• PRU13 Bukan Janji Politik Yang Kosong

    Kepada semua penduduk dan pengundi di Serdang yang dikasihi,

    Setelah berfikir sejenak, saya telah berazam membuat dua keputusan yang penting iaitu:

    1)     Seandainya saya bertuah diundi sebagai Ahli Parlimen, saya berjanji untuk berpindah ke Serdang, malah

    2)     Seandainya saya bertuah diundi sebagai Ahli Parlimen, saya berjanji akan cuba sedaya upaya untuk mempertingkatkan tahap pemahaman dan pertuturan bahasa dan dialek tempatan termasuk dialek Hakka, Bahasa Cina (Mandarin) dan Bahasa Melayu, agar dapat lebih memahami keadaan tempatan Serdang dan menjadi wakil rakyat yang lebih berkesan.

    Janji ini bukan janji politik yang kosong, tetapi berdasarkan prinsip peribadi.

    Pada pandangan saya, jika seseorang wakil rakyat gagal memahami keperluan rakyat di kawasannya sendiri, adakah dia layak untuk menggelar diri sebagai wakil mereka? Sudah tentu cara terbaik untuk menghadapi situasi tersebut adalah dengan belajar bahasa dan pertuturan tempatan serta melapangkan masa untuk sentiasa bersama rakyat jelata.

    Janji ini bukan janji politik yang kosong, tetapi dibuat dengan hati yang ikhlas.

    Saya menyesal bersungguh kerana tidak dapat datang ke Serdang lebih awal. Sebenarnya, sebelum ini saya pernah menetap di Amerika Syarikat selama 6 tahun semasa mengejar PhD dan hanya kembali ke tanah air tercinta pada April 2010. Selepas 2010 pula, saya telah tinggal di Petaling Jaya kerana ingin lebih dekat dan rapat dengan ibubapa saya. Hanyalah pada minggu lepas saya dimaklumkan oleh pemimpin-pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) bahawa saya telah dipilih sebagai calon DAP di Serdang. Namun demikian, saya berkeputusan untuk pindah ke Serdang kerana ini perkara yang wajar saya lakukan.

    Sebenarnya saya rasa sedikit serba salah kerana bakal berpindah ke tempat yang lebih jauh daripada rumah ibubapa yang dikasihi. Namun, saya rasa bahawa inilah tanggungjawab yang harus dipikul and ikhlas memohon izin dan maaf daripada ibubapa saya.

    Janji ini bukan janji politik yang kosong, tetapi berasaskan soal keazaman politik.

    Sebenarnya bukan senang jika seseorang berhasrat pindah ke persekitaran yang baru, ataupun belajar bahasa yang baru. Namun, saya berpendapat bahawa dalam hidup ini kita harus sentiasa mencabar diri untuk sentiasa cuba benda yang baru. Maka dengan ini harus kita sentiasa cuba memahami budaya, bahasa dan isu-isu di tempat baru yang dikunjungi pula.

    Di peringkat negara pula, sikap berani mencuba bermaksud berani dan ingin melihat perubahan dalam hal politik, ekonomi, pendidikan dan lain-lain. Akan tetapi, bayangkan jika rakyat Malaysia pada keseluruhannya rasa bahawa perubahan itu terlalu menyusahkan atau mencabar. Dapatkah kita melangkah ke depan membina negara untuk masa depan anak-anak kita dengan pemikiran sebegini?

    Saya ikhlas berharap bahawa dua keputusan saya – iaitu untuk berpindah ke Serdang dan untuk belajar bahasa, budaya serta isu-isu tempatan – akan menjadi inspirasi kepada orang lain untuk berani menyokong proses reformasi di Malaysia. Walaupun perubahan itu memerlukan sedikit serba pengorbanan, kita harus terus mara ke depan. Dan sesungguhnya kita di Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Pakatan Rakyat teguh percaya bahawa arus perubahan yang kini melanda negara akan membawa harapan baru untuk semua rakyat Malaysia.

    Seandainya saudara masih tidak percaya bahawa reformasi itu perlu di Malaysia, saya ingin dengan seikhlasnya menjemput saudara untuk bersemuka dan berbual dengan kami.

    Terima kasih semua. Saya berharap agar dapat bersemuka dengan kalian semua di Serdang nanti.

    Dr. Ong Kian Ming
    Strategis DAP
    Calon Parlimen P102 Serdang
    Sabtu, 20 April 2013

Leave a reply.