemegang Debentur untuk menuntut hasil jualan mesin-mesin Qarira iaitu jumlah wang sebanyak RM642,641.32, dan menegaskan pendiriannya bahawa Qarira sepatutnya bertanggungjawab penuh dalam membayar pampasan yang tertunggak kepada bekas pekerjanya.

    Malang sekali, sehingga kini 7 bekas pekerja Qarira masih belum menerima pampasan tertunggak yang ditunggu-tunggu mereka selama beberapa tahun ini. Malah pada 25 Mac 2013, salah seorang bekas pekerja yang bernama Zamri bin Suliman telah menulis surat kepada Pengerusi PUNB, YB Khairy Jamaluddin, dan menyerunya membantu menyelesaikan masalah ini. Namun, masih tiada jawapan daripada Pengerusi atau wakil PUNB yang lain.

    Sesungguhnya saya memang faham bahawa mengikut undang-undang Malaysia, PUNB memang berhak menuntut hasil jualan aset-aset Qarira kerana PUNB merupakan pemiutang Qarira yang utama. Namun, kebajikan bekas pekerja Qarira wajar didahulukan lebih lagi kerana mereka merupakan golongan berpendapatan rendah, malah bekas pekerja yang tertua kini berumur 68 tahun dan masih terpaksa bekerja di kilang berdekatan dengan Seri Kembangan untuk menyara kehidupan keluarganya. Tanpa kerjasama Jabatan Insolvensi Malaysia dan PUNB, 7 bekas pekerja Qarira memang tiada jalan lain kerana Qarira tidak lagi beroperasi dan tidak mampu menunaikan pampasan tertunggak tersebut.

    Dengan ini, saya menyeru PUNB dan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk segera menyiasat dan mengesahkan sama ada hasil jualan mesin-mesin kilang Qarira sebanyak RM642,641.32 telahpun dibayar kepada PUNB.

    Akhirnya, saya ingin menyeru PUNB untuk mempertimbangkan kesusahan dan penderitaan yang dialami 7 bekas pekerja Qarira serta ahli keluarga mereka. Saya berharap agar PUNB akan bertindak dengan penuh belas kasihan dan perikemanusiaan dan menyalurkan hasil jualan mesin-mesin kilang Qarira kepada 7 bekas pekerja Qarira demi menyelesaikan kes pampasan tertunggak ini dengan sewajarnya.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.