• Saya mempelawa Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) dan Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjong Karang) untuk mengambil masa seminggu membuat lawatan sambil belajar ke luar negara untuk mendalamkan kefahaman mereka terhadap prinsip satu-orang-satu-undi dalam sistem ‘First-Past-The-Post’

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 23hb Mei 2013

    Saya mempelawa Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) dan Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjong Karang) untuk mengambil masa seminggu membuat lawatan sambil belajar ke luar negara untuk mendalamkan kefahaman mereka terhadap prinsip satu-orang-satu-undi dalam sistem ‘First-Past-The-Post’

    Baru-baru ini, ramai di Malaysia terkejut dengan kenyataan Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) yang meminta mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU13 supaya berhijrah ke negara lain yang mengamalkan sistem pilihanraya ‘list system’ atau ‘single transferable vote’.[1] Selepas peristiwa tersebut, Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjong Karang) turut meminta mereka yang tidak berpuas hati dengan sistem pilihanraya Malaysia supaya ‘duduk dalam hutan.[2]

    Di sini saya ingin mempelawa Ahmad Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri) dan Noh Omar (Ahli Parlimen Tanjong Karang) untuk mengambil masa seminggu membuat lawatan sambil belajar ke luar negara untuk mendalamkan kefahaman mereka terhadap prinsip satu-orang-satu-undi dalam sistem ‘First-Past-The-Post’. Saya berpendapat bahawa lawatan sambil belajar yang dicadangkan ini akan jauh lebih produktif daripada meminta warga Malaysia yang taat setia, patriotik dan ikhlas mahu melihat reformasi dalam sistem politik supaya berhijrah ke negara lain atau duduk dalam hutan.

    Menteri Dalam Negeri sememangnya betul apabila beliau mengatakan bahawa negara Malaysia telah mewarisi sistem pilihanraya ‘Single Member Constituency First-Past-The-Post’ daripada United Kingdom selepas merdeka. Namun, beliau seakan-akan lupa bahawa Komisi Reid telah merekomen had penyimpangan maksima sebanyak 15% sahaja daripada purata nasional dari segi jumlah pengundi dalam satu kawasan pilihanraya. Beliau juga seakan-akan lupa bahawa sebelum kemerdekaan, nisbah maksima yang ditetapkan untuk kawasan luar bandar adalah 2:1 – yang bermaksud bahawa kawasan pilihanraya yang terbesar sepatutnya hanya mengandungi jumlah pengundi sebanyak 2 kali ganda jumlah pengundi di kawasan pilihanraya yang terkecil.[3] Malangnya, kini di Malaysia sistem pilihanraya ‘first-past-the-post’ jauh terpesong di mana kawasan pilhanraya terbesar – P109 Kapar (144,369 pengundi dalam PRU13) – mengandungi jumlah pengundi yang 9 kali ganda jumlah pengundi di kawasan pilihanraya terkecil – P126 Putrajaya (15,798 pengundi dalam PRU13).

    Jikalau Menteri Dalam Negeri benar-benar telah membuat kajian dengan teliti, beliau sepatutnya sedar bahawa negara United Kingdom telah meluluskan Akta Sistem Pilihanraya dan Kawasan Pilihanraya Berparlimen yang menetapkan bahawa penyimpangan maksima untuk jumlah pengundi di setiap kawasan pilihanraya terhad kepada 5%.[4]

    Di negara Australia pula yang mengamalkan sistem ‘Alternative Vote’ (AV) di kawasan pilihanraya ‘Single Member Constituencies’, had penyimpangan maksima untuk jumlah pengundi setiap kawasan pilihanraya adalah 10%.  Namun, terdapat juga undang-undang yang tegas menetapkan bahawa Suruhanjaya Pilihanraya Australia perlu menganggarkan jumlah pengundi di setiap kawasan pilihanraya 3 1/2 tahun selepas proses persempadanan semula dilakukan, malah undang-undang ini membenarkan had penyimpangan maksima sebanyak 3.5% sahaja.[5] Disebabkan adanya undang-undang ini, Australia dapat mempertahankan prinsip satu-orang-satu-undi dengan sewajarnya.

    Sebagai contoh, kawasan pilihanraya yang terbesar di Australia dari segi geografi adalah Durack di Australia Barat dengan 88,117 pengundi hasil proses persempadanan semula yang terakhir diadakan pada tahun 2008. Saiz Durack adalah 1,587,758 kilometer persegi iaitu hampir 5 kali ganda saiz Malaysia. Kawasan pilihanraya yang terkecil adalah Wentworth di New South Wales dalam Bandar Sydney dengan 98,979 pengundi hasil proses persempadanan semula yang terakhir diadakan pada tahun 2009. Kawasan Wentworth seluas hampir 30 kilometer persegi iaitu hampir sebesar saiz Ipoh Barat. Pemberatan luar bandar-bandar di Australia adalah 1.12. Dalam kata lain, jumlah pengundi di kawasan bandar yang terkecil adalah hanya 112% daripada jumlah pengundi di kawasan luar bandar yang terbesar. Jika Australia yang merangkumi luas kawasan yang begitu besar dapat mempertahankan prinsip satu-orang-satu-undi, tiada sebab kukuh mengapa Malaysia tidak dapat mengikut amalan tersebut.

    Di negara Kanada pula yang merangkumi luas kawasan yang begitu besar dan juga mewarisi sistem ‘Single Member Constituency First-Past-the-Post’ daripada pihak British, had penyimpangan maksima daripada purata nasional ialah 25%.[6]

    Saya juga ingin membuat cadangan kepada Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Tanjong Karong supaya membaca laporan penuh Jawatankuasa Terpilih Parlimen bagi reformasi pilihanraya termasuk juga poin 20 dan 22 seperti yang tertulis di bawah[7]:

    20. BALANCED DELINEATION OF CONSTITUENCIES

    20.1. The Committee takes note of the proposed review on delineation of parliamentary and state constituencies by taking into account a balanced number of voters including rural weightage and also to fulfill the principle of ‘One Person, One Vote’.

    20.2. The Committee recommends that the EC reviews the Thirteenth Schedule of the Federal Constitution to give full meaning to the principle of “One Person, One Vote” and restore the rural weightage.

    20.3. The Committee recommends that the EC determines a fair and equitable formula based on a fixed principle in determining the number of voters in a constituency, to ensure that there are no huge disparities among other areas in the state.

    22. NEW ELECTION SYSTEM

    22.1. The Committee takes note that the electoral system practiced in Malaysia since Independence until now is Simple Majority System (First-Past-The-Post).

    22.2. The Committee takes note of the proposal to improve the existing Simple Majority System (First-Past-The-Post) or study any other electoral system such as a mixture of system (First-Past-The-Post and Proportionate Representation) or a Proportionate Representation System.

    22.3. The Committee recommends that EC should study how to improve the current simple majority or first-past-the-post system as this proposal involves policy which needs to be considered by the Government and report back to the Committee as in paragraph 10.7.

    Jika Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Tanjong Karong telah benar-benar meneliti Laporan Jawatankuasa Terpilih Parlimen tersebut, mereka tentu akan sedar bahawa rakan sekerja mereka sendiri daripada Barisan Nasional termasuk 3 orang Ahli Parlimen – Dr. Maximus Ongkili (Kota Marudu), Alexander Nanta Linggi (Kapit) and Kamalanathan a/l Panchanathan (Hulu Selangor) – turut menyokong pengkajian semula sistem pilihanraya Malaysia termasuk mempertahankan prinsip ‘satu-orang-satu-undi’ dan kemungkinan memperkenalkan sistem pilihanraya yang lebih berkadar. Adakah kedua-dua Yang Berhomat bercadang untuk meminta rakan sekerja mereka daripada Barisan Nasional untuk berhijrah ke negara lain atau duduk dalam hutan?

    Yang lebih tragik lagi, Menteri Dalam Negeri kita telah memperoleh Ijazah Kedoktoran dalam bidang Komunikasi daripada UPM. Saya berfikir bahawa beliau sepatutnya memanfaatkan ilmu pengetahuannya dengan menyokong usaha mereformasikan sistem pilihanraya  dan tidak menuding jari menyalahkan mereka yang hanya ikhlas mendedahkan ketidakadilan yang wujud dalam sistem pilihanraya pada masa ini. Sebagai seorang yang terpelajar dan berpeluang membuat lawatan ke pelbagai negara yang lain dalam tugasnya sebagai Menteri Pertahanan sebelum ini, beliau sepatutnya tahu bahawa mana-mana parti atau koalisi parti yang memenangi undi majoriti dalam sistem ‘first-past-the-post’ yang adil akan menikmati satu ‘bonus kerusi’. Maksudnya, jika koalisi seperti Pakatan memenangi 51% undi popular, kami sepatutnya turut memenangi peratus kerusi yang lebih daripada 51%. Namun akhirnya, kami hanya berjaya menawan 40% kerusi disebabkan proses persempadanan yang langsung tidak adil.

    Seandainya Menteri Dalam Negeri dan Ahli Parlimen Tanjong Karang terlalu sibuk untuk mengambil masa menyertai lawatan sambil belajar ke luar negara selama seminggu, saya dengan besar hati ingin menjemput mereka hadir ke taklimat khas selama sejam. Dalam taklimat tersebut, saya akan menceritakan bagaimana negara demokratik lain yang melaksanakan sistem ‘First-Past-The-Post’ membuat proses persempadanan semula untuk mengurangkan perbezaan dalam jumlah pengundi dari satu kerusi ke kerusi yang lain.  Saya juga akan menunjukkan kepada kedua-dua Yang Berhomat bagaimana impak ‘bonus kerusi’ dalam sistem pilihanraya negara demokratik yang lain membenarkan mana-mana parti atau koalisi parti yang telah memenangi undi popular majoriti turut memenangi nisbah kerusi yang lebih besar.

    Dr. Ong Kian Ming

    Ahli Parlimen Serdang

Leave a reply.