• BEBASKAN ADAM ALI: Saya menggesa kerajaan Barisan Nasional serta PDRM agar membebaskan aktivis mahasiswa Adam Adli dengan segera dan juga menghentikan segala jenis penindasan terhadap aktivis mahasiswa dan pemimpin belia

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 20hb Mei 2013

    BEBASKAN ADAM ALI: Saya menggesa kerajaan Barisan Nasional serta PDRM agar membebaskan aktivis mahasiswa Adam Adli dengan segera dan juga menghentikan segala jenis penindasan terhadap aktivis mahasiswa dan pemimpin belia 

    Pada 18hb Mei 2013, aktivis mahasiswa Adam Adli telah ditahan polis kononnya kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan berniat menghasut. Kenyataan tersebut diucapkan beliau ketika di forum anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM) pada 13hb Mei 2013, di mana beliau telah menyeru orang ramai untuk ‘turun ke jalanraya’ demi membantah penipuan pilihanraya yang berlangsung semasa PRU13 yang lalu.[1]

    Menurut SUARAM, Adam Ali kini direman selama 5 hari di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 124B Kanun Keseksaan.[2] Seksyen 4 Akta Hasutan melarang diskursi yang disifatkan berniat menghasut dan jika didapati bersalah, Adam mungkin dipenjarakan selama tempoh yang tidak melebihi 3 tahun, didenda jumlah wang tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali. Adam kini sedang ditahan di lokap Balai Polis Jinjang.

    Saya tegas ingin mempersoalkan keputusan untuk menahan Adam Adli seseorang memandangkan ramai pemimpin rakyat lain yang aktif dalam kegiatan politik dan sosial telah juga menyuarakan ketidakpuashatian mereka terhadap keputusan PRU13 dan juga telah menyeru rakyat untuk turun menyertai perhimpunan protes, namun setakat ini mereka tidak disoalsiat, ditahan atau didakwa untuk kenyataan-kenyataan mereka. Malah beratus ribu warga Malaysia telah turut menyertai perhimpunan aman seperti “Himpunan Blackout” yang diadakan baru-baru ini namun mereka tidak disoalsiasat, ditahan atau didakwa oleh polis.

    Pada pandangan saya, kerajaan BN seolah-olah bertindak menindas, mendakwa dan membuli para pemimpin belia dan aktivis mahasiswa, termasuk Adam Adli dan juga Nik Nazmi. Mungkinkah kerajaan BN bertindak sedemikian dengan tujuan menyampaikan mesej kepada belia Malaysia supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti aktivisme mahasiswa ataupun demokrasi akar umbi yang mencabar pemerintahan hegemonik mereka?

    Di sini say ingin menegaskan bahawa penindasan yang bersifat prejudis ini membawa malu kepada rekod ‘Transformasi Politik’ dan impian ‘perdamaian kebangsaan’ yang dilaungkan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak. Semasa kempen PRU13, laman web 1Malaysia Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Razak dengan bangganya melaporkan bahawa beliau  sangat jelas dengan wawasan Malaysia sebagai sebuah negara “moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat.” Malah laman web 1Malaysia yang sama turut berkata dengan bangganya bahawa “[Sebelum pindaan yang dibuat kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti], mahasiswa tidak dibenarkan terlibat, meluahkan simpati, dan menyokong dalam apa jua persatuan, badan, persatuan pekerja, atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus… [Selepas pindaan], mahasiswa boleh menjadi ahli parti politik atau menjadi ahli persatuan, badan atau parti politik ketika di luar kampus.”[3]

    Saya ingin ikhlas bertanya, apakah gunanya membuat pindaan kepada AUKU yang jelas hanya bersifat kosmetik memandangkan bahawa aktivis mahasiswa masih ditindas hanya kerana mereka berani mempertahankan hak asasi dan menyuarakan pendapat mereka? Dapatkah Malaysia menjadi negara yang “moden, progresif dan sentiasa memandang ke hadapan dalam mengamalkan demokrasi yang melindungi hak serta kebebasan rakyat” jika suara anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin negara terus disekat?

    Dengan ini saya menggesa Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak (Perdana Menteri Malaysia), Datuk Zahid Hamidi (Menteri Dalam Negeri Malaysia), dan Tan Sri Khalid Abu Bakar (Inspektor General Polis Diraja Malaysia) agar:

    1. SEGERA MEMBEBASKAN ADAM ADLI memandangkan bahawa kes tahanan beliau seolah-olah hanya bertujuan menyekat aktiviti aktivisme mahasiswa;
    2. MENGHENTIKAN SEGALA PENINDASAN terhadap Adam Adli dan semua aktivis mahasiswa dan belia di Malaysia;
    3. MENYOKONG DAN MENJAMIN HAK ASASI DAN HAK KEBEBASAN BERSUARA yang seharusnya dinikmati semua aktivis mahasiswa dan pemimpin belia.

    Akhir sekali, saya menggesa kerajaan Barisan Nasional supaya bertindak cepat dan sewajarnya kerana rakyat Malaysia sedang memerhatikan kes ini dengan penuh teliti dan minat.

    Dr. Ong Kian Ming

Leave a reply.