• Saya menyeru kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura supaya bekerjasama melindungi dan memajukan hak asasi manusia di rantau ASEAN

    Kenyataan Media Dr. Ong Kian Ming, Ahli Parlimen Serdang, di Kuala Lumpur pada 19hb Mei 2013

    Saya menyeru kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura supaya bekerjasama melindungi dan memajukan hak asasi manusia di rantau ASEAN

    Dua tahun lalu menunjukkan perubahan signifikan lanskap politik Malaysia dan Singapura. Sekurang-kurangnya beberapa ratus ribu warga Malaysia telah berhimpun di Kuala Lumpur menyertai perhimpunan BERSIH pada 28hb April 2012 dan juga Himpunan Rakyat pada 12hb Januari 2013. Baru-baru ini, beberapa ribu warga Singapura pula telah berhimpun di Taman Hong Lim di tengah-tengah bandaraya tersebut untuk menyertai aktiviti protes sempena Hari Pekerja.

    Aktiviti demonstrasi yang melibatkan orang ramai seperti ini sepatutnya disambut dengan fikiran terbuka dan dianggap sebagai sebahagian daripada proses demokrasi yang biasa. Sememangnya, aktiviti sebegini merupakan sebahagian daripada tugas memupuk dan mempertahankan hak asasi manusia yang termasuk hak untuk bersuara dan hak untuk berhimpun.

    Malah hak asasi-hak asasi tersebut juga terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang telahpun ditandatangani oleh wakil daripada setiap 10 negara ahli ASEAN pada November 2012 di Puncak ASEAN ke-21 yang diadakan di Phnom Penh, Cambodia.[1] Yang penting sekali, deklarasi ini mengakui dan mengiktiraf kewujudan kesemua hak sivik dan politik yang terkandung dalam Perisythiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

    Sungguhpun deklarasi ini bukan merupakan undang-undang yang berkuatkuasa ke atas atau mengikat negara-negara ahli ASEAN, semangat dokumen tersebut menunjukkan arah terhadap meningkatkan rekod dan memperbaiki perundangan yang berkaitan dengan perlindungan hak asasi di kesemua 10 buah negara ahli ASEAN. Saya menyeru kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura yang merupakan antara ahli pengasas ASEAN supaya memainkan peranan sebagai pemimpin dalam menyokong dan mempertahankan hak asasi manusia di negara sendiri dan juga di rantau ASEAN. Perkara ini konsisten dengan Artikel 39 Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang menyatakan bahawa:

    “ASEAN Member States share a common interest in and commitment to the promotion and protection of human rights and fundamental freedoms which shall be achieved through, inter alia, cooperation with one another as well as with relevant national, regional and international institutions/organisations, in accordance with the ASEAN Charter.”

    Memandangkan situasi politik yang timbul baru-baru ini dalam kedua-dua negara tersebut – iaitu pilihanraya umum ke-13 di Malaysia dan penahanan 21 warga Malaysia di Singapura yang memprotes keputusan pilihanraya umum Malaysia – saya menyeru kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura agar tidak terus melupakan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN dan memperkukuhkan kerjasama demi menyokong dan mempertahankan hak asasi manusia di kedua-dua negara tersebut dan juga di rantau ASEAN.

    Malah saya juga menyeru agar kerajaan Malaysia menarik balik dakwaan terhadap saudara Nik Nazmi, ahli Dewan Undangan Negeri Selangor untuk DUN Seri Setia yang baru diundi, dan juga agar tidak terus mendakwa pihak lain yang terlibat dalam penganjuran himpunan aman di stadium Kelana Jaya pada 8hb Mei 2013 sebagai tanda menunjukkan sokongan padu terhadap semangat yang terkandung dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN. Pada masa yang sama, saya ingin menyeru kerajaan Singapura agar menarik balik keputusan untuk membatalkan permit pekerjaan mana-mana 21 warga Malaysia yang terlibat dengan himpunan aman di Taman Merlion di Singapura.

    Dr. Ong Kian Ming

Leave a reply.