• Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak layak bercakap tentang persempadanan semula yang ‘telus’

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 31hb Mei 2013

    Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia Datuk Wan Ahmad Wan Omar tidak layak bercakap tentang persempadanan semula yang ‘telus’ 

    Pada 26 Mei 2013, akhbar The Star [1] telah memetik kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang telah cuba menyakinkan orang ramai bahawa proses persempadanan semula yang akan datang akan dijalankan dengan ‘penuh ketelusan’. Beliau juga telah cuba mempertahankan SPR daripada tuduhan-tuduhan berkaitan dengan penggarisan semula kawasan pilihanraya yang lebih memihak kepada BN dengan mengatakan bahawa ‘Sebenarnya ramai orang yang tidak tahu bagaimana kajian dijalankan dan hanya percaya dengan beberapa parti politik yang menuduh kami tidak menjalankan tugas mengikut undang-undang.’

    Hakikatnya, SPR memang tidak melakukan amanah tersebut berdasarkan undang-undang, malah sangat memihak kepada BN pada 2003 ketika Wan Ahmad menjadi timbalan pengerusi SPR. Perkara itu paling jelas di Kedah di mana tiada kerusi Parlimen mahupun DUN ditambah selepas BN hilang 2/3 majoriti Dewan Rakyat setelah tewas di pilihanraya kecil Lunas pada tahun 2000, tapi sempadan dilakar semula dengan niat membantu UMNO untuk menang kembali beberapa kawasan parlimen yang ia tewas pada pilihanraya umum 1999.

    Sebelum ini, SPR telah cuba mempertahankan perbezaan dalam jumlah undi setiap kawasan dengan merujuk kepada prinsip pemberat kawasan pedalaman (rural weightage) di mana kawasan pedalaman, dengan jaringan pengangkutan yang lemah dan luas kawasannya, perlu mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil daripada kawasan bandar yang lebih tepu dan lebih mudah dihubungi.

    Tapi di Kedah, ketika persempadanan semula 2003, prinsip ini dilanggar dengan jelas. Undi bukan Melayu telah dikeluarkan daripada kawasan selamat Alor Setar dan dimasukkan ke kawasan PAS iaitu Kuala Kedah dan Pokok Sena. Pengundi bukan Melayu juga dikeluarkan dari kawasan kerusi selamat Merbok ke kerusi PAS di Jerai. Kawasan majoriti UMNO-BN di Padang Serai telah dipindahkan ke kerusi PAS di Baling.

    Jadual 1: Perbezaan di kawasan dan jumlah pengundi antara kawasan bandar dan pedalaman di Kedah selepas persempadanan semula Kedah pada 2003

    Kerusi Parlimen Keluasan (km2) Jumlah Pengundi pada 2003 Jumlah Pengundi pada 2013
    P8 Pokok Sena 320 64192 80916
    P9 Alor Setar 109 56007 69189
    P10 Kuala Kedah 232 73942 95534
    P16 Baling 1544 73942 93376
    P17 Padang Serai 352 51778 74245

    Persempadanan melampau SPR boleh dilihat apabila perbandingan antara jumlah pengundi dengan keluasan kawasan pada tahun 2003 dibuat seperti di Jadual 1. Sebagai contoh, P9 Alor Setar, walaupun ialah kawasan bandar yang maju dengan keluasan kawasan terkecil di antara semua parlimen di Kedah, sebenarnya mempunyai jumlah pengundi (56,007) yang lebih kecil berbanding dengan kawasan jiran yang lebih besar seperti P8 Pokok Sena (64,912) and P10 Kuala Kedah (73,942). Perbezaan ini masih kelihatan di pilihanraya 2013 di mana Alor Setar mempunyai 69,189 pengundi berbanding 80,916 di Pokok Senan dan 95,534 di Kuala Kedah.

    Kes paling melampau ialah P16 Baling, kawasan pedalaman di Kedah. Persempadanan semula di 2003 telah meningkatkan jumlah keluasan Baling dari 1,107km2 ke 1,544km2, sedikit kecil daripada keseluruhan Melaka. Ini kerana salah satu daripada kawasan kuat UMNO di kawasan jiran Padang Serai – Kuala Ketil – telah dipindahkan di kawasan Baling. Akibatnya, Padang Serai, yang lebih bersifat bandar mempunyai jumlah pengundi yang lebih kecil (51,778) dibandingkan dengan Baling (73,942). Perkara ini masih jelas kelihatan di pilihanraya 2013. Baling sekarang mempunyai 93,386 pengundi (kedua terbesar di Kedah) dibandingkan dengan 74,425 pengundi di kawasan bandar Padang Serai.

    Ini semua membuktikan bahawa prinsip ‘rural weightage’ langsung tidak diikuti oleh SPR ketika persempadanan semula di Kedah.[2] Persempadanan melampau ini akhirnya makan tuan pada pilihanraya di 2008 apabila pengundi bukan Melayu yang dianggap setia pada BN dan dijangka tidak akan mengundi PAS, akhirnya telah memberikan undi mereka kepada pembangkang.

    Oleh kerana saya sendiri telah mengkaji proses persempadanan semula ini dengan mendalam, boleh dikatakan bahawa saya bukan ‘orang yang tidak tahu bagaimana kajian dijalankan.’ Oleh sebab itu, saya berani mengatakan bahawa SPR terlampau berat sebelah dalam menjalankan proses persempadanan semula pada 2003. Antara pegawai SPR yang ada, Wan Ahmad adalah antara yang bersama SPR ketika persempadanan melampau di 2003. Oleh itu, beliau pegawai SPR yang paling kurang layak untuk mempertahankan rekod SPR untuk memastikan persempadanan semula yang adil bermula hujung tahun ini. Selagi Wan Ahmad menjadi anggota SPR yang bertugas menyelia proses persempadanan semula yang akan datang, saya langsung tidak konfiden bahawa proses ini akan dijalankan dengan telus, adil, dan berasaskan prinsip ‘satu-orang-satu undi.’

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang


    [2] Untuk analisa yang lebih mendalam terhadap proses persempadanan semula 2003 di Kedah, sila rujuk kepada “Electoral Delimitation – A Case Study of Kedah”, Ong Kian Ming dan Bridget Welsh dalam “Elections and Democracy in Malaysia”, Mavis Puthucheary dan Norani Othman (eds), UKM Press, Bangi.

Leave a reply.